GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Norasikin Daineh


MAYAT bayi cukup sifat ditemui dalam loji kumbahan pengasingan sampah di Taman Mahkota Impian Labuan hari ini.

Mayat bayi yang belum diketahui jantina ditemui pekerja loji kumbahan ketika melakukan kerja pembersihan pada 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengadu lelaki memaklumkan penemuan bayi dalam loji kumbahan terbabit.

“Hasil pemeriksaan, bayi dipercayai baru dilahirkan itu didapati cukup sifat bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Mayat bayi dianggarkan sudah meninggal dunia antara 24 hingga 36 jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan lanjut di kawasan itu mendapati loji kumbahan khas itu untuk taman perumahan berhampiran dan terdapat 144 rumah di kawasan itu.

“Kali terakhir pekerja loji membuat kerja pembersihan di loji itu Jumaat lalu,” katanya.

Muhamad Farid berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek.

“Mayat bayi dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat termasuk mengenal pasti jantina bayi itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 5:09 PM