INSIDEN bayi jatuh berlaku disebabkan ibu bapa alpa selain persekitaran tidak kondusif.
INSIDEN bayi jatuh berlaku disebabkan ibu bapa alpa selain persekitaran tidak kondusif.
Nurul Husna Mahmud

BAYI mula merangkak disifatkan satu perkembangan baik namun jika kurang pengawalan dan persekitaran selamat, mereka ini boleh mendapat kemalangan.

Di Malaysia, 44 peratus kemalangan membabitkan kanak-kanak ketika di rumah adalah disebabkan jatuh.

Kes itu lebih kerap berlaku kepada kanak-kanak dalam lingkungan usia satu hingga empat tahun kerana faktor perkembangan lebih aktif selain ruang lingkup pergerakan yang lebih luas.

Sementara sudut atau ruang dalam rumah pula yang sering berisiko seperti tangga, beranda, kedudukan perabot tinggi dan tidak ketinggalan 'baby walker.'

Menurut Pakar Perunding Kanak-kanak Hospital Pakar Kanak-kanak Kuala Lumpur Dr Raja Salihatunnisa Raja Ibrahim, kebanyakan kes jatuh membabitkan bayi mahupun kanak-kanak disebabkan sikap alpa ibu bapa selain keadaan persekitaran dalam rumah yang tidak kondusif.

"Apabila bayi mula membesar dan mampu bergerak sendiri, mereka ini lebih terdedah pelbagai risiko termasuk insiden jatuh ketika dalam rumah.

IBU bapa meninggalkan anak mereka seketika antara kebanyakan kecuaian dilakukan menyebabkan anak jatuh.
IBU bapa meninggalkan anak mereka seketika antara kebanyakan kecuaian dilakukan menyebabkan anak jatuh.

"Didorong kecuaian penjaga yang mana meninggalkan anak sendirian sebentar di kedudukan tinggi termasuk atas katil ketika menyalin lampin, berhampiran dengan plag atau wayar tertentu dan berdekatan objek merbahaya seperti bucu meja yang tajam.

"Tidak lupa juga penggunaan barangan atau objek tertentu termasuk permaidani tidak melekat pada lantai dan alat membantu pergerakan bayi boleh mengundang kemalangan," katanya.

Kata Dr Raja Salihatunnisa, kesan kemalangan itu cukup besar terutama kepada bayi kerana organ masih dalam peringkat pembesaran dan 'lembut.'

"Kalau kemalangan itu serius komplikasi dihadapi kanak-kanak atau bayi boleh menjadi kecederaan otak kekal, tulang patah dan tumbesaran terbantut. Manakala kalau membabitkan organ vital seperti jantung dan sebagainya boleh berlaku pendarahan serius akhirnya kehilangan nyawa.

"Selepas anak jatuh, ibu bapa mendapati terdapat gejala seperti muntah lebih dua kali, keluar darah atau lendiran daripada telinga, sukar terjaga dari tidur dan sawan, perlu segera dibawa ke hospital bagi pemeriksaan," katanya.

Sementara itu, Ahli Fisioterapi KPJ Rawang Mohamed Elfiruddin Elfian berkata, rawatan susulan cukup penting dalam membantu proses pemulihan lebih baik buat kanak-kanak.

Peranan pihaknya bergantung kepada tahap kecederaan kanak-kanak dan ibu bapa disarankan membantu dalam proses menjalani terapi termasuk mempelajari rutin yang mudah.

OTAK cedera antara komplikasi kecederaan jatuh serius dan menyebabkan kecacatan kekal.
OTAK cedera antara komplikasi kecederaan jatuh serius dan menyebabkan kecacatan kekal.

BALUT tangan patah dengan selimut selain kain sebagai ampu bahagian tercedera.
BALUT tangan patah dengan selimut selain kain sebagai ampu bahagian tercedera.

"Biasanya peranan kami ketika mengendalikan kanak-kanak ialah menilai terlebih perkembangan mereka. Kami bantu kanak-kanak untuk kawal pergerakan termasuk tertib duduk, bergolek, berjalan dan sebagainya.

"Termasuk dalam peranan itu, kami akan menghalang refleks dan corak pergerakan tidak normal dan itu perlu dipelajari ibu bapa.

"Dalam kes ini biasanya adalah senaman regangan pasif dilakukan untuk mengelakkan otot menjadi pendek dan kehilangan julat pergerakan," katanya.

Biasanya rutin senaman atau terapi bermula dengan bahagian tertentu.

"Ia mengikut bahagian tubuh dimulai bahagian atas badan seperti tangan dan kira dalam kiraan 10 dan ulangan sebanyak 10 kali. Sambung pula bahagian kaki atau separuh badan dan ke bawah," katanya.

Beliau juga memberi menasihati ibu bapa yang tidak mengendahkan aspek rawatan susulan dan terapi boleh menyebabkan anak yang berpeluang untuk sembuh dan normal menghadapi gangguan dalam proses pembesaran.

TERAPI bantu anak pulih dengan baik.
TERAPI bantu anak pulih dengan baik.

Dr Raja Salihatunnisa
Dr Raja Salihatunnisa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 7:01 AM