MALAYSIA raih emas acara hoki dalam dewan di Filipina.
MALAYSIA raih emas acara hoki dalam dewan di Filipina.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) masih berharap acara hoki dalam dewan dipertandingkan di Sukan Sea Hanoi menerusi rayuan yang akan dikemukakan oleh Persekutuan Hoki Asia (AHF) kepada Ahli Majlis Persekutuan Sukan Sea (SEAGF).

Timbalan Presiden MHC, Datuk Dr S Shamala berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif AHF, Datuk Tayyab Ikram kepadanya.

"Saya dimaklumkan Datuk Tayyab mereka sedang mengemukakan rayuan. Ini kerana katanya ada tujuh negara yang bersedia menghantar pasukan. Saya fikir fasiliti bukan masalah utama, sebaliknya tuan rumah mungkin mengambil perkiraan mengutamakan sukan yang membolehkan mereka meraih lebih banyak emas," katanya.

Jelas Shamala, sekiranya sah acara itu tidak dipertandingkan di Hanoi, maka Malaysia sememangnya kerugian dua emas selepas memenangi acara lelaki dan wanita tahun lalu di Filipina.

Jumaat lalu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan 40 jenis sukan bakal dipertandingkan pada Sukan Sea 2021 yang dijadual dari 21 November hingga 2 Disember tahun depan.

Keputusan itu diputuskan pada mesyuarat SEAGF bersama Jawatankuasa Penganjuran Sukan Sea Vietnam yang diadakan secara maya.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun berkata, hoki dalam dewan masih berpeluang untuk disenaraikan pada Sukan Sea 2021, namun bergantung kepada perbincangan lanjut di antara pihak penganjur dan kerajaan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 6:40 PM