KANSER hati kanser kelima utama dalam kalangan lelaki.
KANSER hati kanser kelima utama dalam kalangan lelaki.
Aniza Zainudin


KARSINOMA hepatoselular (HCC) atau barah hati disenaraikan sebagai kanser kelima utama yang sering menyerang kaum lelaki di Malaysia.

Dikategorikan sebagai pembunuh senyap, laporan Daftar Kanser Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), baru-baru ini membuktikan apabila menyatakan hanya 201 daripada 4,085 pesakit kanser hati hidup bagi tempoh 2007 hingga 2016.

Pengarah Perubatan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Dr Murallitharan Munisamy berkata, lelaki lebih terdedah kepada kanser hati kerana pengambilan alkohol dan makanan berisiko.

“Semua jenis virus hepatitis boleh mendatangkan risiko kanser sama ada virus hepatitis A, B mahupun C. Namun lazimnya, kanser hati berlaku disebabkan jangkitan hepatitis B ataupun C.

“Hepatitis A tersebar melalui pemakanan dan memberi kesan minimum terhadap kesihatan, tidak terlalu berisiko mengakibatkan kanser.

Dr Murallitharan
Dr Murallitharan

“Penyebaran hepatitis A berlaku apabila lelaki lebih bersikap tidak kisah terhadap pemilihan tempat makan termasuk warung tidak bersih berbanding wanita. Perkara inilah antara faktor yang mendorong kepada kadar hepatitis tinggi dalam kalangan lelaki.

“Secara global, kanser hati terjadi disebabkan hepatitis C. Hepatitis B memang ada, namun hubung kait antara hepatitis C dan kanser hati lebih kuat.

“Masalah mengenai hepatitis C ini, ia adalah penyakit berjangkit dan boleh disebarkan melalui hubungan kelamin serta bendalir dalam badan.

KANSER hati boleh dirawat.
KANSER hati boleh dirawat.

“Berdasarkan kenyataan KKM, dijangka lebih 500,000 rakyat Malaysia mempunyai hepatitis C tetapi tidak disedari. Selalunya kes kanser hati ini lambat dikesan atau didiagnos kerana ia tidak menunjukkan gejala ketara seperti penyakit lain. Malah kadar kelangsungan hidup pesakit kanser hati selama lima tahun hanyalah 11.5 peratus.

“Antara simptom kanser hati termasuk ketidakselesaan badan, rasa lesu, makanan tidak dicerna sempurna, cirit-birit, pedih ulu hati dan anggota tubuh menjadi kekuningan,” katanya.

Hati adalah organ penting dalam sistem hepatobiliari yang berfungsi menapis dan memproses darah daripada bahan toksik, menghasilkan cecair hempedu bagi membantu pencernaan lemak dan membantu sintesis protein darah, glukos dan kolesterol.

Selain itu, hati juga membantu proses metabolisme, stor penyimpan untuk vitamin larut lemak, zat besi dan glikogen, agen penyingkiran sel darah merah yang mati dan bahan sisa metabolisme serta meningkatkan daya ketahanan badan.

Dr Murallitharan menyifatkan golongan lelaki berusia antara 45 hingga 75 tahun adalah kelompok berisiko tinggi menghidap kanser hati.

Katanya, jumlah kes kanser hati di negara ini dilaporkan tidak mencecah 30 peratus kerana ramai pesakit enggan menerima rawatan disediakan dan kurangnya kesedaran.

Tanggapan bahawa alkohol menjadi penyebab utama kanser hati turut membuatkan individu yang tidak mengambil alkohol berpendapat mereka tidak terdedah terhadap penyakit berkenaan.

MATA putih menjadi kekuningan.
MATA putih menjadi kekuningan.

“Oleh kerana tidak menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, pesakit kanser hati hanya berjaya dikenal pasti apabila sudah berada di tahap akhir sama ada tiga atau empat.

“Tanda paling jelas apabila warna kulit atau mata putih pesakit menjadi kekuningan. Bagi situasi seperti ini, faktor genetik adalah punca utama berlakunya kanser hati.

“Segelintir masyarakat Melayu di negeri pantai timur berdepan risiko kanser hati atas faktor genetik berdasarkan teori berdarah campuran Thailand.

