HEPATITIS B dan C boleh membawa maut.
HEPATITIS B dan C boleh membawa maut.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


HEPATITIS B dan C tidak boleh dipandang mudah kerana penyakit ini boleh mengakibatkan kematian.

Hepatitis adalah penyakit keradangan hati yang menyebabkan sel organ hati membengkak dan lazimnya disebabkan oleh jangkitan virus.

Virus hepatitis B (HBV) dan C boleh menyebabkan jangkitan berpanjangan yang digelar jangkitan kronik.

Pada tahap teruk, penyakit ini menyebabkan sirosis, barah hati dan kematian.

Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat lebih 354 juta penghidap hepatitis B dan C di seluruh dunia.

Kesan penyakit ini yang teruk dan mudah berjangkit turut menyebabkan WHO menetapkan sasaran untuk mencapai penghapusan penyakit hepatitis B dan C pada 2030.

Pakar Perunding Kanan Hepatologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Rosmawati Mohamed berkata, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk mencapai sasaran itu, tetapi banyak lagi perkara perlu dilakukan.

"Terlebih dahulu, kita perlu mengurangkan jangkitan hepatitis B dan C pada kadar 90 peratus.

"Di samping itu, kita perlu memastikan 80 peratus pesakit hepatitis B dan C menerima rawatan seperti ubat-ubatan.

"Sekiranya dua perkara ini dapat dicapai, kita dapat mengurangkan kadar kematian akibat jangkitan hepatitis B dan C sebanyak 65 peratus menjelang 2030 dan seterusnya mencapai penurunan jumlah kematian," katanya.

HATI normal (kiri) hati sirosis (kanan).
HATI normal (kiri) hati sirosis (kanan).

Dr Rosmawati berkata, secara umumnya, terdapat lima jenis penyakit hepatitis yang disebabkan oleh virus iaitu hepatitis A, B, C, D dan E.

"Bagaimanapun, tumpuan lebih diberikan kepada virus hepatitis jenis B dan C kerana kedua-duanya adalah penyebab utama kematian akibat hepatitis, bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia.

"Di Malaysia, kebanyakan punca penyakit hepatitis B adalah daripada jangkitan daripada ibu yang dijangkiti hepatitis kepada bayinya semasa dilahirkan.

"Secara am, jangkitan berlaku semasa bayi berisiko tinggi untuk menyebabkan jangkitan jangka panjang," katanya.

Dr Rosmawati berkata, cara paling berkesan mencegah hepatitis B ialah menerusi suntikan vaksinasi.

"Vaksinasi hepatitis B untuk bayi sudah dimulakan di negara ini sejak 1989. Bermula daripada itu, kebanyakan bayi akan menerima tiga suntikan vaksin yang memberikan perlindungan 95 peratus daripada jangkitan berkenaan.

UJIAN virus hepatitis dilakukan untuk mengenal pasti jangkitan.
UJIAN virus hepatitis dilakukan untuk mengenal pasti jangkitan.

"Sekarang, selain daripada vaksinasi untuk bayi, kita cuba mengesan ibu hamil menghidap hepatitis B yang mempunyai tahap virus hepatitis B tinggi dalam badan. Tujuannya untuk diberikan ubat-ubatan pada tempoh tiga bulan sebelum bersalin.

"Kajian mengesahkan jenis ubat-ubatan yang khusus untuk hepatitis B yang selamat digunakan semasa mengandung.

"Tujuannya bagi mengurangkan pembiakan virus dan mengurangkan risiko jangkitan kepada anak dalam kandungan ketika dilahirkan," katanya.

Dr Rosmawati berkata, sebelum ini, kebanyakan pesakit hepatitis B di negara ini adalah mereka yang lahir sebelum 1989 kerana ketika itu vaksinasi belum diperkenalkan.

"Kira-kira 15 hingga 40 peratus pesakit hepatitis B berpotensi untuk mengalami sirosis hati (tisu hati berparut), sekiranya tidak mendapatkan rawatan.

Dr Rosmawati
Dr Rosmawati

"Secara langsung, mereka berisiko tinggi mendapat keradangan hati berpanjangan sehingga menyebabkan kerosakan hati yang serius," katanya.

Katanya, antara punca jangkitan hepatitis C pula ialah melalui perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah, mengamalkan seks bebas, hati berlemak (bukan disebabkan oleh alkohol) dan melakukan pemindahan darah sebelum 1993.

"Sebelum awal 1990-an, ujian pengesanan virus hepatitis C tidak terdapat di seluruh dunia. Oleh itu, seseorang yang menerima darah berisiko dijangkiti virus hepatitis C daripada darah tercemar.

"Bagaimanapun, penyakit hepatitis C boleh sembuh melalui pengambilan ubat-ubatan. Selain itu, rawatan pada peringkat awal berjaya mengurangkan risiko sirosis dan barah hati sebanyak 80 peratus," katanya.

Menurut Dr Rosmawati, pemindahan hati adalah satu-satunya rawatan untuk mereka yang sudah mengalami sirosis pada tahap serius untuk membolehkan pesakit meneruskan kehidupan dengan lebih berkualiti.

"Ini kerana hati adalah organ yang menjalankan fungsi penting seperti menapis dan memproses bahan toksik, menghasilkan cecair hempedu bagi membantu pencernaan lemak, membantu sintesis protein darah dan sebagainya," katanya.

"Hampir semua penghidap hepatitis B dan C tidak mengalami apa-apa gejala sehingga terjadinya kerosakan hati yang serius seperti sirosis dan barah hati.

"Barah hati berpunca daripada penyakit hepatitis kronik dan kebanyakan pesakit tidak menyedari dirinya menghidap penyakit berkenaan (hepatitis).

"Dipercayai penyakit ini sudah lama 'bersarang' dalam hati pesakit iaitu di antara tempoh 30 hingga 40 tahun sebelum menjadi barah.

"Sekiranya dapat dikesan lebih awal, rawatan pencegahan boleh dilakukan bagi mengelakkan ia menjadi barah hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 7:00 AM