Mayat bayi lelaki yang ditinggalkan di dalam kotak di Kampung Air, Sandakan, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Mayat bayi lelaki yang ditinggalkan di dalam kotak di Kampung Air, Sandakan, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Hazsyah Abdul Rahman


MAYAT bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di dalam kotak di bawah Jambatan 4, Kampung Air, dekat Sandakan, hari ini.

Mayat bayi lelaki yang cukup sifat itu ditemui oleh orang awam di kampung atas air itu pada 8.45 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komioner Mohd Azhar Hamin berkata, selepas menerima maklumat daripada orang awam, sepasukan anggota polis ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.

“Mayat bayi berkenaan ditemui tanpa dibalut dengan sebarang kain dan ditinggalkan di dalam kotak. Bayi itu masih memilki tali pusat.

"Namun, tiada uri ditemui bersama bayi berkenaan. Mayat bayi berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk siasatan lanjut," katanya hari ini.

Mohd Azhar berkata berkata, berdasarkan siasatan awal dan laporan bedah siasat, bayi lelaki berkenaan mungkin meninggal dunia ketika proses kelahiran.

Beliau berkata, bayi itu dilahirkan tidak cukup bulan ketika kandungan ibunya sudah berusia enam bulan.

Katanya, bayi seberat 318 gram dan sepanjang 34 sentimeter itu mempunyai cukup sifat.

Menurutnya, tiada sebarang tanda pereputan atau kecacatan ditemui pada badan bayi terbabit.

“€œNamun, terdapat kesan lebam pada belakang badan, punggung dan kaki bayi itu disyaki disebabkan proses kelahiran.

"Tiada sebarang kecederaan dalaman ditemui pada tubuhnya," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Azhar berkata, polis meminta kerjasama mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil bagi membantu siasatan.

"Kita juga memohon kerjasama klinik swasta dan bidan kampung di daerah ini yang tahu jika ada ibu melahirkan bayi dalam masa terdekat ini.

"Siasatan terperinci masih dilakukan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang bayi," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 8:57 PM