ANTARA akaun Facebook palsu yang menumpang nama dan populariti watak Pok Ya Cong Codei.
ANTARA akaun Facebook palsu yang menumpang nama dan populariti watak Pok Ya Cong Codei.
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pengarah dan pelakon popular, Sabri Yunus, 60, meminta pengguna Facebook tidak terpedaya dengan akaun Facebook palsu yang menumpang nama dan populariti watak Pok Ya Cong Codei lakonannya.

Sabri berkata, hingga kini dia tidak pernah menggunakan judul drama popular arahan dan lakonannya itu atau membuka beberapa akaun laman sosial baharu di bawah nama sebenar, sebaliknya kekal dengan akaun Sabri Ibn Yunus sejak dulu.

"Ini bukan saya. Jangan percaya pada (akaun palsu) ini. Saya tak akan guna nama Pok Ya Cong Codei dan tak pernah guna. Ertinya kalau guna nama itu adalah bukan saya. Yang pakai nama Sabri Yunus juga bukan saya. Saya tidak bertanggungjawab atas Facebook. Harap orang ramai jangan layan, buang masa saja," katanya menerusi status di akaun rasminya iaitu Sabri Ibn Yunus, kelmarin.

Dalam perkongsian sama, Sabri mendedahkan paparan satu tangkap layar Facebook di bawah nama Pak Ya Cong Codei yang mengaku sebagai dirinya.

Penyamar yang secara terbuka menyalahgunakan identiti pelakon terbabit dilihat dengan yakin meminta peminat mendoakan kesihatan dirinya menerusi komen di sebuah page lain.

"Terima kasih semuo. Doakan ambo untuk terus berkarya," tulis akaun itu dalam dialek Kelantan.

Bimbang andai individu tidak bertanggungjawab itu mengambil kesempatan, Sabri menegaskan dia tidak teragak-agak membuat laporan polis atau menyaman pihak berkenaan.

"Kalau ada yang tak betul atau mengarut, saman saja page ini. Saya akan buat laporan polis. Orang ramai juga boleh buat. Takut kalau disalah guna nama ini pada masa akan datang," katanya lagi.

Sementara itu, menerusi hantaran lain, Sabri juga berkongsi tangkap layar lebih 10 Facebook lain yang menggunakan nama judul drama bersiri dan telefilem sama.

"Inilah dia. Tak tahu apa sebabnya," tulisnya merujuk kemusykilan terdapatnya banyak akaun palsu yang tidak diketahui motif penggunaan nama itu.

Telefilem Pok Ya Cong Codei arahan dan lakonan penggiat seni versatile itu tular pada 2018 sebelum diterbitkan sekuelnya.

Baru-baru ini, Pok Ya Cong Codei : Memburu Siti diterbitkan dalam 16 episod yang ditayangkan di saluran Astro Ria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 11:51 AM