ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat  mangsa selepas ditemui di perangkap sampah. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa selepas ditemui di perangkap sampah. FOTO ihsan Bomba
Hamzah Osman


MAYAT kedua mangsa tragedi 'kepala air' di air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi ditemui tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Hisham Ibrahim berkata, mayat Nor Aiman Wahidah Mohd Rosli, 11, ditemui pada 12.40 tengah malam oleh orang awam.

"Mayat mangsa ditemui di perangkap sampah dalam sungai di Kampung Ulu Melaka, kira-kira 5.8 kilometer dari lokasi kejadian.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Terdahulu, mayat Qistina Puteri Wira, 11, ditemui penduduk kampung tersangkut pada tebing sungai kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian pada 5.30 petang, semalam.

ŽOrang ramai turut memantau persekitaran kawasan sungai air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi, hari ini. STR/Hamzah Osman
ŽOrang ramai turut memantau persekitaran kawasan sungai air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi, hari ini. STR/Hamzah Osman

Harian Metro semalam melaporkan, dua kanak-kanak terselamat manakala seorang maut dan tiga lagi kanak-kanak dikhuatiri lemas akibat dihanyut arus deras yang membadai secara tiba-tiba dalam kejadian 4.30 petang itu.

Sehingga berita ini ditulis, Anis Syahtirah Saad, 12, dari Kampung Lawer dan Siti Aishah Kassim, 5, dari Bukit Malut masih hilang dan belum ditemui.

Ahmad Hisham berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada 7 pagi ini dengan satu pasukan bomba membuat pencarian di permukaan sungai di Kampung Bukit Kemboja.

"SAR yang memasuki hari kedua turut membabitkan penyertaan anggota Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam," katanya.

Berita berkaitan:

Semoga Anis ditemui segera

Sempat paut pada batu

1 lemas, 3 masih hilang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 9:39 AM