Nabihah Kamal


Bibir dan dua jarinya beku, namun suri rumah, Rosmani Ahmad , 53, akhirnya berjaya menakluk gunung Island Peak di banjaran Himalaya, Nepal bersendirian pada Sabtu lalu.

"Setiap kali saya berasa penat dan putus asa, saya akan ingat anak saya cakap 'Mama boleh buat'. Itu yang menjadi pendorong untuk saya sampai di gunung yang ketinggian 6,189 meter dari aras laut itu," katanya ketika ditemui di Damansara, hari ini.

Nenek kepada dua cucu itu berkata, dia mengambil keputusan untuk ke Nepal mendaki gunung itu selepas beberapa hari pulang daripada mendaki Gunung Kerinci, Indonesia juga bersendirian.

Katanya, dia mengambil masa 17 hari untuk menawan gunung Island Peak

"Semua pendakian yang saya lakukan adalah secara solo melainkan di Gunung Kinabalu kerana di sana tidak dibenarkan mendaki sendirian.

"Sememangnya mencabar, namun anak-anak adalah kekuatan saya," kata ibu kepada tiga anak itu.

Menurutnya, selain suami, anaknya sentiasa memberi sokongan terhadap hobi yang baru diminati sejak November tahun lalu.

Katanya, persediaan mental dan fizikal adalah perkara utama dalam melaksanakan misi pendakian solonya itu.

"Boleh dikatakan setiap hari saya bersenam dan memasuki taman di sekitar kawasan rumah saya selama dua jam. Bukan itu saja, insurans juga perlu untuk memastikan perjalanan terjamin.

"Wang yang saya habiskan (daki gunung Island Peak melebihi US$2,200 (RM9,312.44)," katanya.

Rosmani berkata, bukan saja terpaksa berhadapan dengan cuaca sejuk, ketika pendakian dia berdepan ribut dan salji.

"Risau kerana saya pulang mengikut laluan yang lebih jauh di mana saya membuat pusingan untuk turun ke Lukla. Ketika itu, saya terdengar bunyi angin kuat membuatkan telinga saya berdesing.

"Ada juga saya berhadapan dengan runtuhan ais sebaik beberapa langkah saya berjalan dari kawasan berkenaan. Ktika perjalanan ke puncak itu dua jari dan bibir saya beku dan air pula habis.

"Tiada daya ketika itu namun kekuatan saya adalah anak-anak, "katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di puncak , dia terus sujud syukur dan begitu kagum dengan ciptaan Allah SWT.

"Begitu cantik tidak terkata dan menghargai ciptaan Allah yang begitu indah.

"Itu adalah kepuasan sebagai pendaki, hilang dan terlupa penat dan sakit apabila melihat pemandangan dari puncak," katanya.

Menurut Rosmani, dia berhasrat untuk mendaki lagi pada masa hadapan bagi kerja amal.

"Selepas ini sesiapa yang mahu taja saya untuk mendaki mana-mana gunung, saya sanggup sahut cabaran itu demi kebajikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 10:00 PM
Rosmani menakluk gunung Island Peak di banjaran Himalaya, Nepal pada Sabtu lalu. FOTO ihsan Rosmani
Rosmani menakluk gunung Island Peak di banjaran Himalaya, Nepal pada Sabtu lalu. FOTO ihsan Rosmani