Sabri (dua dari kanan) bersama Datuk Ridzuan Abdullah (dua, kiri) disaksikan Nor Zaizalina Yahya (kiri sekali) dan Aizal Ismail. FOTO Amirudin Sahib
Sabri (dua dari kanan) bersama Datuk Ridzuan Abdullah (dua, kiri) disaksikan Nor Zaizalina Yahya (kiri sekali) dan Aizal Ismail. FOTO Amirudin Sahib
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON dan pengarah kreatif, Sabri Yunus, 57, memberitahu sudah mendapatkan Hak Paten terhadap nama Pok Ya Cong Codei sejak sebulan lalu bagi melindungi dan mengelakkan daripada disalah guna pihak lain.

Sabri berkata, keputusan itu diambil selepas mendapat nasihat rakan peguam apabila nama yang tular menerusi telefilem Pok Ya Cong Codei digunakan secara meluas oleh pihak lain bagi tujuan mengaut keuntungan.

“Saya dimaklumkan banyak pihak ambil peluang mempromosikan produk mereka menggunakan nama itu sebaik watak dan telefilem ini diperkatakan ramai serta tular.

“Saya tidak kisah sekiranya ia hanya bisnes kecil dan sekadar menjual topi atau baju T, kerana anggap berkongsi rezeki. Mereka juga dikira membantu promosi. Tetapi ada syarikat besar yang menggunakan nama itu tanpa mendapatkan persetujuan terlebih dahulu.

“Ini membuatkan peguam yang saya kenali menyarankan agar memohon Hak Paten kerana bimbang ia disalah guna dan tidak mahu nanti saya pula yang dipersalahkan," katanya.

Kenyataan Sabri dikeluarkan pada sidang media selepas pelantikannya sebagai duta Umrah Cong Codei bersama Pok Ya, hari ini.

Sabri sudah mencipta populariti tersendiri menerusi wataknya sebagai Wan Ismail Golok dalam sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada era 1980-an.

Dia turut mencipta kejayaan sebagai Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 2011 menerusi telefilem Sanggul Beracun lakonan Erra Fazira.

Popularitinya kembali memuncak menerusi telefilem Pok Ya Cong Codei yang disiarkan pada Januari lalu.

Sabri sendiri membawakan watak 'gedebe' bernama Pok Ya dan nama hotel Concorde yang disebut dalam lenggok loghat Kelantan mencetuskan fenomena di kalangan penonton.

Sebutan nama hotel yang lucu dan menjadi 'trending' di laman sosial itu turut menarik minat Richworld Travel & Tours untuk memperkenalkan pakej umrah berserta ziarah dengan menginap di Hotel Concorde Makkah dan Madinah.

“Sejak Pok Ya tular, ramai yang mengajukan tawaran kepada saya untuk menjadi duta produk. Namun, saya tergerak hati untuk bersama Richworld Travel disebabkan mereka menonjolkan Pok Ya, bukan Sabri Yunus,” katanya yang selama ini tidak terfikir soal bisnes.

Sabri mengakui, pakej umrah yang lengkap dengan program khatam al-Quran dan majlis tahlil membuka hatinya untuk menjalin kerjasama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 8:52 PM