KAKI kebas kerana duduk bersila lama di atas lantai.
KAKI kebas kerana duduk bersila lama di atas lantai.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

RASA kebas kaki boleh dialami sesiapa saja apabila duduk bersila atau bersimpuh di atas lantai dalam tempoh yang lama.

Keadaan ini membuatkan individu berkaitan mengubah posisi duduk dengan lebih kerap bagi mengurangkan rasa kebas dan untuk keselesaan.

Ada yang terpaksa berpaut pada dinding atau kerusi untuk berdiri setiap kali rasa kebas menyerang kaki mereka.

Namun, rasa kebas ini akan hilang dalam tempoh singkat apabila seseorang itu berdiri dan kemudian berjalan tanpa sebarang gangguan.

Sistem saraf manusia amat penting kerana ia memberikan rasa seperti sakit, suhu dan sentuhan.

Sekiranya fungsi saraf ini terganggu atau rosak, ia boleh menyebabkan gejala kaki berdenyut-denyut, rasa terbakar, mencucuk dan paling teruk ialah tiada rasa.

Pakar Perunding Bedah Otak dan Saraf Pusat Perubatan MSU (MSUMC) Shah Alam, Prof Dr Badrisyah Idris berkata, masalah saraf adalah gejala biasa yang sering dialami individu berusia disebabkan faktor penuaan.

Bagaimanapun, golongan muda juga tidak terkecuali.

Menurutnya, bagi golongan muda, masalah ini bukan isyarat gangguan saraf atau penyakit, tetapi kemungkinan saraf ke kaki itu terhimpit oleh tulang, tisu atau tendon (urat tebal yang menyambungkan otot dengan tulang).

“Punca lain disebabkan cakera tulang belakang tergelincir, menghimpit dan menekan saraf ini.

“Selain itu, keradangan di sekeliling kawasan saraf tulang belakang juga boleh menyebabkan kebas pada kaki,” katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya sakit belakang adalah satu daripada petanda saraf ke kaki dari saraf tunjang terganggu.

“Jangan membiarkan rasa kebas berlarutan kerana ia akan menyebabkan kaki menjadi lebih sakit dan mendatangkan kemudaratan.

“Antara kesan yang ketara ialah kaki menjadi lemah dan seterusnya menyukarkan usaha untuk bangun dari tempat duduk,” katanya.

JUMPA doktor jika rasa kebas kaki semakin teruk.
JUMPA doktor jika rasa kebas kaki semakin teruk.


Katanya, mereka perlu segera berjumpa pakar saraf bagi mengenal pasti punca sebenar masalah itu terutama apabila rasa kebas menjadi semakin teruk.

“Ini bagi memastikan mereka tidak menghidap penyakit lain yang menyebabkan gangguan saraf ke kaki.

“Contoh, penyakit seperti kencing manis atau sistemik lupus eritematosus (SLE) yang boleh menjejaskan bahagian sistem tubuh seperti saraf, salur darah, kulit dan sendi,” katanya.

Dr Badrisyah berkata, sekiranya kebas kaki disebabkan salur darah sempit kerana pengumpulan lemak dalam arteri, ia tanda awal seseorang itu menghidap penyakit arteri periferal atau peripheral artery disease (PAD) iaitu pembuluh darah tersumbat di bahagian kaki.

“PAD akan memberikan kesan lebih teruk jika tidak dirawat iaitu luka dan kesan gangeran menyebabkan lebam atau hitam pada kaki.

“Jika dibiarkan keadaan bertambah buruk dan kaki pesakit terpaksa dipotong kerana sel kaki sudah mati,” katanya.

Selain itu, katanya, jangan ambil mudah sekiranya kebas kaki merebak dari hujung kaki ke paha di kedua-dua belah dan disertai rasa kebas di tangan.

“Pada peringkat ini, kita perlu lebih peka kerana ia kemungkinan ada gangguan pada sistem ketahanan badan melawan penyakit terutama selepas dijangkiti virus atau kuman.

“Masalah ini bukan hanya memberi kesan terhadap saraf ke kaki dan tangan, tetapi boleh mengganggu saraf yang mengawal sistem pernafasan,” katanya.

Kata beliau, satu lagi masalah saraf ini dikaitkan dengan penyakit neuropati periferal yang dialami pesakit kencing manis.

“Antara gejala penyakit ini ialah rasa kebas yang teruk dan mencucuk-cucuk seperti gigitan apabila memijak lantai.

“Pada tahap ini kemungkinan saraf pesakit sudah rosak dan mereka perlu menurunkan tahap gula dalam darah bagi mengelakkan keadaan semakin serius,” katanya.

Jelasnya, kekurangan zat seperti vitamin B turut dikaitkan sebagai punca masalah kebas kaki.

Oleh itu, katanya, pesakit digalakkan mengambil vitamin B1, B6 dan B12 kerana ia penting untuk mencegah kerosakan saraf serta merawatnya.

“Sumber vitamin ini boleh didapati dalam bijirin, susu, buah-buahan, daging, produk tenusu, telur, ikan, sayuran dan kentang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 8:00 AM