TIGA juta kematian di seluruh dunia berpunca daripada pengambilan alkohol berlebihan.
TIGA juta kematian di seluruh dunia berpunca daripada pengambilan alkohol berlebihan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

TINJAUAN Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati seorang daripada 10 rakyat Malaysia mengambil alkohol.

Separuh daripada mereka minum secara berlebihan manakala 10 peratus pula minum sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Pakar Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Luke Woon Sy-Cherng berkata, di Malaysia, pengambilan alkohol juga antara punca utama kematian akibat kemalangan jalan raya dan penyakit seperti sirosis hati serta barah.

Menurutnya, sangat penting memahami penggunaan alkohol yang berlebihan boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental.

"Kira-kira lima peratus lelaki dan wanita (satu peratus) mengalami gangguan penggunaan alkohol.

"Ciri-ciri gangguan yang mereka alami ialah kegagalan untuk mengawal penggunaan alkohol, kehidupan harian semakin bergantung kepada alkohol, terlalu ingin mendapatkan alkohol dan jumlah diperlukan semakin tinggi," katanya.

Data daripada daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendedahkan tiga juta kematian berpunca daripada pengambilan alkohol yang berlebihan di seluruh dunia.

Beliau berkata, antara gangguan mental yang spesifik termasuk mabuk, gejala tarikan bahaya sehingga boleh membawa maut dan gangguan nutrisi akibat alkohol.

"Gangguan mental yang lain seperti kemurungan, keresahan dan perubahan personaliti.

"Kemurungan dan keresahan seringkali mempunyai hubungan dua hala dengan pengambilan alkohol.

"Segelintir pesakit yang mengalami masalah ini (kemurungan dan keresahan) akan minum alkohol secara berlebihan sebagai percubaan memperbaiki kestabilan emosinya," katanya.

Dr Luke berkata, sebaliknya pengambilan alkohol yang berlebihan boleh mencetus gejala kemurungan dan keresahan berpanjangan.

Selain itu, katanya, kadar bunuh diri dalam kalangan mereka yang menyalahgunakan alkohol adalah jauh lebih tinggi.

Jelasnya, faktor sosial seperti tahap penggunaan alkohol dalam masyarakat juga memainkan peranan.

"Didapati semakin tinggi penggunaan alkohol dalam masyarakat maka kes berkaitan penggunaan alkohol turut bertambah.

PENGGUNAAN alkohol berlebihan memberikan kesan negatif terhadap kesihatan mental.
PENGGUNAAN alkohol berlebihan memberikan kesan negatif terhadap kesihatan mental.

"Oleh itu, penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan buruk penyalahgunaan alkohol terutama dalam kalangan golongan berisiko tinggi iaitu remaja dan generasi muda," katanya.

Jelasnya, perawat kesihatan perlu lebih peka dan proaktif dalam menjalankan saringan kepada penggunaan alkohol bermasalah semasa memberikan rawatan.

"Cara intervensi yang mudah ialah memberikan maklumat mengenai penyalahgunaan alkohol, selain nasihat menjelaskan bahawa mengelak pengambilan alkohol boleh memberi kesan baik.

"Satu kajian antarabangsa meneliti pola penggunaan alkohol di 195 negara daripada 1990 hingga 2016 menunjukkan tahap penggunaan alkohol dalam masyarakat yang memberi kesan kesihatan minimum ialah sifar iaitu tidak mengambil alkohol sama sekali," katanya.

Kata Dr Luke, usaha promosi kesihatan mental yang dilakukan antaranya ialah meningkatkan keupayaan masyarakat menangani tekanan secara efektif.

"Pada masa sama, mengurangkan kemungkinan individu mengambil alkohol ketika berhadapan tekanan, terutamanya dalam situasi pandemik ketika ini.

"Bagi penggunaan alkohol bermasalah yang memerlukan rawatan lanjut, boleh mendapatkan rawatan psikiatri dan ubat-ubatan," katanya.

Katanya, adalah penting untuk masyarakat mengambil tindakan untuk mengawal kesan dan akibat alkohol.

"Antara strategi yang disarankan WHO termasuk mengawal pengedaran, penjualan alkohol, mengehadkan atau melarang pengiklanan dan meningkatkan cukai serta harga minuman beralkohol.

"Strategi seperti ini memerlukan sokongan masyarakat secara menyeluruh bagi memastikan pelaksanaannya berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 6:30 AM