RONALDO bersama anaknya, Cristiano Jnr. FOTO Agensi
RONALDO bersama anaknya, Cristiano Jnr. FOTO Agensi
Agensi

London: Bintang Juventus dan Portugal, Cristiano Ronaldo berkata, dia tidak akan memaksa anaknya mengikuti jejak langkahnya menjadi pemain bola sepak.

Cristiano Junior, 10, beraksi di akademi Juventus tetapi bapanya yang terkenal serata dunia menegaskan anaknya itu tidak semestinya terbabit dalam bidang sama.

Pemain berusia 35 itu berkata demikian selepas dipilih Pemain Terbaik Abad Ini di Anugerah Globe Soccer di Dubai, semalam.

''Kita tunggu sama ada anak saya akan menjadi pemain bola sepak hebat,'' katanya.

''Ada ketikanya dia minum coke dan makan kentang goreng, sesuatu yang saya tidak suka, dia tahu itu.

''Kadang-kadang saya suruh dia berendam dalam air sejuk selepas bersenam di treadmill dan dia kata: 'Ayah, ia sangat sejuk. Bagi saya, ia ok. Dia baru 10 tahun.

''Saya selalu beritahu dia, untuk berjaya perlukan kerja keras dan dedikasi. Saya tidak akan memaksa dia menjadi pemain bola sepak tetapi saya suka ia terjadi.

''Perkara paling penting ialah menjadi yang terbaik, sama ada bola sepak atau perubatan.''

Ronaldo dan teman wanitanya, Georgina Rodriguez turut mempunyai anak kembar Eva dan Mateo selain anak perempuan, Alana Martina. Cristiano Jnr adalah anak sulung daripada empat beradik.

Ronaldo pernah berkata kepada Bein Sports mengenai anaknya, Cristiano Jnr dua tahun lalu: ''Saya berharap dia boleh menjadi seperti ayahnya. Dia kata dia akan menjadi lebih baik daripada saya tapi saya fikir ia pasti sukar.''

Cristiano Jnr mencuri perhatian pada tahun pertama di akademi Juventus ketika menyertainya pada 2018 dengan meledak gawang 58 kali dalam 28 perlawanan bersama skuad Bawah 9 Tahun selain mencipta 18 bantuan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 10:18 PM