OZIL mungkin sertai Fenerbahce. FOTO Agensi
OZIL mungkin sertai Fenerbahce. FOTO Agensi
Agensi

London: Mesut Ozil sedia meninggalkan Arsenal bulan ini tetapi hanya jika kelab setuju terus membayar baki gajinya dalam tempoh dua tahun, menurut laporan hari ini.

Pemain tengah Arsenal itu tidak beraksi di bawah kendalian pengurus, Mikel Arteta sejak Mac lalu dan dijangka meninggalkan Stadium Emirates tahun ini ketika kontraknya dengan gaji £350,000 (RM1.9 juta) seminggu berakhir Jun depan.

Laporan sejak akhir-akhir ini mengaitkan pemain berusia 32 tahun itu dengan kelab Turki, Fenerbahce dan kelab Major League Soccer, DC United.

Menurut The Sun, Ozil sedia menamatkan kontrak lumayan di Arsenal lebih awal tetapi hanya jika kelab setuju membayar £68,000 (RM317,000) seminggu sehingga musim panas 2023.

Sementara itu, laporan di Turki berkata kedua-dua kelab dan Ozil memasuki fasa rundingan mengenai baki gaji yang boleh membuka jalan kepadanya untuk berpindah pada jendela perpindahan bulan ini.

Jika Ozil kekal bersama kelab sehingga kontraknya tamat, dia bakal meraih anggaran £7.2 juta tetapi difahamkan perpindahan itu kurang menguntungkannya berbanding apa yang didapati bersama Arsenal.

Gunners menyedari pendirian Ozil tetapi enggan terus menekan sebaliknya mahu mencapai persetujuan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 10:01 PM