ELAK tengok telefon sebelum tidur.
ELAK tengok telefon sebelum tidur.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

'JIKA hendak berjaya, mesti kuat bekerja dan kurangkan tidur'.

Itu antara pendirian segelintir individu yang 'gila kerja' hingga menafikan kepentingan tidur dan mengabaikan kesihatan diri.

Malah ada yang salah tanggapan apabila menyangka seseorang akan semakin berjaya jika bekerja bagi tempoh lebih panjang.

Sebenarnya, tanpa mereka sedari, perbuatan 'melanggar' jam biologi tidur manusia boleh mengundang risiko penyakit selain terdedah kemalangan.

Perunding Kanan Malaysia Brain Academy, Dr Rizal Abu Bakar berkata, ramai tidak menyedari kepentingan tidur dan ia mendapat perhatian apabila seseorang yang terbabit dengan sindrom ini mula berdepan masalah kesihatan.

"Tidur yang terganggu boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal, terkena serangan jantung, obesiti, kencing manis dan angin ahmar.

KURANG tidur menyebabkan kulit wajah kusam.
KURANG tidur menyebabkan kulit wajah kusam.

"Kajian di Russia mendapati 63 peratus lelaki yang terkena serangan jantung berdepan masalah tidur.

"Risiko serangan jantung meningkat antara dua hingga 2.6 kali ganda.

"Risiko serangan angin ahmar pula antara 1.5 hingga empat kali ganda berbanding orang lain," katanya.

Beliau berkata, kajian lain mendapati, gangguan pada hormon tidur melatonin akan meningkatkan risiko menghidap barah payudara, barah ovari dan barah prostat bagi lelaki.

Kata Dr Rizal, dalam konteks kesihatan mental, hampir semua penyakit kesihatan mental dikaitkan dengan masalah tidur terutama kemurungan dan gangguan kebimbangan.

"Individu yang terganggu tidurnya lima kali ganda lebih tinggi merasai kesepian dan tujuh kali ganda lebih tinggi memiliki perasaan tidak berdaya.

PENCAPAIAN akademik terjejas bagi pelajar kurang tidur.
PENCAPAIAN akademik terjejas bagi pelajar kurang tidur.

"Satu perkara yang menarik ialah proses penyelenggaraan otak berlaku semasa tidur. Ketika tidur, otak akan 'dicuci' secara fizikal.

"Ini adalah sistem kebijaksanaan yang ada dalam diri setiap manusia, bertujuan membersihkan plak dan protein daripada otak.

"Sekiranya kedua-dua bahan ini (plak dan protein) tidak dibersihkan, ia akan menyebabkan penyakit Alzheimer," katanya.

Menurut beliau, tidur adalah keperluan yang sangat penting untuk otak terutama pada bahagian Korteks Prefrontal (PFC) di belakang dahi.

"PFC terbabit dalam membuat keputusan, empati, penilaian buruk dan baik, logik, perancangan masa depan, pengurusan masa serta menyelesaikan masalah. "Kurang tidur menyebabkan prestasi PFC menurun sekurang-kurangnya 35 peratus. Lebih malang ialah bahagian lain otak seperti pusat memori (hipokampus) turut terganggu mengakibatkan masalah lupa meningkat," katanya.

Menurut Dr Rizal, gangguan juga berlaku pada bahagian otak iaitu lobus temporal kiri (LTL) di belakang mata kiri.

"Proses belajar, memori jangka pendek, bahasa, pengurusan emosi diuruskan oleh LTL.

KURANG tidur meningkatkan risiko kemalangan.
KURANG tidur meningkatkan risiko kemalangan.

"Oleh itu, tidur tidak cukup akan mengganggu proses pembelajaran, meningkatkan rasa marah dan masalah kepetahan bertutur," katanya.

Selain itu, kata Dr Rizal, pencapaian akademik pelajar kurang tidur juga boleh terjejas apabila prestasinya lebih rendah selain mudah melakukan kesalahan semasa menjawab peperiksaan.

Dr Rizal berkata, agak membimbangkan ialah masalah tidur juga dikaitkan dengan kemalangan, kematian dan kecacatan kekal.

"Pentadbiran Keselamatan dan Trafik Lebuh raya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA) mendapati 1.2 juta kemalangan yang berlaku setiap tahun disebabkan oleh pemandu mengantuk.

"Ini disebabkan pemandu terlelap semasa memandu dan kesannya lebih buruk daripada pemandu mabuk.

"Kira-kira 8,000 terkorban dalam kemalangan yang disebabkan pemandu terlelap selain mengakibatkan kecacatan kekal kepada mangsa lain," katanya.

Pengkaji dari Norway mendapati, individu yang sukar melelapkan mata mempunyai 34 peratus risiko terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Mereka yang mengalami gejala insomnia pula tiga kali ganda berisiko terbabit kemalangan maut.

ELAK minuman berkafein jika mahu tidur berkualiti.
ELAK minuman berkafein jika mahu tidur berkualiti.

Beliau berkata, kesan kurang tidur boleh dirasai pada keesokan harinya ketika bangun dan seseorang boleh berasakan yang tahap tenaganya merosot selain fokus terganggu.

"Seseorang yang kekurangan tidur tidak perlu menggantikan hutang tidur pada waktu siang atau malam. Ini kerana tambahan jumlah jam pada waktu lain akan mengganggu jam biologi manusia.

"Satu cara untuk menghilangkan rasa letih pada siang hari ialah tidur sekejap waktu tengah hari (tidak lebih 30 minit).

"Kajian mendapati, mereka yang tidur sekejap, prestasi otaknya meningkat," katanya.

Menyentuh waktu tidur sebenar diperlukan orang dewasa, Dr Rizal berkata, waktu standard tidur ialah lapan jam dan kajian Mayo Clinic menunjukkan mereka yang tidur kurang enam jam mempunyai 23 peratus risiko mengalami masalah obesiti.

"Ini kerana mereka akan makan lebih banyak daripada individu yang tidur waktu standard.

"Orang yang tidak cukup tidur kurang mengeluarkan hormon kenyang iaitu leptin. Ini membuatkan selera makan bertambah dan mereka makan tanpa had," katanya.

Dr Rizal
Dr Rizal

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 1:31 PM