Juwan Riduan


"SAYA ingatkan patung, rupanya bayi," kata Hassanudin Sabang, 28, yang menemui mayat bayi lelaki berkenaan di tempat pembuangan sampah di Taipan, Inanam, tengah malam tadi.

Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan cukup sifat itu ditemui kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Hassanudin yang juga peniaga bakso berkata, ketika membuang sampah, dia terpandang satu bungkusan plastik berisi seperti anak patung.

"Saya cuba memeriksa dan melihat ada tompokan darah pada bungkusan plastik itu. Saya kemudian mengangkat dan tiba-tiba terkeluar tubuh bayi yang masih bertali pusat.

"Saya terus meminta bantuan beberapa individu berhampiran lokasi berkenaan untuk segera menghubungi polis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia terkejut dan amat sedih kerana melihat kejadian seperti ini.

"Saya sedih melihat keadaan bayi diperlakukan sedemikian, kerana saya juga mempunyai seorang anak berusia sebulan," katanya.

MAYAT bayi ditemui di kawasan pembuangan sampai di Taipan Inanam, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
MAYAT bayi ditemui di kawasan pembuangan sampai di Taipan Inanam, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bayi itu adalah lelaki yang masih bertali pusat, cukup sifat dengan berat kira-kira empat kilogram.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian turut dilakukan sepasukan pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

"Mayat bayi berkenaan di bawa ke HQE untuk bedah siasat dan siasatan masih diteruskan," katanya.

Sehubungan itu, Habibi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menyalurkan ke pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 12:24 PM