Kalidevi Mogan Kumarappa


MESKIPUN sudah 19 tahun kemalangan ketika ke sekolah berlalu, kenangan pahit akibat kejadian itu meninggalkan kesan yang cukup besar buat pekerja swasta.

Rita, 32, (bukan nama sebenar) yang kini hidup dengan hanya satu buah pinggang turut trauma untuk ke lokasi kejadian sehingga kini.

Menceritakan kembali detik hitam dalam hidupnya, ibu anak satu itu, berkata kejadian pada 6.30 pagi, 12 September 1998.

Katanya, ketika itu dia bersama rakan sekolah yang juga jirannya sedang menunggu bas awam di perhentian bas di satu lokasi di Pulau Pinang.

Menurutnya, selepas menunggu kira-kira 10 minit, bas tiba dan dia bersama rakannya beratur untuk menaiki kenderaan itu.

“Ketika sedang beratur itu, tiba-tiba motosikal yang dipacu lelaki 40-an melanggar saya dari sisi kanan dan akibatnya saya terpelanting dan jatuh ke jalan.

“Sebaik perlanggaran itu, saya sudah tidak sedarkan diri dan ketika sedar, sudah berada di hospital. Dahi dan muka yang parah dan saya diberi rawatan di unit kecemasan,” katanya.

Katanya, pada mulanya doktor hanya menyangka dia cedera di bahagian muka sahaja dan beberapa jam kemudian.

Tapi, katanya, dia kemudian mengadu sakit perut selain kencing berdarah sebelum pemeriksaan penuh dijalankan ke atasnya.

“Hasil ujian imbas dan MRI, doktor mengesahkan buah pinggang saya di bahagian kanan pecah. Keesokan paginya, saya dibedah untuk membuang organ itu,” katanya.

Meskipun dia yang kini hidup dengan hanya satu buah pinggang dan menjalani kehidupan normal, dia masih tidak dapat memaafkan lelaki pemabuk yang melanggarnya itu.

333 PEMANDU DEGIL, ENGGAN BERI KERJASAMA

“HAMPIR setiap hari ada pemandu mabuk yang ditahan di Kuala Lumpur. Sepanjang tahun ini, sekurang-kurangnya 661 diambil tindakan atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.”

Itu yang dinyatakan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussein.

Beliau yang secara rasminya menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (STAGG), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, bermula hari ini, sempat diwawancara Harian Metro berhubung aktiviti pemanduan dalam keadaan mabuk di ibu kota.

333 pemandu mabuk disiasat mengikut Seksyen 45c akta kerana keengganan memberikan kerjasama untuk menjalani ujian pernafasan, kata Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussein.
333 pemandu mabuk disiasat mengikut Seksyen 45c akta kerana keengganan memberikan kerjasama untuk menjalani ujian pernafasan, kata Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussein.

Menurutnya, dalam tempoh Januari hingga 24 Oktober lalu, 661 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 45a Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan dengan paras alkohol yang melebihi yang dibenarkan.

“Tiga puluh tiga kertas siasatan pula dibuka mengikut Seksyen 45b APJ 1987 iaitu kandungan alkohol dalam pernafasan dan 333 lagi mengikut Seksyen 45c akta yang sama iaitu keengganan memberikan kerjasama untuk menjalani ujian pernafasan.

“Mengikut Seksyen 45c, sampel darah dan air kencing pemandu mabuk ini akan diambil sebelum dihantar ke Jabatan Kimia dan selepas keputusan ujian diperoleh, mereka akan dituduh di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya, mereka yang dituduh mengikut Seksyen 45c ini adalah pemandu gagal menjalani ujian pernafasan menggunakan alat SDII di lokasi kejadian sebagai pemeriksaan awal.

“Jika gagal pemeriksaan awal, mereka akan dibawa ke ke balai JSPT KL untuk pemeriksaan lanjut sebelum diperiksa semula dengan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) untuk mengesahkan kandungan alkohol dalam badan.

“Mesin EBA akan mengeluarkan slip bacaan alkohol yang boleh digunakan untuk tujuan pendakwaan di mahkamah. Jika pemandu berkenaan gagal menjalani kedua - dua ujian, baru sampel darah dan ujian air kencing ini diambil,” katanya.

Beliau berkata, ada juga pemandu yang sengaja enggan memberi kerjasama ketika ujian pernafasan diadakan dengan sangkaan boleh bebas daripada tindakan undang-undang.

ANTARA pemandu yang disyaki mabuk diminta melakukan ujian pernafasan di Kuala Lumpur. FOTO Kalidevi
ANTARA pemandu yang disyaki mabuk diminta melakukan ujian pernafasan di Kuala Lumpur. FOTO Kalidevi

Namun, katanya, mereka silap kerana terdapat tiga tahap pemeriksaan yang mampu dilakukan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Mohd Nadzri berkata, hanya pemandu yang mempunyai kandungan alkohol dalam nafas melebihi 80 miligram (mg) akan diambil tindakan atau menjalani pemeriksaan lanjut menggunakan mesin EBA.

Beliau berkata, pengambilan minuman beralkohol atau arak dikenal pasti antara punca kemalangan tertinggi di negara ini dan disebabkan itu, hampir 30 pegawai dan anggota dari JSPTKL ditugaskan untuk menjalankan Ops EBA (mabuk) setiap hari.

“Individu yang minum arak terutama dalam kuantiti yang banyak akan mabuk dan dalam keadaan kurang normal. Oleh itu, apabila mereka memandu, risiko mereka terbabit dalam kemalangan adalah tinggi.

“Ops EBA ini bukan saja bagi mengesan mereka memandu dalam keadaan mabuk tetapi juga bagi mengurangkan kemalangan berpunca daripada pemanduan dalam keadaan mabuk.

“Banyak kes yang membabitkan motosikal yang dilanggar kenderaan besar berpunca daripada faktor ini,” katanya.

Ketika diminta nasihat buat orang ramai, Mohd Nadzri berkata, sekiranya keadaan tidak membenarkan pemanduan kerana mabuk alkohol, pemandu perlu membawa rakan lain untuk memandu kenderaan.

“Atau gunakan pengangkutan awam jika mendapati kandungan alkohol dalam badan sudah tinggi . Ia bagi mengelak daripada disaman pihak berkuasa dan sekaligus dapat mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 9:26 PM
ANTARA pemandu yang disyaki mabuk diminta melakukan ujian pernafasan di Kuala Lumpur. FOTO Kalidevi
ANTARA pemandu yang disyaki mabuk diminta melakukan ujian pernafasan di Kuala Lumpur. FOTO Kalidevi
333 pemandu mabuk disiasat mengikut Seksyen 45c akta kerana keengganan memberikan kerjasama untuk menjalani ujian pernafasan, kata Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussein.
333 pemandu mabuk disiasat mengikut Seksyen 45c akta kerana keengganan memberikan kerjasama untuk menjalani ujian pernafasan, kata Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussein.
RITA yang kini hidup dengan hanya satu buah pinggang selepas kemalangan pada 12 September 1998. FOTO Kalidevi
RITA yang kini hidup dengan hanya satu buah pinggang selepas kemalangan pada 12 September 1998. FOTO Kalidevi