INDAH Ruhaila. FOTO Aziah Azmee
INDAH Ruhaila. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


Biarpun masih terselamat dalam persaingan program AF Megastar, persembahan penyanyi Indah Ruhaila, 30, minggu lalu didakwa buat ramai kecewa.

Mereka kurang menyukai persembahannya menyanyikan lagu Chandelier dendangan asal Sia untuk menyahut cabaran tema rock.

Pelbagai kritikan pedas peminat yang kurang menyukai persembahannya. Ada yang mendakwa Indah menyanyi dengan sebutan tidak jelas, dilihat seakan-akan terlalu mencuba dan yang pasti ia satu persembahan mengecewakan.

Tambah mengecewakan penonton setia AF Megastar apabila Ewal yang disifatkan memberi persembahan yang baik diumumkan tersingkir.

Indah atau atau Siti Ruhailah Hussein ketika dihubungi mengakui tidak ambil tahu langsung kritikan berbaur negatif ditulis atau diluahkan penonton di platform media sosial.

Katanya, dia sebenarnya lebih fokus kepada kritikan daripada juri profesional yang menilai persembahan berbanding menerima komen orang luar.

“Melalui kritikan dan komen dikongsi juri, ia secara tidak langsung membantu saya memperbaiki apa yang kurang.

“Manakala komen daripada pihak luar pula selalunya yang diterima lebih banyak menghentam dan ada baiknya tidak ambil peduli.

“Namun, kepada penonton atau netizen yang berkongsi kritikan membina, saya biasanya tidak abaikan perkongsian mereka,” katanya.

Kata Indah, dia menerima komen diberi juri tetap, Datuk Ramli MS dengan hati terbuka untuk persembahan minggu lalu.

“Saya juga tidak berasa terlalu kecewa dengan persembahan saya kerana segala usaha sudah dilakukan sebaik mungkin. Saya cuba melakukan sebaik mungkin menyanyikan lagu Chandelier mengikut tema rock.

“Sebagai penyanyi lagu balada dan pop, saya akui tidak mudah untuk menyanyikan lagu rock mengikut ‘air lagu’ sebenar.

“Bagaimanapun, saya sedar kini perlu bersaing dengan penyanyi lain dalam satu pertandingan dan semestinya tidak gentar untuk mencuba,” katanya.

Untuk persembahannya minggu kelima esok, Indah memilih lagu Lelaki dendangan asal Yuna untuk tema mahakarya.

Katanya, tema kali ini lebih menjurus kepada lagu popular hingga kini dan pernah menang anugerah dalam majlis prestij.

“Pada saya lagu Lelaki hebat kerana pencapaian diraih ketika Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) apabila menang Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik.

“Saya akan cuba menyanyikan lagu ini dengan cara sendiri tanpa dibayangi Yuna. Apa yang saya utamakan, penceritaan dalam lagu itu akan sampai kepada penonton,” katanya.

Indah juga menyerahkan kepada rezeki mengenai peluangnya untuk ke final. Katanya, yang pasti tujuan sebenar dia menyertai AF Megastar untuk menimba pengalaman selain memperbaiki kelemahan diri.

“Untuk menang, saya tahu semua peserta AF Megastar yang bertanding mempunyai impian itu tetapi semuanya bergantung kepada rezeki.

“Apa yang sangat saya harapkan sekarang ialah keadaan kesihatan tidak terganggu dan sentiasa pada tahap baik,” katanya.

Mengenai peserta AF Megastar yang dilihatnya sangat menyerlah, Indah akui kagum dengan Idayu. Dari segi alunan vokal dan corak persembahan, dia dapati Idayu menunjukkan kelainan pada setiap minggu.

Peserta lain ialah Amir Jahari, Bob Yusof, Sufi Rashid, Syamel, Shahir, Marsha dan Amir (AF 2016). AF Megastar disiarkan setiap Ahad di Astro Ria, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 3:31 AM