“Faktor ini pula turut dikaitkan dengan gaya pemakanan. Ini kerana Thailand antara negara yang mencatatkan kes kanser hati tertinggi di dunia, terutama di bahagian timur laut negara berkenaan.

“Masyarakat di wilayah berkenaan gemar makan sejenis ikan yang mempunyai parasit atau cacing ‘liver fluke’ (platyhelminthes) pada otot ikan yang boleh mengakibatkan kanser dalam jangka masa panjang.

“Gaya penyediaan makanan seperti ikan tidak dimasak sempurna, separuh masak atau mentah menyumbang kepada kecenderungan kerosakan hati,” jelasnya.

Persepsi masyarakat mengenai kematian akibat kanser hati membuatkan mereka enggan mendapatkan rawatan sedangkan ia boleh dirawat dengan jayanya sama ada di pusat perubatan swasta mahupun awam.

Jika dibandingkan dengan lima hingga 10 tahun lalu, perkembangan teknologi perubatan, kaedah rawatan dan jenis ubatan hari ini jauh berbeza apabila ia turut meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit.

Dr Murallitharan menyarankan pemeriksaan kanser hati perlu dilakukan oleh individu berusia 40 ke atas dengan kekerapan setahun sekali.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Operasi Bayer Pharmaseuticals Asia Pasifik, Claus Zieler berkata, 10 tahun lalu, Bayer memperkenalkan terapi sorafenib (ubat rawatan oral anti kanser), diikuti penemuan terbaharu, regorafenib.

“Oleh kerana kanser membentuk rintangan terhadap ubatan pertama, kami perlu membangunkan terapi baharu (regorafenib).

“Sorafenib dan regorafenib adalah rawatan urutan sistemik yang terbukti dapat meningkatkan kadar kelangsungan hidup bagi kes kanser hati secara purata 26 bulan,” katanya yang menginginkan kerjasama pintar antara pakar perubatan dan kerajaan bagi membantu pesakit kanser hati.

Jenis hepatitis:

•Hepatitis A

- Penyakit hati tidak menyebabkan penyakit hati kronik dan jarang membawa maut.

- Virus hepatitis A disebarkan melalui pengambilan makanan dan air tercemar.

- Hampir setiap orang pulih sepenuhnya daripada hepatitis A dengan imuniti seumur hidup.

- Puncanya dikaitkan dengan kekurangan air bersih, kebersihan yang kurang terjamin.

- Cara memerangi virus ini adalah pengambilan air yang bersih, keselamatan makanan, sanitasi lebih baik, mencuci tangan dan vaksin.

Simptom: Demam, kurang selera makan, cirit-birit, perut rasa tidak selesa, air kencing berwarna gelap dan jaundis.

•Hepatitis B

- Jangkitan virus yang menyerang hati dan boleh menyebabkan penyakit akut dan kronik, komplikasinya termasuk sirosis dan karsinoma hepatoselular.

- Disebarkan melalui sentuhan dengan darah dan cecair badan lain.

- Paling biasa disebarkan daripada ibu kepada bayi ketika kelahiran atau sebelum mereka berusia lima tahun.

- Dianggarkan 257 juta orang hidup dengan jangkitan virus hepatitis B

Simptom: Penyakit kuning (mata dan kulit), warna air kencing gelap, keletihan melampau, mual, muntah dan sakit perut.

•Hepatitis C

- Penyakit hati akut dan kronik disebabkan virus hepatitis C.

- Dijangkiti melalui hubungan kelamin dan cecair/bendalir dalam badan seperti darah.

- Ia mungkin boleh berlaku melalui penggunaan ubat suntikan, amalan suntik dan penjagaan kesihatan tidak selamat dan pemindahan darah.

- Secara global, kira-kira 71 juta orang dijangkiti hepatitis C kronik.

- Ubatan boleh menyembuhkan lebih 95 peratus pesakit hepatitis C dengan mengurangkan risiko kematian akibat kanser hati dan sirosis, namun akses kepada diagnosis dan rawatan adalah rendah.

•Info: World Health Organization (WHO)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 9:02 AM