TIADA bukti saintifik menunjukkan detoks hati mampu mengeluarkan toksin dari badan seseorang. - FOTO Freepik
TIADA bukti saintifik menunjukkan detoks hati mampu mengeluarkan toksin dari badan seseorang. - FOTO Freepik
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Sekiranya melakukan carian dalam talian mengenai 'detoks hati,' anda akan dibanjiri pelbagai tip, suplemen, panduan dan banyak lagi.

Dalam trend detoks yang semakin popular ketika ini, soalan penting untuk dibahaskan adalah benarkah hati iaitu organ khusus untuk membuang toksin, akan menerima manfaat daripada detoks?

Mungkinkah juga semua itu cuma plasebo yang boleh membahayakan kesihatan jika dibuat dengan cara salah?

Detoks mungkin nampak menjanjikan dan menjadikan anda berasa jauh lebih baik ketika dalam prosesnya.

Hakikatnya, diet detoks kebiasaannya membuang makanan proses, gula dan alkohol daripada diet harian anda.

Sewajarnya semua makanan dan minuman tidak membawa khasiat itu sentiasa dikurangkan, bukan hanya pada waktu detoks sahaja.

Menurut Pakar Pemakanan bertauliah dari LAC Malaysia, Cynthia Jetan, program detoks hati sama sekali tidak merawat atau mencegah penyakit.

Malah kata Cynthia, tiada bukti saintifik yang menunjukkan detoks hati atau pembersihan itu mampu untuk mengeluarkan toksin dari badan seseorang ataupun membuatkan mereka hidup dengan lebih sihat.

Kata beliau, kesihatan keseluruhan manusia, genetik, diet, gaya hidup dan persekitaran, semuanya berkaitan dengan hati.

Hati manusia organ kedua terbesar dalam badan di mana ia menggalas banyak fungsi penting seperti membuang toksin, membersihkan ubat dari badan, sehinggalah memproses makanan setiap hari.

"Ia juga mampu mengatur tahap kolesterol, membina protein, mengawal tahap hormon dan menyimpan gula untuk digunakan pada waktu anda memerlukannya.

"Oleh itu, jika hati tidak berfungsi dengan baik, toksin akan terkumpul dan anda tidak boleh untuk mencerna makanan.

"Penting untuk diketahui seseorang itu tidak akan mampu untuk hidup selama seminggu tanpa hati," katanya.

Dalam pada itu, meskipun nampak menarik untuk dilakukan, namun ia hanya penyelesaian sementara sahaja berbanding kesan jangka panjang dari tabiat dan pengalaman gaya hidup sihat dengan penjagaan konsisten.

Malah, apa yang terbaik yang boleh anda lakukan untuk menjaga kesihatan hati adalah memelihara dan menjaganya dengan lebih teliti, sebaik mungkin.

HATI organ kedua terbesar yang menggalas banyak fungsi penting. - FOTO Freepik
HATI organ kedua terbesar yang menggalas banyak fungsi penting. - FOTO Freepik

Kata Cynthia, apa yang membuatkan hati seseorang itu terlalu terbeban disebabkan gaya hidup masa kini termasuk mengambil alkohol, tidur yang semakin berkurangan, tekanan berpanjangan, perasaan marah dan penggunaan dadah serta ubat-ubatan.

Sebelum memberi fokus kepada detoks hati, seseorang itu seharusnya memberikan fokus untuk menyokong fungsi hati dan kesihatannya secara keseluruhan.

"Selain itu, perlu difahami bahawa masalah hati boleh menjadi lebih parah dalam diam. Tanpa disedari hati kita sudah menghadapi pelbagai masalah sehingga munculnya gejala dan simptom yang amat jelas.

"Malah, kebiasaannya hati sudah rosak 90 peratus apabila menyedari bahawa kita mempunyai masalah hati.

"Melihat kanser hati yang menjadi antara kanser paling tinggi di Malaysia pada tahun 2021, penjagaan jangka panjang amat penting dan tidak boleh diambil ringan," katanya.

Menurut Cynthia lagi, hati organ yang rajin dan boleh membaiki sel-selnya yang rosak dengan sendiri.

Tetapi, ia akan rosak jika tidak dijaga dengan sebaiknya.

"Apabila hati terlalu terbeban, ia tidak boleh berfungsi seperti sedia kala dan akhirnya setiap organ dalam badan akan terjejas.

"Ia boleh dikesan dengan tanda-tanda seperti pencernaan tidak elok, kolesterol tinggi, kulit gatal, penat, lesu, tiada selera makan, air kencing gelap dan najis pucat.

"Selain itu, tidur tidak lena yang menyebabkan anda kerap terjaga dan perut kembung antara tanda awal hati seseorang itu terlalu terbeban," katanya.

Sebagai langkah penjagaan kesihatan hati, Cynthia menasihatkan supaya mengambil makanan seimbang serta elak makanan diproses atau makanan ringan bagi mengelakkan hati dibebani toksin.

Selain itu, pastikan kekal aktif kerana senaman akan mendorong tubuh untuk mengekalkan berat yang ideal, sekali gus mengurangkan risiko obesiti dan impak kepada hati.

"Penting juga untuk mendapatkan tidur yang mencukupi kerana akan memberi peluang kepada hati anda memperbetulkan diri dan menyokong keupayaannya dalam menghasilkan glukosa serta memproses insulin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 6:45 AM