'Warung Mak Chaq' yang menawarkan makanan pada harga RM1. FOTO Azahar Hashim
'Warung Mak Chaq' yang menawarkan makanan pada harga RM1. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim


SEORANG peniaga makanan di Kampung Keladi di Kulim, mempunyai cara sendiri untuk berbakti kepada masyarakat apabila menjual makanan dan minuman di gerainya pada harga RM1.

Makanan dan minuman yang dijual murah adalah laksa, rojak buah dan ais kacang atau air batu campur (ABC) hingga gerainya menjadi tumpuan pelajar dan penduduk kampung serta pelanggan dari luar daerah ini.

Gerai dinamakan 'Warung Mak Chaq' ini terletak di lorong berhampiran Masjid Kampung Keladi.

Peniaga terbabit, Sariah Yusof, 40, berkata, dia dibantu ibunya Maizon Salleh,70, dalam mengusahakan gerai yang dibina di bawah rumah.

"Kami mula berniaga beberapa tahun lalu, namun terpaksa ditutup pada 2014 kerana ada sedikit masalah.

"Bagaimanapun, selepas ramai kanak-kanak terutama murid sekolah yang tinggal di kampung ini bertanyakan mengenai gerai ini, akhirnya saya nekad berniaga semula pada 2015.

"Walaupun sudah lebih lapan tahun, harga kami masih sama sehingga kini iaitu RM1 untuk semua makanan yang dijual,walaupun sekarang ini harga barangan seperti ikan agak mahal," katanya ditemui.

Menurut Sairah, faktor utama makanan digerainya dijual RM1 disebabkan dia kasihan dan prihatin bahawa murid kebanyakan tidak membawa wang belanja yang banyak ke sekolah.

"Kami tidak mahu membebankan murid sekolah, sebab itu kami jual makanan di gerai ini dengan harga murah hingga menjadi tumpuan penduduk kampung.

"Sesiapa yang melalui lorong ini akan berjumpa dengan gerai kami kerana ia agak jauh dari jalan utama.

"Gerai kami juga tidaklah besar sangat dan dibuka setiap hari dari jam 11 pagi sehingga jam 6 petang dan tutup hari Isnin," katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka ada pelanggan memuat naik mengenai gerainya

hingga tular di Facebook sekali gus dikunjungi ramai.

"Ramai pelanggan tertarik dan pada mulanya tidak percaya dengan harga makanan yang kami jual.

"Mereka ini ada yang datang dari Pulau Pinang dan Sungai Petani semata-mata ingin merasai makanan seperti laksa dan ais kacang yang dijual dengan harga RM1,"katanya sambil menegaskan kualiti makanan tidak diabaikan walaupun harganya murah.

Sementara itu Maizon berkata, walaupun makanan dijual murah, mereka tidak rugi selain dapat melakukan amal jariah kepada pelanggan.

Katanya, walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, harga makanan di gerainya tetap tidak berubah.

"Kami bukan mahu bersaing dengan peniaga lain di kawasan ini,cuma kami seronok berniaga serta ingin memberi kepuasan kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah yang sukakan ABC dan rojak buah ketika dalam perjalanan pulang ke rumah," katanya.

Seorang pelanggan, Hassan Aziz,65, dari Taman Seri Kulim berkata, dia kagum masih ada peniaga prihatin terhadap kenaikan sara hidup dan barangan keperluan harian serta sanggup menjual makanan dan minuman pada harga 'tidak masuk akal' iaitu RM1.

Katanya, dia dan rakannya datang untuk merasai sendiri makanan di gerai itu dan teruja apabila rasanya sedap selain kuantitinya sama seperti yang dijual di kedai di tempat lain pada harga lebih mahal.

"Kami merasai sendiri makanan yang dijual dan ia sememangnya sedap seperti di kedai lain yang harganya jauh lebih mahal.

"Mulanya, kami fikir mungkin makanan yang dijual ini tidak berkualiti serta kuantiti atau saiz hidangannya sedikit, namun selepas merasa dan melihat sendiri makanan tanggapan kami meleset.

"Sikap peniaga ini wajar dipuji kerana sanggup menjual makanan dengan harga yang amat murah, walhal sejak adanya GST, kebanyakan peniaga makanan menaikan harga masakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 4:58 PM