WANITA hamil perlu dapatkan nasihat pakar baik reumotologi atau obstetrik.
WANITA hamil perlu dapatkan nasihat pakar baik reumotologi atau obstetrik.
Nurul Husna Mahmud


Walaupun kehamilan bagi seseorang yang menghidap Sistemik Lupus Erithematosus (SLE) dianggap satu risiko tinggi, namun kebanyakan wanita dapat mengekalkan kehamilan mereka hingga ke peringkat akhir.

Merancang kehamilan adalah tip penting dan sebaik-baiknya pesakit wanita itu tidak mempunyai sebarang gejala SLE atau penyakit terbabit tak aktif sekurang-kurangnya enam bulan sebelum kehamilan.

Menurut Pakar Perubatan Dalaman dan Reumatologi Hospital Pantai Cheras (PHC), Dr Ong Yew Chong, perbincangan terperinci perlu dibuat dengan pakar reumatologi yang bertanggungjawab dan beberapa ubat yang membahayakan bayi perlu dihentikan atau ditukar beberapa bulan sebelumnya.

SLE serangan autoimun pada tisu sihat.
SLE serangan autoimun pada tisu sihat.

"Kebanyakan wanita dengan SLE boleh hamil. Perancangan sebelum hamil adalah penting dan SLE sepatutnya dalam 'remisi' (pengurangan atau kehilangan sementara gejala utama sesuatu penyakit) sekurang-kurangnya enam bulan sebelum mengandung.

"Perbincangan terperinci perlu dibuat dengan pakar berkaitan kerana terdapat komplikasi ubat yang mendatangkan bahaya pada kandungan.

"Sesetengah hospital juga menubuhkan klinik gabungan dengan pakar obstetrik bagi membolehkan ibu yang menghidap SLE berisiko rendah untuk mengalami keguguran atau kelahiran tidak cukup bulan," katanya.

Antara kemungkinan risiko yang dihadapi terutama mereka yang mempunyai antibodi antifosfolipid (Antiphospholipid syndrome) berdepan risiko keguguran yang lebih tinggi ketika trimester kedua disebabkan pembekuan darah yang lebih tinggi di dalam uri.

UJIAN ANA mengesan SLE.
UJIAN ANA mengesan SLE.

Pesakit SLE mempunyai sejarah penyakit buah pinggang pula mempunyai risiko lebih tinggi mengalami praeklampsia (tekanan darah tinggi akibat pertambahan cecair berlebihan dalam sel tisu badan).

Wanita hamil yang menghidap SLE terutama mereka yang mengambil kortikosteroid juga berkemungkinan mendapat tekanan darah tinggi, kencing manis dan komplikasi buah pinggang.

Dr Ong turut menjelaskan SLE boleh menimpa individu pada mana-mana peringkat umur, tetapi wanita pada usia subur berada pada risiko tertinggi.

"Lupus eritematosus sistemik (SLE) ialah penyakit autoimun jangka panjang berpunca pengeluaran autoantibodi yang keliru lalu menyerang tisu manusia normal.

"Keadaan ini menyebabkan tindak balas keradangan yang tidak normal dan kerosakan fungsi tisu serta organ tertentu," katanya.

Gejala awal mereka yang mengalami SLE adalah keletihan, kehilangan berat badan dan demam.

"SLE boleh bermula dengan gejala ringan seperti keletihan dan demam yang biasa. Terdapat juga penghidap SLE mengalami ruam, arthritis dan luka mulut.

UBAT kortikosteroid antara yang diambil pesakit SLE.
UBAT kortikosteroid antara yang diambil pesakit SLE.

"Biasanya, ruam muncul di wajah (ruam kupu-kupu atau malar) dan kawasan tubuh yang terdedah pada matahari (ruam fotosensitif).

"Selain itu pesakit juga boleh mengalami kekakuan sendi pada sebelah pagi yang beransur-ansur menjadi sakit dan bengkak," katanya.

Bagaimanapun, di peringkat serangan lebih serius, Dr Ong berkata, pesakit SLE berisiko kehilangan nyawa apabila membabitkan organ vital seperti buah pinggang, sistem saraf pusat, jantung, paru-paru, dan saluran darah.

Perbezaan gejala dialami pesakit SLE menjadikan diagnosis penyakit autoimun menjadi sangat mencabar.

Kata Dr Ong, SLE tidak boleh didiagnosis hanya berdasarkan ujian makmal dan memerlukan pertimbangan gambaran klinikal bersama keputusan ujian darah dan dalam sesetengah keadaan biopsi tisu serta imej juga diperlukan.

"Perunding atau pakar reumatologi biasanya menggunakan kriteria tertentu untuk membantu diagnosis. Ujian antibodi antinuklear (ANA) adalah positif dalam 98 peratus untuk kes SLE.

"Rawatan diterima pesakit juga bersifat sangat peribadi kerana setiap kes SLE memberikan hasil yang berbeza," katanya.

Matlamat keseluruhan rawatan SLE adalah mengawal gejala berkaitan penyakit antaranya menangani keradangan, mengurangkan komplikasi serangan autoimun dan meminimumkan kerosakan organ.

"Hydroxychloroquine (antimalaria) disyorkan untuk semua pesakit SLE kecuali kecuali mereka yang ada alahan ubat terbabit.

"Steroid kortikosteroid juga antara rawatan yang biasa diberikan dan boleh menyelamatkan nyawa. Tetapi penggunaan berpanjangan dan dos tinggi dikaitkan dengan banyak kesan sampingan.

"Imunosupresan lain seperti azathioprine, mycophenolate, methotrexate, tacrolimus, dan cyclophosphamide biasanya diberikan untuk pesakit SLE sederhana hingga teruk.

"Kajian berterusan di seluruh dunia juga memberikan harapan lebih baik kepada pesakit SLE dengan rawatan terapi ubat terbaharu seperti belimumab (Benlysta) (2011), anifrolumab (Saphnelo) (2021), dan voclosporin (Lupkynis) (2021)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 7:00 AM