Bagi pencinta kopi tegar, meskipun dengan hanya sehirup kopi pasti memberikan tenaga berbeza. Itu antara cabaran bagi mereka yang gilakan minuman ini.

Gangguan akibat tidak mendapat secawan kopi sebelum memulakan hari baru boleh dikategorikan isu serius. Ia seolah-olah meletakkan nyawa sendiri di dalam secawan kopi. Bagi anda yang ingin cuba keluar daripada obsesi ini, ada beberapa cara boleh dilakukan.

REGANGAN

Beberapa jenis gerakan regangan biasa boleh membang­kitkan semangat pada pagi hari. Salah satunya 'fish pose' ­iaitu berbaring sambil meletakkan tangan di pinggul. Seterusnya, angkat bahu lalu dongakkan kepala. Gerakan ini adalah salah satu teknik yoga yang berkesan untuk proses stimulasi tubuh.

EPAL

Ubah tabiat membayar secawan kopi dengan harga sekilo buah-buahan, apa kata beli epal yang tentunya memberi banyak kelebihan untuk kesihatan. Kandungan gula dan karbohidrat semula jadi membantu meningkatkan kadar gula dalam darah dengan cepat. Peranannya sama dengan buah lain seperti pisang. Buah-buahan memberikan kandungan serat yang penting untuk sistem pencernaan.

BERJEMUR

Jika anda tidak ada 'mood' untuk bersukan, setidak-tidaknya keluar dari bilik untuk menghirup udara segar di luar rumah. Rasakan juga panas matahari pada pagi hari yang terbukti mampu meredakan tekanan dan kepenatan. Matahari pagi juga penting untuk kesihatan tulang.

AIR SEJUK

Bangun awal untuk mandi pagi. Rasa dingin pasti membuatkan kita mahu menyegarkan tubuh dengan air panas. Namun, untuk memperoleh kesegaran sepanjang hari, ada baiknya kita mandi dengan air sejuk. Jika malas untuk mandi dengan air sejuk, cukuplah dengan mencuci muka menggunakan satu gayung air sejuk.

BERGERAK

Jangan malas bergerak. Apabila bangkit dari tempat tidur, ambil masa beberapa minit untuk senaman ringan. Tidak ada cara lain yang lebih sihat untuk membangkitkan semangat pada pagi hari, selain melakukan aktiviti fizikal. Olahraga mudah mampu meningkatkan endorfin iaitu hormon yang memberikan rasa senang dan bersemangat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:01 AM