TIDAK perlu risau dengan sekatan atau larangan membawa cecair ketika menaiki penerbangan kerana makanan bayi adalah terkecuali.
TIDAK perlu risau dengan sekatan atau larangan membawa cecair ketika menaiki penerbangan kerana makanan bayi adalah terkecuali.
Susunan Nor Hanisah Kamaruzaman


Kebiasaannya ibu bapa gemar tinggal di rumah atau mengelak untuk melancong jika mempunyai bayi yang berumur satu tahun ke bawah. Ini kerana kebanyakan bayi dalam lingkungan itu belum dapat berjalan dan masih memerlukan perhatian dan penjagaan sepenuhnya.

Namun, tidak salah jika anda mahu bercuti dan membawa bayi kecil bersama. Beberapa tip mungkin dapat membantu supaya anda mempunyai masa bercuti atau melancong dengan berkualiti bersama keluarga dan bayi.

1. Susu dan makanan bayi

Keperluan utama bayi adalah susu dan makanan. Pastikan bayi anda minum susu dengan mencukupi kerana perjalanan yang panjang boleh menyebabkan dehidrasi.

Pastikan makanan bayi dibawa berlebihan daripada keperluan sebagai langkah berjaga-jaga kerana mungkin makanan bayi anda tidak dapat didapati di tempat yang dikunjungi. Jika menaiki penerbangan, tidak perlu risau kerana makanan bayi terkecuali daripada sekatan cecair.

2. Elak keracunan makanan

Kebanyakan bayi berumur satu tahun ke bawah masih diberi susu ibu. Pastikan ibu tidak terkena keracunan makanan kerana risiko bayi untuk terkena keracunan makanan juga tinggi.

Makan makanan yang betul-betul dimasak dan elak makan di gerai atau kedai makan yang kebersihannya kurang memuaskan. Makanan yang ibu makan biasanya sebati dengan susu yang diberikan kepada bayi, jadi mencegah adalah lebih baik kerana bayi yang sakit bukan saja memenatkan bayi itu sendiri, malah ibu bapa.

3. Bawa bayi berjalan

Sekiranya anda menggunakan kenderaan yang mengambil masa yang panjang seperti kereta api mahupun kapal terbang, bayi mudah untuk rasa bosan atau jemu kemudian menangis.

Bangun dari tempat duduk dan bawa bayi berjalan-berjalan supaya dia dapat melihat pemandangan baru. Bayi tidak mudah bosan sekiranya melihat perkara baru.

4. Elak gigitan nyamuk

Gigitan nyamuk secara amnya tidak menyakitkan bayi dan hanya meninggalkan kesan, namun ia menjadi bahaya sekiranya nyamuk itu membawa penyakit atau aedes. Jika tempat tinggal anda berisiko mempunyai nyamuk, elakkan penggunaan krim penghalau serangga kerana sesetengahnya tidak sesuai untuk bayi yang masih kecil.

Pasang penghalau nyamuk elektrik beberapa jam sebelum waktu tidur dapat mengurangkan risiko gigitan nyamuk dan pastikan semua pintu dan tingkap ditutup semasa waktu senja dan waktu tidur.

5. Bawa kamera

Selepas membawa segala keperluan yang lain, jangan lupa untuk bawa kamera bersama-sama bagi merakam memori percutian bersama si kecil.

Bawa sekali pengecas kamera dan kad memori berlebihan supaya setiap detik indah anda bersama bayi tidak dilupakan terutama kepada bayi anda setelah dia besar kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 10:14 AM