TIDUR mencukupi membuatkan seseorang berasa segar apabila bangun.
TIDUR mencukupi membuatkan seseorang berasa segar apabila bangun.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


ISLAM menggalakkan umatnya bangun awal pagi kerana ia boleh membuka pintu rezeki (dimurahkan rezeki) dengan diikuti solat Subuh sebelum memulakan sebarang aktiviti.

Amalan bangun pagi sebenarnya memberi banyak kebaikan dalam kehidupan termasuk kesihatan.

1. Lebih banyak masa untuk diri sendiri

Memulakan rutin bangun pagi membolehkan mempunyai lebih banyak masa untuk diri sendiri.

Contohnya, bersantai minum kopi sambil membaca majalah atau akhbar.

Selain itu, boleh menikmati ketenangan waktu pagi sebelum memulakan rutin harian yang sibuk ke tempat pejabat.

2. Lebih banyak masa bersenam

Bangun awal pagi adalah penyelesaian masalah bagi mereka yang suka bersenam, tetapi tidak mempunyai masa terluang kerana kesibukan bekerja.

Jadikan senaman sebagai aktiviti pertama dilakukan selepas menunaikan solat Subuh. Ini bagi mengelakkan daripada tidak dapat melakukannya kerana komitmen kerja, sosial atau keletihan.

Senaman pagi boleh merebeskan hormon endorfin yang menenangkan dan mengurangkan hormon cortisol, penyebab tekanan.

3. Mengelakkan terperangkap kesesakan lalu lintas

Apabila bangun awal pagi dapat memulakan rutin harian lebih awal termasuk ke pejabat.

Ini dapat mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Secara tidak langsung, meningkatkan kesejahteraan kesihatan diri.

Kajian mendapati, terperangkap dalam kesesakan boleh menyebabkan tekanan dan masalah pernafasan.

4. Lebih banyak masa untuk menyelesaikan banyak perkara

Jika sering merasakan tidak mempunyai masa mencukupi untuk menyiapkan banyak perkara dalam tempoh 24 jam.

Bangun awal pagi adalah tindakan tepat. Susun jadual dan pastikan melakukannya seperti dirancang.

5. Tidur lebih berkualiti

Penyelidikan mendapati individu yang bangun awal pagi, cenderung tidur lebih awal dan menikmati tidur berkualiti.

Tidur yang mencukupi memberikan banyak manfaat kepada kesihatan seperti meningkatkan mood, daya tumpuan lebih baik dan rendah risiko obesiti serta penyakit kronik lain.

Sebaliknya, tidur tidak mencukupi boleh melemahkan sistem imun badan, meningkatkan risiko penyakit darah darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis.

6. Kulit lebih sihat

Tidur mencukupi akan meningkatkan kesihatan kulit kerana kulit membuat kolagen baharu ketika tidur.

Ini menjadikan kulit lebih tegang, kendur dan kedut hilang.

Selain itu, kulit lebih berseri kerana darah dialirkan secukupnya ke kulit semasa tidur.

Jika masuk ke bilik tidur awal, boleh melakukan persediaan sebelum tidur seperti mencuci muka dan memakai krim malam.

Kesannya, bangun pagi kulit menjadi lebih berseri.

7. Lebih banyak masa untuk sarapan

Bangun awal pagi memberikan lebih masa untuk menikmati sarapan dengan tenang di rumah dan bukannya makan dalam kereta ketika perjalanan ke pejabat.

Memulakan hari dengan sarapan berkhasiat yang membuatkan rasa kenyang lebih lama dan bertenaga sepanjang hari.

Terdapat beberapa faktor menyebabkan seseorang itu bangun awal pagi dan tidak semuanya berlaku berdasarkan pilihan.

Sebilangan individu bangun awal pagi dan tidak cukup tidur adalah kerana mengalami gangguan tidur.

Ia terjadi disebabkan oleh masalah mental seperti kegelisahan, kemurungan, insomania, penuaan dan perubahan hormon semasa mengandung atau menopaus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 6:20 AM