PELBAGAI manfaat terutama kesihatan dapat dicapai dengan tidur yang cukup.
PELBAGAI manfaat terutama kesihatan dapat dicapai dengan tidur yang cukup.
Siti Nadirah Hafidzin

Tidur yang mencukupi pasti membuatkan kita lebih segar, sekali gus meredakan tekanan perasaan sama ada akibat masalah di tempat kerja mahupun peribadi.

Setiap individu dewasa memerlukan tidur sekitar tujuh hingga lapan jam sehari bagi memberi masa kepada semua otot badan dan minda yang terlalu banyak berfungsi untuk berehat.

Disebabkan itu, tidur yang mencukupi ini juga tidak hanya baik untuk kesihatan, malah menyerlahkan kecantikan secara semula jadi.

Berikut antara kelebihan tidur malam mencukupi:

1. Meningkatkan memori

Tidur mampu meningkatkan pemikiran dan memori dengan adanya rehat yang mencukupi. Setiap individu memerlukan waktu tidur yang teratur dan cukup dalam sehari bagi memastikan daya ingatan terus kuat dan tidak cepat lupa.

2. Memiliki berat badan ideal

Jika anda berfikir mengenai diet menurunkan berat badan, perkara yang tidak boleh dipandang ringan ialah waktu tidur kerana ia juga mempengaruhi bentuk badan seseorang.

Kajian di Universiti Chicago menunjukkan individu yang mendapat tidur mencukupi lebih mudah menurunkan berat badan berbanding individu yang tidur secara tidak teratur.

3. Kurang tekanan

Tekanan yang tidak dikawal dengan baik menyebabkan seseorang itu berisiko menghidap penyakit jantung.

Dengan tidur yang mencukupi, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan, sekali gus mengurangkan risiko sesetengah jenis penyakit.

4. Menghindari kemalangan

Tidur yang tidak teratur atau kurang tidur juga mengakibatkan seseorang itu mungkin terganggu tumpuannya sama ada di tempat kerja mahupun ketika memandu.

Tidur yang tidak mencukupi boleh mengakibatkan seseorang itu mudah berasa penat manakala tumpuan sering terganggu yang akhirnya mengundang risiko kemalangan di tempat kerja mahupun di jalan raya.

5. Hidup sentiasa gembira dan tenang

Hakikatnya, seseorang yang cukup tidur akan kelihatan sentiasa segar dan gembira.

Tidur yang cukup dalam tempoh tujuh hingga lapan jam sehari juga membuatkan individu itu berasa riang dan terhindar daripada kemurungan.

6. Kurang risiko penyakit

Mendapat rehat yang cukup bukan saja mampu melegakan diri daripada tekanan malah ia antara langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko penyakit.

Disiplin diri yang teratur iaitu dengan makan, bersukan dan tidur mencukupi membantu dalam penjagaan kesihatan diri.

7. Menyerlahkan kecantikan secara semula jadi

Pastinya sesiapa saja akan tersenyum apabila memiliki waktu tidur yang cukup. Ia bukan saja menyihatkan malah menyerlahkan kecantikan secara semula jadi dan mengurangkan kesan kedutan pada mata akibat masalah kurang tidur.

Cuba tetapkan waktu tidur anda sebaik-baiknya dan pasti anda akan memiliki perasaan gembira yang dapat menyerlahkan kecantikan dalaman anda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:40 AM