MAKANAN tidak dianggap manis tapi dipenuhi gula tersembunyi juga perlu dikurangkan.
MAKANAN tidak dianggap manis tapi dipenuhi gula tersembunyi juga perlu dikurangkan.
Yusliza Yakimir Abd Talib


DETOKS gula adalah antara diet fad (diet sementara atau pelan diet menjanjikan penurunan berat badan cepat) yang popular dalam kalangan sesetengah orang dan menjadi trend kesihatan terkini.

Sesetengah orang menganggap tabiat pemakanan yang ‘memotong’ semua gula ini boleh dilakukan hanya dengan menghentikan minuman dan makanan manis seperti mufin, kek dan coklat.

Namun ramai yang tidak sedar gula juga wujud dalam sumber karbohidrat lain seperti beras, mi, roti dan kentang. Tidak kurang juga kandungan gula tersembunyi dalam banyak makanan yang diiklankan syarikat besar sebagai sihat.

Makanan tidak dianggap manis seperti roti, keropok dan sos spageti sebenarnya juga dipenuhi gula tambahan yang tersembunyi di bawah nama seperti maltosa, dextrose, sirap (semua jenis sirap), sirap jagung fruktosa tinggi atau molase.

Bagaimana pula dengan sarapan bijirin atau granola yang anda makan setiap pagi? Percaya atau tidak, makanan ini juga dipenuhi gula. Ada yang kandungan gulanya hampir dua kali lebih banyak berbanding coklat gelap.

Jadi pada asasnya, dengan mengikuti program detoks gula, anda perlu mengurangkan pengambilan semua bentuk gula dalam makanan harian anda.

Pakar Pemakanan dan Pengasas Homey, Yi Chien berkata, beberapa kajian mendapati gula mempengaruhi otak dengan cara yang sama seperti bahan ketagihan contohnya nikotin, kokain dan morfin.

“Secara purata rakyat Malaysia mengambil 22 hingga 30 sudu teh gula sehari disebabkan budaya makanan. Jumlah ini jauh lebih banyak daripada yang disarankan iaitu enam sudu teh. Jadi tentu saja apabila anda memulakan program detoks gula, anda akan mengalami beberapa gejala penyisihan.

“Detoks gula boleh menyebabkan gejala fizikal dan mental yang tidak menyenangkan. Tindak balas tubuh terhadap pemberhentian gula berbeza untuk semua orang. Gejala yang anda alami dan keterukan gejala ini bergantung pada berapa banyak gula anda ambil setiap hari,” katanya.

Menurutnya, gejala penyisihan boleh berlangsung daripada beberapa hari hingga dua minggu. Semakin lama tubuh anda tanpa gula, gejala dan keinginan terhadap gula makin berkurang.

Anda mungkin mendapati gejala lebih teruk pada waktu tertentu seperti antara waktu makan. Tekanan juga dikenal pasti boleh mencetuskan keinginan terhadap gula, jadi anda mungkin mendapati gejala kelihatan lebih teruk ketika tertekan.

MAKANAN tinggi gula turut terkandung dalam makanan dilabel ‘sihat’.
MAKANAN tinggi gula turut terkandung dalam makanan dilabel ‘sihat’.

KESAN DETOKS GULA

Jika anda sudah menghapuskan semua sumber gula daripada diet termasuk buah dan tenusu, anda mungkin mengalami flu keto.

Individu yang melakukan diet ketogenik mengambil kurang daripada 20 gram karbohidrat setiap hari. Tanpa akses kepada gula atau karbohidrat lain, badan tidak mempunyai sumber glukosa.

Glukosa adalah seperti bahan api untuk sel manusia dan tanpanya, kita mulai kelaparan. Badan terpaksa beralih ke simpanan lemak untuk sumber bahan bakar alternatif dan ini akan menyebabkan keadaan yang disebut ketosis. Ketosis boleh mengakibatkan gejala seperti:

• Loya

• Keletihan

• Sakit kepala

• Kekejangan otot

• Bau nafas busuk

• Lemah

• Sembelit atau cirit-birit

KESAN SAMPINGAN

• Kemurungan

• Kebimbangan

• Perubahan dalam pola tidur

• Masalah kognitif

• Sukar beri tumpuan

• Keinginan terhadap makanan

• Sakit kepala ringan dan pening

• Rasa mual

• Kebas

• Keletihan

CARA KAWAL KESAN SAMPINGAN

1. Hentikan pengambilan gula serta-merta

Mengehadkan pengambilan gula secara beransur-ansur boleh membantu mengurangkan gejala, tetapi gejala itu akan berlanjutan untuk tempoh lama.

Apabila anda memotong jumlah gula secara serta- merta, badan akan dapat mengadaptasi dengan keadaan tanpa gula dengan lebih cepat. Gejala penyisihan juga berakhir lebih cepat. Lakukan dengan menghentikan pengambilan semua bentuk gula, termasuk dalam makanan segera, minuman manis dan tepung putih.

2. Makan lebih protein

Tambahkan protein pada setiap hidangan bagi membantu mengelak kelaparan dan tahap tenaga yang rendah semasa proses detoks gula. Ini akan membantu anda untuk mengekang godaan mencapai coklat, gula-gula atau makanan manis.

3. Tambah serat dalam makanan

Serat membuatkan anda lebih kenyang. Disebabkan ia juga mengawal paras gula dalam darah, ia mungkin membantu mengelakkan kesan sampingan detoks gula seperti sakit kepala dan loya.

4. Minum lebih banyak air

Ia penting terutama apabila anda meningkatkan pengambilan serat yang boleh menyebabkan sembelit. Segelas air juga menghalang anda terlebih makan dan mengawal keinginan.

5. Elak pemanis tiruan

Kajian menunjukkan pengambilan pemanis tiruan menyebabkan keinginan anda terhadap makanan manis bertambah. Mengelakkan makanan manis walaupun bebas gula adalah langkah terbaik dalam usaha memotong gula dalam diet.

HANYA enam sudu teh gula sehari disyorkan dalam diet harian.
HANYA enam sudu teh gula sehari disyorkan dalam diet harian.

6. Urus tekanan

Ada banyak kajian menunjukkan tekanan boleh meningkatkan keinginan kepada makanan manis. Gula juga mengandungi kesan menenangkan terhadap hormon tekanan yang menyumbang keinginan untuk gula apabila tertekan. Berjalan, berbual dengan rakan atau membaca buku antara aktiviti mudah untuk melegakan tekanan.

7. Bersenam

Bersenam meningkatkan tenaga dan mengurangkan tekanan sekali gus membantu melawan gejala penyisihan seperti keletihan, tidak bertenaga dan keinginan disebabkan tekanan.

8. Minum sumber hijau

Anda boleh mencuba beberapa resipi minuman berasaskan sayuran seperti bayam dan brokoli yang dicampur buah-buahan.

9. Tidur yang mencukupi

Tidak cukup tidur menyebabkan timbulnya keinginan kepada makanan manis dan makanan tidak sihat seperti jajan. Tidur yang cukup akan mengurangkan tekanan, membantu anda membuat pilihan makanan lebih baik, menambah tenaga dan menambah baik tumpuan dan memori.

10. Makan sesuatu yang pahit

Makan makanan pahit memadam reseptor dalam otak yang memacu keinginan kepada makanan bergula selain membantu mengawal tahap gula darah. Anda boleh memilih beberapa makanan pahit seperti kopi, arugula atau brokoli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 4:50 AM