GEGATA menyebabkan bengkak kulit yang gatal.
GEGATA menyebabkan bengkak kulit yang gatal.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MESKIPUN kebanyakan gegata atau 'urticaria' bersifat tidak berbahaya, tetapi penyakit ini tidak boleh dipandang mudah kerana komplikasinya boleh mengakibatkan kematian membabitkan pesakit yang menghidap gegata jenis akut.

Ini kerana, gegata akut yang berlaku berpunca daripada alahan boleh menyebabkan serangan 'anaphylaxis' iaitu reaksi alergi teruk.

Gejala akibat 'anaphylaxis' termasuk sesak nafas, bengkak saluran pernafasan, pengsan dan tekanan darah rendah.

Pakar Perunding Kulit dan Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Wan Syazween Lyana Wan Ahmad Kammal berkata, gegata ialah sejenis bengkak kulit yang gatal.

Lazimnya, penyakit ini berlaku dalam tempoh beberapa minit dan tidak melebihi 24 jam.

Menurutnya, penyakit ini boleh berlaku serentak dengan bengkak di bibir atau mata (angioedema).

"Ada dua jenis gegata iaitu gegata akut dan kronik. Ia dikelaskan sebagai gegata akut, jika gegata berlaku kurang daripada daripada tempoh enam minggu.

"Selalunya penyakit ini hilang dalam masa beberapa jam atau hari. Manakala gegata kronik pula ialah jika gegata berlaku lebih daripada enam minggu. Gegata ini boleh berlaku setiap hari atau pada waktu tertentu sahaja.

"Gegata kronik boleh berlaku secara tiba-tiba (spontaneous urticaria) atau disebabkan oleh sesuatu (inducible urticaria).

"Namun, gegata kronik tidak berbahaya dan hanya mengganggu kehidupan seharian," katanya.

Ditanya mengenai golongan berisiko menghidap gegata, Dr Wan Syazween Lyana berkata, gegata akut boleh menyerang semua jantina dan bangsa, sama ada kanak-kanak atau dewasa.

Katanya, bayi turut mempunyai risiko mengalami gegata, namun usah bimbang kerana penyakit ini hanya bersifat sementara.

"Individu yang mempunyai penyakit autoimun seperti 'sistemik lupus eritematosus' (SLE), penyakit autoimun tiroid dan sopak, mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit gegata kronik yang spontan," katanya.

Dr Wan Syazween Lyana berkata, statistik menunjukkan satu daripada lima kanak-kanak atau orang dewasa pernah menghidap gegata akut sepanjang hidupnya.

"Sebanyak 8.8 peratus risiko penyakit ini kepada masyarakat, sama ada menghidap gegata akut atau gegata kronik sepanjang hayatnya.

"Manakala 1.8 peratus pula ialah risiko menghidap gegata kronik, yang mana 2/3 penghidapnya adalah wanita," katanya.

Dr Wan Syazween Lyana berkata, ada juga pesakit mengaitkan penyakit ini dengan mitos seperti menyangka gegata disebabkan alahan makanan semata-mata.

Jelasnya, perkara ini tidak benar kerana gegata akut yang dialami kanak-kanak selalunya disebabkan oleh 40 peratus berpunca daripada jangkitan kuman.

"Punca lain gegata akut adalah alahan kepada makanan dan ubat-ubatan, gigitan lebah atau terkena objek luaran seperti getah lateks.

"Manakala gegata kronik pula ialah disebabkan interaksi antara faktor genetik dan autoimun," katanya.

Katanya lagi, autoimun berlaku apabila sistem imun badan menyerang sel sihat.

Dalam kes gegata kronik, ia menyerang sel 'mast cells' dan 'basophils' yang mengeluarkan histamin lalu menyebabkan gegata terbentuk.

"Gegata kronik boleh berlaku secara spontan. Ia mempunyai kaitan dengan jangkitan kuman seperti 'helicobacter pylori' yang selalu menyerang perut.

"Gegata kronik boleh berlaku disebabkan oleh faktor luar seperti suhu sejuk atau panas, tekanan pada kulit, pancaran matahari, getaran dan air," katanya.

Menyentuh mengenai rawatan pula, Dr Wan Syazween Lyana berkata, ia terlebih dahulu dimulakan dengan mengenal pasti jenis penyakit itu sama ada gegata akut atau gegata kronik.

"Sekiranya gegata akut, kita perlu tahu pencetus kepada alahan itu. Jika disebabkan jangkitan kuman, maka perlu diberikan rawatan sewajarnya.

"Jika alahan ubat, makanan atau getah lateks, tindakan perlu dilakukan ialah membuang produk berkenaan. Gegata mulai hilang selepas beberapa jam atau hari," katanya.

Menurut Dr Wan Syazween Lyana, sekiranya gegata berlaku secara kronik, pesakit diberikan ubat anti-histamin yang berfungsi untuk menyekat pengeluaran histamin dalam badan.

"Contoh ubat ini ialah 'cetirizine' dan 'loratadine'. Jika dos pengambilan biasa iaitu satu kali sehari tidak mencukupi, dos itu boleh dinaikkan sehingga empat kali ganda.

"Jika tidak berkesan, ubat lain yang boleh diberikan adalah 'ciclosporin' dan 'omalizumab'.

"Semua pesakit gegata dinasihati supaya mengelak mengambil ubat-ubatan berpotensi menyebabkan gegata seperti aspirin, opiate dan ubat tahan sakit jenis ubat antikeradangan bukan steroid (NSAID) berpandukan nasihat daripada doktor yang merawat.

"Jika gegata berlaku secara kronik yang disebabkan faktor luaran seperti pancaran matahari dan sebagainya, pesakit dinasihati supaya mengelakkan diri daripada terdedah kepada faktor berkenaan," katanya.

Selain itu, Dr Wan Syazween Lyana berkata, pesakit gegata kronik boleh mengalami tekanan hidup seperti murung, panik, berdebar-debar kerana penyakit ini boleh mengganggu kehidupan seharian dan waktu tidur malam.

Katanya, ini kerana ruam gatal boleh muncul secara tiba-tiba sama ada pada siang atau malam yang membuatkan penghidapnya tidak selesa.

Oleh itu, pesakit perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 7:00 AM