MASALAH jerawat disebabkan pemakaian pelitup muka.
MASALAH jerawat disebabkan pemakaian pelitup muka.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


PELITUP muka menjadi keperluan penting sejak pandemik Covid-19 melanda lebih dua tahun lalu.

Pemakaian 'perisai' ini bertujuan untuk mencegah dan mengawal penularan pandemik terbabit.

Namun, timbul pula masalah lain disebabkan pemakaian pelitup muka iaitu jerawat pelitup (maskne).

Sejak itu, istilah ini (jerawat pelitup) menjadi 'popular' kerana sering diperkatakan kalangan mereka yang mengalami masalah jerawat setiap kali memakai pelitup muka.

Dermatalogi Hospital Pakar An-Nur Dr Nur Ashikin Ahmad berkata, jerawat pelitup disebabkan pemakaian pelitup muka, namun terdapat masalah kulit lain seperti ruam merah dan kegatalan disebabkan pelitup muka yang tidak sesuai yang dipanggil 'irritant /allergic contact dermatitis'.

"Individu yang mempunyai kulit sensitif seperti 'atopic eczema',

'seborrheic dermatitis' dan 'rosacea' juga berkemungkinan menjadi lebih merah atau gatal kesan daripada pemakaian pelitup muka," katanya.

Beliau berkata, terdapat dua punca utama jerawat pelitup.

Pertama, geseran daripada material pelitup muka.

"Pelitup muka yang dipakai secara ketat akan lebih kerap bergesel dengan kulit. Ini boleh menjadikan muka kemerahan dan gatal di kawasan pipi, hidung serta belakang telinga.

"Punca kedua ialah kelembapan kulit yang tinggi. Kulit menjadi lebih lembap disebabkan peluh yang terperangkap kesan daripada tempoh pemakaian pelitup muka panjang, terutama ketika cuaca panas.

PENCUCI muka adalah produk asas untuk penjagaan untuk masalah kulit jerawat pelitup.
PENCUCI muka adalah produk asas untuk penjagaan untuk masalah kulit jerawat pelitup.

"Liang pori juga lebih mudah tersumbat dan ini menggalakkan pertumbuhan bakteria punca jerawat.

"Pemakaian produk alat solek yang tidak sesuai dan berlebihan bersama pelitup muka juga boleh menyebabkan jerawat," katanya.

Ditanya mengenai tip penjagaan kulit jerawat pelitup, Dr Nur Ashikin berkata, pertama ialah 'keep it simple' iaitu rutin penjagaan muka yang ringkas.

"Penggunaan produk asas yang disarankan adalah pencuci muka, pelembap dan krim pelindung matahari," katanya.

"Penggunaan produk kulit yang berlebihan seperti serum, 'skin oil', krim 'exfoliating', krim siang dan krim malam ada kalanya tidak diperlukan.

"Penggunaan krim yang sesuai memerlukan nasihat daripada doktor," katanya.

Beliau berkata, tip kedua adalah mengenali jenis kulit sama ada kulit sensitif, berminyak, kombinasi atau normal.

JERAWAT pelitup di bahagian pipi.
JERAWAT pelitup di bahagian pipi.

"Ini penting untuk memilih jenis produk seperti pencuci muka, pelembap yang khusus bagi setiap jenis kulit.

"Pencuci muka jenis 'gentle-cleanser', 'soap-free' dan 'fragrance-free' sesuai untuk semua jenis kulit kerana ia tidak mengeringkan kulit.

"Penggunaan skrub muka tidak digalakkan bagi kulit kering atau yang sedang mengalami jerawat kerana ia boleh menyebabkan kulit kemerahan dan jerawat lebih teruk.

"Cuci muka dua kali sehari atau jika kulit terasa 'berat' atau berminyak," katanya.

Menurutnya, individu berkaitan juga boleh menggunakan pelembap 'oil- free' dan 'non comedogenic' sama ada jenis losen atau gel yang melindungi kulit dari geseran material pelitup muka khususnya bagi kulit berminyak.

"Penggunaan pelembap bersesuaian menjadikan kulit lebih selesa, tidak merasa berat dan tidak menyumbat liang pori kulit yang menjadi punca jerawat.

"Guna pelembap sekurang-kurangnya 30 minit sebelum memakai pelitup muka," katanya.

Jelasnya, disarankan memakai krim pelindung matahari selepas pemakaian pelembap, diikuti dengan pemakaian pelitup muka sebelum keluar rumah pada waktu siang.

