LANDERS (kiri) dan Profesor Mosges  (tengah) melancarkan rawatan terkini bagi membantu menentang rinitis dan gegata.
LANDERS (kiri) dan Profesor Mosges (tengah) melancarkan rawatan terkini bagi membantu menentang rinitis dan gegata.
HAMA boleh menyebabkan gegata.
HAMA boleh menyebabkan gegata.
PENYAKIT alahan ini kerap berlaku apabila tubuh manusia terdedah alergen seperti debunga, hama atau bulu haiwan.
PENYAKIT alahan ini kerap berlaku apabila tubuh manusia terdedah alergen seperti debunga, hama atau bulu haiwan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Berdasarkan anggaran, lebih daripada 600 juta pesakit di seluruh dunia, alahan hidung kini dikelaskan sebagai pe–nyakit kronik yang keempat penting oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Alahan jenis ini memberi kesan kepada kehidupan sosial seseorang, pola tidur serta prestasi sekolah ataupun kualiti kerja.

Di Malaysia, kira-kira 7.1 peratus rakyat dikesan secara rasmi menghidap alahan hidung hanya kurang sedikit daripada kekerapan bagi penghidap alahan hidung di rantau Asia Pasifik (8.7 peratus).

Kemungkinan besar peratusan kekerapan ini lebih tinggi kerana kebanyakan penyakit alahan itu dikesan sebagai penyakit lain atau tidak dilaporkan langsung.

Rinitis dan urtikaria

Menurut pakar perunding kanan dermatologi Dr Steven Chow Kim Weng, rinitis atau selesema adalah radang pada hidung menyebabkan gejala hidung berair atau berhingus, gatal pada bahagian hidung atau mata, bersin dan rasa hidung tersumbat.

“Rinitis terbahagi kepada dua iaitu akut dan kronik. Simptom akut berlaku kurang dari satu bulan manakala kronik lebih enam minggu. Rinitis akut terdiri daripada demam selesema, hidung sensitif kepada bauan seperti sambal, wangian atau bahan kimia.

“Rinitis kronik boleh dibahagikan kepada alahan dan bukan alahan rinitis. Rinitis alahan pula terbahagi kepada dua iaitu mengikut musim atau sepanjang masa,” katanya.

Menurutnya, selesema mengikut musim selalunya berkait rapat dengan debunga yang berterbangan pada musim bunga seperti di Eropah dan ia jarang berlaku di Malaysia.

Selesema sepanjang masa pula boleh berlaku disebabkan alahan kepada hama rumah, bulu binatang atau makanan yang bertindak sebagai alergen.

Pada masa sama, penyakit alahan juga boleh menyebabkan gegata (urticaria), satu kesan alahan pada kulit yang menyebabkannya menjadi bengkak, kemerahan atau keputihan disertai dengan gatal.

Kira-kira 25 peratus daripada jumlah populasi pernah menghidap gegata sekali dalam seumur hidup mereka.

“Gegata yang kronik berlaku apabila simptom berkenaan berlarutan sehingga lebih daripada enam minggu, sama ada sepanjang waktu ataupun sesekali.

“Walaupun ia tidak mengancam nyawa, gegata boleh menjadikan seseorang itu berasa sangat tidak selesa dan ini akan mengganggu tidur serta aktiviti harian yang lain,” katanya.

Penyakit alahan ini kerap berlaku apabila tubuh badan manusia terdedah kepada alergen di persekitaran luaran ataupun dalaman seperti debunga, hama atau bulu haiwan.

Ia akan mengeluarkan histamin, sejenis bahan semula jadi di dalam badan untuk melawan alergen. Histamin adalah sebahagian daripada tindak balas semula jadi tubuh terhadap alahan dan ia menyebabkan pengembangan salur darah (kemerahan, ruam dan gatal) serta peningkatan pengeluaran mukus (hidung berair atau batuk berkahak).

Ini membawa kepada rangkaian simptom yang tidak selesa seperti selesema, hidung tersumbat, bersin, gatal hidung, tekanan sinus dan gatal mata.

Simptom yang dialami ini boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang kerana pesakit turut mengalami masalah kekurangan tidur dan keletihan, sakit kepala, mudah marah serta hilang fokus.

“Gegata boleh membabitkan sebahagian atau keseluruhan kulit. Gegata biasanya muncul secara tiba-tiba dan boleh membabitkan semua kawasan kulit tanpa mengambil kira pada bahagian badan tertentu.

“Kawasan kecil yang timbul dipanggil bintat atau ‘wheal’, biasanya berukuran satu hingga dua sentimeter tetapi boleh berbeza dari segi saiz. Bilangannya mungkin hanya beberapa tetapi kadangkala boleh menjadi lebih banyak.

“Kadangkala bintat yang berada bersebelahan boleh bercantum untuk membentuk saiz yang lebih besar. Kemerahan akan beransur pudar dan kulit kembali menjadi normal,” katanya.

Malah, alahan hidung juga sering dikaitkan dengan penyakit lain seperti lelah, sinusitis (alahan sinus), otitis media (jangkitan telinga tengah atau keradangan), jangkitan pernafasan dan gangguan tidur.

Tangani alahan secara berkesan

Menurut Pertubuhan Alahan Sedunia (WAO), rawatan pertama untuk gegata ialah ubat H1-antihistamin generasi kedua yang tidak menyebabkan rasa mengantuk kerana ia terbukti berkesan dan selamat.

Panduan Allergic Rhinitis and Its Impact on Asthma (ARIA) juga mengesyorkan ubat berkenaan kerana potensinya yang baik untuk membantu merawat alahan hidung dan konjunktivitis dalam kalangan orang dewasa serta kanak-kanak.

Walaupun ia adalah rawatan awal untuk kedua-dua alahan hidung dan gegata, masih terdapat hala–ngan untuk sesuatu rawatan itu berjaya.

Pengurus Besar A Menarini Singapore Pte Ltd Adam Landers berkata, alahan tidak sepatutnya dipandang remeh kerana simptom yang dialami boleh menjejaskan produktiviti harian pesakit, syarikat dan lama-kelamaan membebankan skala ekonomi sesebuah negara.

“Bagi menjaga kualiti hidup rakyat di Malaysia, kami teruja untuk berkerjasama dengan pelbagai sektor industri bagi membekalkan pesakit dengan rawatan terbaik di dalam menentang penyakit alahan,” katanya.

Hadir sama pada majlis pelancaran rawatan terkini bagi menangani masalah alahan dan gegata, Otorhinolaryngologist dan Pakar Bedah Kepala serta Leher Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) Profesor Anura Michelle Manuel.

Sementara itu, menurut pakar telinga, hidung dan tekak serta pakar alahan, Professor Ralph Mosges, Bilaxten atau bilastine adalah ubat H1-antihistamin generasi kedua terkini yang dilancarkan di Malaysia.

“Ia berkesan untuk membantu melegakan simptom alahan hidung, konjunktivitis dan gegata dalam masa satu jam. Ubat ini mengandungi sebatian kimia yang kuat dan laluan tindak balas kimia yang tertentu.

“Ubat berkenaan adalah sejenis tablet yang diambil sekali sehari, mengikut garis panduan terapeutik antarabangsa dan mempunyai kombinasi keberkesanan, keselamatan serta toleransi yang ideal.

“Pada masa sama, ia membantu memberi kelegaan pantas terhadap simptom alahan hidung dan gegata sekali gus membolehkan pesakit menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Satu kajian menunjukkan pengambilan ubat berkenaan sekali sehari selama lapan hari tidak mengganggu prestasi pemanduan seseorang dibandingkan dengan ubatan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 1:11 PM