PENGGUNAAN walker bayi ada banyak keburukan berbanding kebaikan.
PENGGUNAAN walker bayi ada banyak keburukan berbanding kebaikan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Anak adalah anugerah terindah buat ibu bapa dan semestinya inginkan yang terbaik buat anak mereka.

Bahkan, ibu bapa sanggup membeli semua peralatan untuk membantu anak berjalan lebih cepat antaranya walker bayi.

Jurupulih perubatan anggota Norshafiqah Mat Rabi berkata, selain melatih anak berjalan, ibu bapa juga beranggapan walker bayi dapat menjadi tempat untuk mengalihkan perhatian anak.

Menurutnya, pada masa sama ibu bapa dapat berehat setelah seharian bekerja.

"Banyak tanggapan salah perlu diperbetulkan supaya ibu bapa sedar dan dapat memperbetulkan kesilapan ini untuk memastikan anak mereka selamat.

"Penggunaan walker bayi memberi banyak keburukan berbanding kebaikan, tetapi bagi rakyat Malaysia, penggunaan peralatan ini sudah menjadi kebiasaan. Terdapat banyak kajian di luar negara mengenai isu keburukan walker bayi ini.

"Kanada sudah mengharamkan penggunaan walker bayi dan dikenakan denda sebanyak AS$10, 000 (RM43,600) atau enam tahun penjara jika menyimpan peralatan ini.

"Ini disebabkan risiko keselamatan dan kesan masalah lambat perkembangan fizikal serta mental,"katanya.

TULANG belakang bayi terbentuk lekuk seperti huruf ‘C’.
TULANG belakang bayi terbentuk lekuk seperti huruf ‘C’.

Norshafiqah berkata, tulang belakang bayi terbentuk sejak di dalam rahim ibu.

Katanya, proses pertumbuhan tulang belakang akan terus berlaku dan terhenti pada usia 25 tahun.

"Pada awalnya, tulang belakang bayi terbentuk lekuk seperti huruf 'C'. Ini kerana otot sekitarnya belum cukup kuat untuk menyokong tulang belakang.

"Seiring tempoh kanak-kanak membesar, lekukan lain akan terbentuk untuk membantu bayi mengangkat kepalanya dan merangkak.

"Akhirnya kanak-kanak memiliki susunan dan bentuk lekukan seperti orang dewasa,"katanya.

Jelasnya, oleh itu kanak-kanak yang sering menggunakan walker bayi ini, lekukan tulang belakang mereka akan bermasalah.

"Ini kerana walker bayi mungkin akan menyebabkan tulang belakang semakin menjadi lekuk 'C' dan menghalang proses lekukan lain.

PERALATAN bantuan anak cepat berjalan.
PERALATAN bantuan anak cepat berjalan.

"Perlu diketahui apabila anak menggunakan walker bayi, hanya kaki mereka sahaja bergerak.

"Sedangkan badan tidak dalam keadaan tegak dan proses pembentukan tulang belakang mereka belum berlaku sepenuhnya.

"Jadi ia tidak boleh menampung badan untuk berdiri tegak semasa anak bergerak menggunakan walker bayi,"katanya.

Katanya, ini sememangnya membolehkan kanak-kanak berjalan awal tapi awas, tulang belakang yang belum sepenuhnya terbentuk akan menyebabkan bongkok (kyphosis).

"Apabila ia berlaku, akan terjadi tekanan kepada tulang belakang dan akhirnya turut menyebabkan skoliosis (bengkok).

"Antara kesan lain penggunaan walker bayi ialah membantutkan perkembangan kanak-kanak daripada segi fizikal.

"Kebiasaannya, kanak-kanak akan meniarap, menjulur, merangkak, mengesot, bertatih dan berjalan.

"Namun, apabila mereka menggunakan walker bayi, segala rangsangan untuk perkembangan motor kasar mereka akan menjadi lambat,"katanya.

Norshafiqah berkata, satu kajian diterbitkan dalam jurnal 'Journal of Developmental and Behavioral Paediatric' pada 1999 mendedahkan kanak-kanak yang menggunakan walker bayi lebih lambat untuk melakukan pergerakan seperti duduk, merangkak dan berjalan. Mereka ini mendapat skor yang rendah daripada sepatutnya.

Katanya, selain itu, seramai 66 kanak-kanak berumur lapan hingga 12 bulan dipilih menjalani satu kajian oleh Crouchman pada 1989 berkenaan isu ini.

"Merek terdiri daripada pengguna tegar, pengguna biasa dan bukan pengguna walker bayi.

"Pada akhir kajian, kumpulan kanak-kanak yang menjadi pengguna tegar walker bayi ini menunjukkan peratusan tinggi masalah lambat perkembangan .

"Dalam kajian terbaru penyelidik Badihian, Adihian & Yaghini pada 2017, melaporkan tiada bukti kukuh bahawa walker bayi membantu kanak- kanak dalam perkembangan fizikal dan mental, malah memberi lebih keburukan berbanding kebaikan,"katanya.

Katanya, sesuatu yang mustahil untuk mengharamkan penggunaan walker bayi di Malaysia kerana peralatan ini sentiasa digunakan.

Menurutnya, tidak dinafikan bahawa penggunaan walker bayi ada kebaikan terutama memberi peluang kepada ibu bapa berehat seketika, tetapi yang lebih penting ialah memastikan keselamatan anak terjamin semasa menggunakan walker bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 6:35 AM