AIR detoks buah-buahan baik untuk kesihatan.
AIR detoks buah-buahan baik untuk kesihatan.

Pengambilan pelbagai makanan tidak seimbang saban hari terutama disebabkan kesibukan harian pastinya menimbulkan risiko peningkatan berat badan selain pelbagai penyakit yang tidak diundang.

Tubuh manusia mengandungi kira-kira 70 peratus air dan ini bermakna setiap hari, setiap individu memerlukan lapan hingga 10 gelas atau bersamaan dua hingga tiga liter air.

Minum air dengan secukupnya akan memberikan banyak manfaat kepada kesihatan terutama membantu menyingkirkan toksin dalam tubuh dan menjadikan tubuh lebih bertenaga, peka dan fokus.

Di samping itu, ia menjadikan kulit kekal lembap dan berseri manakala rambut lebih kuat dan bersinar.

Bagaimanapun, apa yang sering menjadi masalah apabila ramai tanpa mengira usia tidak mampu mengambil air masak secukupnya.

Pengambilan air yang disarankan boleh dicukupkan sekiranya bijak mempelbagaikan rasa dan kaedah penyediaannya.

Sekiranya anda dalam proses menguruskan badan, sebaik-baiknya elakkan pengambilan gula dalam makanan dan juga minuman. Sebagai pilihan, pengambilan air detoks lebih sesuai malah penyediaannya juga mudah tanpa memerlukan masa yang lama.

Bahannya:

- Buah-buahan mengikut cita rasa (oren, strawberi, kiwi, daun pudina)

- Air kosong

Cara penyediaan:

- Gabungkan hirisan dua biji kiwi dengan beberapa biji strawberi dan tujuh helai daun pudina ke dalam bekas minuman anda.

- Sejukkan seketika di dalam peti sejuk untuk rasa lebih sedap dan nyaman. Kiwi kaya dengan vitamin A dan E yang membantu melawan radikal bebas serta mengeluarkan toksin manakala strawberi pula bagus untuk kesihatan dan kecantikan kulit.

- Selepas disejukkan, anda boleh terus minum air detoks ini yang nyata menyegarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 5:29 AM