FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Beijing: China meluluskan akta bagi mengurangkan beban kerja sekolah di rumah dalam usaha memelihara kebajikan kanak-kanak.

Memetik agensi berita rasmi, Xinhua yang disiarkan portal The National, China meluluskan undang-undang pendidikan untuk mengurangkan 'tekanan berganda' kerja rumah dan kelas tambahan dalam subjek utama.

Undang-undang baharu itu, yang belum diterbitkan sepenuhnya, akan menjadikan kerajaan tempatan bertanggungjawab untuk memastikan tekanan berganda dikurangkan.

Ia juga memerlukan peranan ibu bapa mengatur jadual anak-anak mereka dengan mengambil kira waktu rehat dan senaman yang munasabah, sekali gus mengurangkan tekanan serta mengelakkan penggunaan Internet secara berlebihan.

Tahun ini, China turut mengambil tindakan lebih tegas dalam mengatasi ketagihan permainan video anak muda termasuk mengekang 'pemujaan buta' golongan itu terhadap selebriti Internet.

Parlimen China pada Isnin berkata, kerajaan akan mempertimbangkan undang-undang untuk menghukum ibu bapa jika anak-anak mereka menunjukkan 'tingkah laku yang sangat buruk' atau melakukan jenayah.

Sebelum ini, kementerian pendidikan turut mengehadkan waktu permainan atas talian untuk kanak-kanak bawah umur selama satu jam pada Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja.

Kementerian itu turut mengurangkan kerja sekolah dan melarang kelas tuisyen selepas waktu sekolah untuk mata pelajaran utama pada hujung minggu dan cuti kerana kebimbangan beban akademik terlalu banyak bagi kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 10:31 AM