SOLEKAN lebih minimalis dan menonjolkam kecantikan semula jadi pengantin. FOTO Syaiful Bakri
SOLEKAN lebih minimalis dan menonjolkam kecantikan semula jadi pengantin. FOTO Syaiful Bakri
Nurul Husna Mahmud


TAMPIL cantik pada hari bahagia adalah impian setiap wanita. Tidak hanya persalinan, solekan turut menjadi elemen penting bagi menonjolkan pesona raja sehari.

Justeru pemilihan konsep bagi solekan sama penting dengan pakaian pengantin supaya selari dengan peredaran zaman.

Menurut jurusolek profesional, Ummi Kalsum Abdullah yang memiliki pengalaman dalam solekan hampir 20 tahun, solekan malar segar masih kekal popular sehinggalah ke tahun ini.

Dia yang lebih dikenali sebagai Ummi Kayy itu berkata, konsep solekan malar segar kekal menjadi pilihan kerana tampak lebih semula jadi dan tidak lapuk dek zaman.

"Solekan malar segar antara solekan menjadi pilihan kebanyakan pengantin kerana konsep lebih minimalis dan semula jadi.

"Malah solekan malar segar ini juga dikenali 'timeless make up' dan pengolahan tona warna lebih cenderung menonjolkan kecantikan dimiliki pemakai solekan ini.

"Atas faktor tidak berlebihan itu jugalah aura seri pengantin menyerlah kerana begitu harmoni dengan tona warna kulit," katanya.

Namun begitu ramai beranggapan apabila konsep menimalis dan ringkas itu menjadi pilihan pengantin, tugas jurusolek menjadi mudah.

Itu dinafikan Ummi Kayy yang berpendapat solekan malar segar boleh menjadi konsep yang sukar kerana berisiko pengantin tampak kusam dan membosankan.

"Solekan juga salah satu seni. Andai jurusolek mengenakan warna atau produk yang tidak menepati warna kulit dan keadaan kulit pengantin, kemungkinan boleh menjejaskan penampilan.

"Lebih buruk, solekan membuatkan penampilan pengantin muram dan tampak tua. Ini akan mempengaruhi impak 'mood' dan kenangan bahagia pengantin perempuan serta pasangan.

UMMI Kayy bersama model sudah dirias mengikut konsep malar segar. FOTO Syaiful Bakri
UMMI Kayy bersama model sudah dirias mengikut konsep malar segar. FOTO Syaiful Bakri

"Risiko dalam penggunaan skema warna malar hijau selalunya dikaitkan dengan warna bumi (earth colour) dan jika adunan tidak sesuai kemungkinan muka pengantin menjadi lebih suram atau gelap," katanya.

Atas faktor itu jurusolek berpengalaman dan profesional mampu merealisasikan solekan malar segar mengikut gaya masing-masing.

"Saya pernah juga bereksperimentasi dengan malar segar warna ungu dan ungu yang benar-benar lembut digunakan.

"Dalam bahasa mudah, penggunaan warna masih boleh tetapi haruslah tona warnanya 'perlahan' dan lembut seperti warna pastel.

Ia bertujuan tidak menjejaskan konsep malar segar yang bersifat ringkas dan juga semula jadi," katanya yang mengagumi jurusolek selebriti Syed Faizal.

Berikut adalah urutan dalam solekan malar segar dikongsi Ummi Kay:

 TIDAK sarat dan lebih segar. FOTO Syaiful Bakri
TIDAK sarat dan lebih segar. FOTO Syaiful Bakri

1. Penyediaan wajah

Jurusolek perlu melakukan persediaan pada wajah sebelum mengenakan solekan dan semburan produk 'setting spray' pada wajah boleh membantu.

Boleh mulakan dengan mengenakan pelembap dan ia perlulah bersesuaian dengan kulit. Bagi mengetahui penggunaan pelembap itu sesuai atau tidak, boleh lihat pada wajah kelihatan lebih menggebu. Selain itu penggunaan serum juga digalakkan.

2. Pemakaian primer

Ratakan primer ke seluruh wajah bagi tujuan membantu lekapan lebih baik apabila mengenakan solekan.

Terdapat dua jenis iaitu jenis 'glow' (berkilat) atau 'matte.' Bagi kulit jenis berminyak sebaiknya gunakan tekstur primer matte, sementara untuk 'glow' adalah mereka kulit biasa atau kering.

MENGENAKAN bedak asas warna setara dengan warna kulit. FOTO Syaiful Bakri
MENGENAKAN bedak asas warna setara dengan warna kulit. FOTO Syaiful Bakri

3. Rutin membetulkan cela pada muka menerusi penggunaan pembetul warna dan penutup cela

Penggunaan krim pewarna yang juga dikenali color corrector (pembetul warna) adalah langkah penting sebelum mengenakan bedak asas (foundation)

Krim khas ini selalunya datang dalam warna hijau, merah atau jingga bertujuan menutupi jerawat dan kawasan gelap seperti bawah mata serta bawah bibir.

Penggunaan color corrector menutupi jerawat biasanya berwarna hijau, sementara untuk bahagian gelap selalunya jingga atau merah mengikut kesesuaian warna kulit.

Begitu juga penggunaan penutup cela atau 'consealer) penting bagi menutup parut jerawat dan hitam bawah mata. Ia perlulah dipilih mengikut kesesuaian tona kulit.

4. Pemakaian bedak asas (foundation)

Tip penting dalam mengenakan bedak asas ialah sebaiknya mencari satu tona yang lebih cerah daripada kulit. Ini bagi mengelak efek kemungkinan material bedak asas boleh menjadikan kulit tampak lebih gelap daripada sepatutnya.

Langkah terbaik ketika mengenakan bedak asas carilah satu tona lebih cerah. Andai bedak asas dikenakan lebih cerah ia boleh dilitupi dengan bedak kompak atau bedak tabur (loose powder). Rujukan lain dalam pemilihan warna bedak asas adalah pilih warna secerah warna kulit pada leher.

5. Kontur untuk membentuk muka lebih tirus

Satu lagi teknik penting adalah melukis garisan kontur muka di bahagian tulang pipi, tulang rahang dan hidung.

Ini membantu muka tampak lebih tirus selain tulang pipi lebih tinggi dengan menggunakan pen kontur.

6.Pemakaian bedak kompak atau bedak tabur bertujuan merapikan tata rias wajah kerana bedak tabur mampu membantu melaras bedak asas.

7.Pemakaian pemerah pipi bermula mengoles dari tulang pipi belakang sehingga ke luar. Ini memberi efek tulang pipi lebih tinggi.

8. Solekan mata

Untuk konsep malar hijau, penggunaan bulu mata palsu perlulah mengikut panjang bulu mata asal supaya kelihatan semula jadi.

Penggunaan celak mata yang berwarna gelap begitu juga penggunaan maskara hitam membantu membuatkan mata lebih segar.

Untuk warna kelopak pula, penggunaan warna bumi seperti warna perang digunakan untuk naikkan seri pada alis mata.

9. Penggunaan warna 'nude' atau warna merah hati lembut antara boleh digunakan untuk menyuntik seri pada bibir. Oleskan juga pelembap bibir untuk nampak bibir lembap dan merekah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 9:20 AM