"Sinaran matahari boleh menembusi pelitup muka dan pemakaian krim pelindung matahari dapat mengurangkan kemerahan serta kegatalan kulit. Ia secara tidak langsung membantu mencegah jerawat.

"Pemakaian krim pelindung matahari yang disyorkan adalah jenis 'oil-free', 'non-comedogenic', mempunyai faktor pelindung matahari (SPF) sekurang-kurangnya SPF30 dan dilabel sebagai

'broad-spectrum'.

JERAWAT merebak ke bahagian dagu.
JERAWAT merebak ke bahagian dagu.

"Broad-spectrum bermaksud, ia melindungi daripada sinar suria UV-A (sinar suria menyebabkan penuaan kulit) dan UV-B (melindungi kulit daripada sinar suria yang mengakibatkan kulit terbakar matahari)," katanya.

Dr Nur Ashikin berkata, bagi produk penjagaan kulit seperti serum, krim siang, krim antipenuaan yang mengandungi retinoid, 'alpha-hydroxy acid' (AHA), 'glycolic acid' (GA), ia boleh menyebabkan keradangan kulit jika dipakai bersama pelitup muka.

"Penggunaan krim ini perlu diberhentikan sementara, jika kulit menjadi kemerahan dan dapatkan nasihat doktor untuk mengenal pasti krim yang sesuai.

"Penggunaan toner tidak digalakkan kerana kandungan alkohol dalam toner boleh mengeringkan kulit muka. Kulit akan menghasilkan lebih banyak minyak dan jerawat menjadi lebih banyak," katanya.

Katanya lagi, rawatan muka seperti memicit jerawat nanah atau jerawat batu (nodule/cyst) tidak digalakkan kerana jerawat boleh menjadi lebih teruk.

Selain itu, ia berisiko menjadi parut kekal.

Tambahnya, bagi rawatan jerawat pasir atau jerawat nasi 'blackheads' atau 'comedone', disarankan untuk mendapatkan rawatan daripada doktor bertauliah.

Menurut Dr Nur Ashikin, tip kedua ialah memilih jenis pelitup muka yang sesuai.

Material pelitup muka gred perubatan seperti N95 dan pelitup muka tiga lapisan berupaya menyerap pelembap semula jadi kulit jika dipakai lama yang menyebabkan kulit menjadi merah, gatal dan lebih kering.

"Masalah ini akan menjadi lebih ketara bagi individu yang mempunyai kulit sensitif atau kulit kering.

PAKAI pelembap 30 minit sebelum memakai pelitup muka.
PAKAI pelembap 30 minit sebelum memakai pelitup muka.

"Manakala individu yang mempunyai kulit berminyak, pemakaian pelitup muka gred perubatan atau pelitup muka tiga lapisan boleh menyebabkan kulit menjadi lembap dan menggalakkan pertumbuhan bakteria jerawat," katanya.

Beliau berkata, oleh itu dinasihatkan supaya membuka pelitup muka selepas satu hingga empat jam dan biarkan kulit muka terdedah selama 15 minit sebelum memakainya semula.

"Buka pelitup muka di kawasan yang sesuai seperti kawasan yang tidak sesak.

"Bagi pelitup muka pakai buang, disarankan supaya menukar pelitup muka pakai buang apabila ia lembap.

"Pelitup muka jenis kain seperti 'lycra-cotton' boleh menjadi alternatif kerana ia menyerap haba dan peluh," katanya.

Namun katanya, pengguna perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana ia kurang melindungi daripada jangkitan Covid-19 berbanding pelitup muka gred perubatan.

Tambahnya, pelitup muka berwarna cerah kurang menyerap haba dan tidak menyebabkan muka cepat berpeluh serta berminyak.

Pakai pelitup muka yang bersesuaian dengan bentuk muka, tidak terlalu ketat juga selesa.

Ditanya mengenai rawatan, beliau berkata, dapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor pada peringkat awal bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.

"Ini membolehkan doktor melakukan analisis, membuat diagnosis dan memberi rawatan yang sesuai kerana tidak semua ruam merah di muka disebabkan jerawat.

"Contoh, material pelitup muka tidak sesuai boleh menyebabkan iritasi/'allergic contact dermatitis' yang dapat dikenal pasti puncanya melalui ujian alahan kulit.

"Jerawat pula memerlukan rawatan khas seperti ubat antibiotik, krim jerawat dan ubat makan khas seperti 'isotretinoin' yang sangat berkesan dan dapat menghalang pertumbuhan jerawat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 7:00 AM