Muhammad Daris Wafiy 10, (depan) bersama adiknya Muhammad Daris Rayyan 9, (tengah) dan Muhammad Daris Amsyar 5, ketika pengkebumian ibu bapa mereka Sairulazuwan Nadzim 37, dan Azilina Abdul Aziz, 37, di Tanah Perkuburan Islam Batu 9 Lekir, Sitiawan, hari ini. - Foto MUHAIZAN YAHYA
Muhammad Daris Wafiy 10, (depan) bersama adiknya Muhammad Daris Rayyan 9, (tengah) dan Muhammad Daris Amsyar 5, ketika pengkebumian ibu bapa mereka Sairulazuwan Nadzim 37, dan Azilina Abdul Aziz, 37, di Tanah Perkuburan Islam Batu 9 Lekir, Sitiawan, hari ini. - Foto MUHAIZAN YAHYA
Noor Hidayah Tanzizi


“KETIKA opah kejut beritahu mama, papa dan adik sudah tiada, saya hanya terdiam, dengar semua dalam rumah menangis.

“Kali terakhir jumpa mama pagi tadi sebelum mama nak balik. Mama cium kami dan kata ‘mama balik dulu’.

“Mama pesan pada saya supaya tengokkan adik-adik," kata Muhammad Daris Wafiy Sairulazuwan, 10, anak sulung Sairulazuwan Nadzim,37, dan Azilina Abdul Aziz, 37, yang maut bersama Muhammad Daris Iffat, tiga bulan.

Dalam kejadian 4.30 pagi hari ini, tiga beranak itu maut dalam kemalangan di Kilometer 21 Sitiawan-Teluk Intan berhampiran Kampung Kayan, Sitiawan.

Nahas itu menyebabkan Muhammad Daris Wafiy dan dua lagi adiknya, Muhammad Daris Rayyan, 9, dan Muhammad Daris Amsyar, 5, yatim piatu sekelip mata.

Menurut Muhammad Daris, selepas dikejutkan dari tidur oleh ibunya dan bersalaman, dia dan Muhammad Daris Rayyan tidur semula.

“Sejam selepas itu, tiba-tiba opah datang kejut kami beritahu mama, papa dan adik sudah tiada,” katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Batu 9 Lekir, hari ini.

Menurutnya, dia memilih untuk tinggal bersama datuk (ayah bapanya), Nadzim Mohd Taib dan bersekolah di Sitiawan.

Sementara itu, Nadzim, 68, berkata dia dan isteri akan menjaga dan menguruskan persekolahan tiga cucunya itu.

Menurutnya, menjadi kebiasaan Sairulazuwan, anak ketiga daripada lima beradik itu menghantar semua anak-anak ke rumahnya setiap kali cuti persekolahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 7:06 PM