AMIRA Othman. FOT O Instagram Amira Othman
AMIRA Othman. FOT O Instagram Amira Othman
Norhayati Nordin


PENYANYI dan pelakon, Amira Othman, 25, mengakui dia belum terdesak untuk mencari cinta kerana mahu memberi tumpuan pada kerjaya seninya terlebih dahulu.

Amira turut menafikan dia serik untuk bercinta selepas ikatan kasih bersama rakan seangkatan di Akademi Fantasia 2013 (AF 2013), Azhar putus di tengah jalan.

"Saya tidak serik pun nak bercinta, cuma buat masa ini belum bertemu calon pilihan hati. Lagi pun, kerjaya saya masih perlu diberikan tumpuan.

"Kalau boleh, biarlah saya berjaya dalam kerjaya dahulu sebelum memikirkan komitmen untuk perkahwinan dan hidup berkeluarga,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman ini, dia juga tidak meletakkan kriteria terlalu tinggi buat lelaki yang mahu menambat hatinya.

"Saya orangnya sederhana. Cuma, penting untuk saya lelaki itu bekerja, menghormati orang tua, penyayang, bertanggungjawab dan boleh memimpin keluarga.

"Apa pun, jujur saya akui buat masa ini memang belum terfikir untuk bercinta apatah lagi berkahwin. Saya ada impian yang belum dicapai," katanya.

Terdahulu, Amira pernah dikait dengan gosip cinta bersama penyanyi, Ippo Hafiz dan baru-baru ini nama penyampai radio Era, Radin pula disebut-sebut ramai.

Cukup popular dengan single Hati Hati dan Jaga Jaga, Amira juga muncul dengan single terbaru, Mimpi Indah yang dilancarkan pada 29 Januari lalu.

Sudah tiga bulan muzik video Mimpi Indah dimuat naik di YouTube, lebih 800,000 jumlah tontonan dicatat dan Amira juga dikatakan tidak berani mencuba genre muzik baru.

Menafikan dakwaan itu, Amira berkata dia bukan tidak berani mencuba tetapi lebih selesa dengan genre muzik sama yang menepati kemampuan vokalnya.

Enggan juga tampil dengan sebarang gimik, Amira berkata, dia menceburi bidang seni bukan untuk terlalu bersaing tetapi cukuplah dapat mengetengahkan bakatnya.

Ujar Amira, yang penting adalah usaha kerana rezeki itu milik Allah SWT. Setakat ini, dia sudah bersyukur dengan apa yang sudah diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 11:20 AM