DEMENSIA berisiko dihidapi warga emas berusia 65 tahun ke atas.
DEMENSIA berisiko dihidapi warga emas berusia 65 tahun ke atas.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Tidak ramai anak mengetahui penyakit demensia meskipun mereka menjaga ibu bapa warga emas.

Kekurangan maklumat penyakit ini ada kalanya menyebabkan mudah berlaku 'konflik' kerana anak tidak dapat memahami perubahan sikap dan tingkah laku ibu bapa disebabkan penyakit demensia.

Demensia ialah penyakit yang menjejaskan fungsi otak dan menyebabkan hilang keupayaan kognitif secara berperingkat, perubahan personaliti serta kemerosotan emosi.

Pengerusi Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Devinder Kaur Ajit Singh berkata, ada lebih 200 keadaan neurologi yang boleh menyumbang kepada berlakunya demensia.

Menurut Dr Devinder Kaur, individu berisiko menghidap penyakit ini ialah warga emas berusia 60 tahun ke atas.

PERUBAHAN emosi antara gejala demensia.
PERUBAHAN emosi antara gejala demensia.

"Antara jenis penyakit demensia adalah Alzheimer, angin ahmar dan Parkinson.

"Tanda individu menghidap demensia boleh dilihat daripada segi perubahan aktiviti seharian seperti kesukaran dalam menyelesaikan masalah yang membabitkan ingatan, pemikiran dan perancangan," katanya.

Dr Devinder Kaur berkata, kemerosotan dalam menjalankan aktiviti seharian berlaku sehingga satu tahap apabila mereka memerlukan penjagaan intensif jangka masa panjang.

"Oleh itu, ahli keluarga perlu menggalakkan penghidap demensia untuk terus aktif dan melakukan aktiviti fizikal serta senaman.

PESAKIT demensia sering terlupa.
PESAKIT demensia sering terlupa.

"Namun, mereka perlu dipantau sepanjang melakukan aktiviti ini bagi mengelak berlaku kemalangan," katanya.

Dr Devinder Kaur berkata, senaman membuktikan dapat memberi kesan positif ke atas fungsi fizikal dan kognitif penghidap demensia.

Katanya, selain itu, senaman dapat membantu mengekalkan kesihatan, kekuatan otot dan keseimbangan badan.

"Ini penting untuk mengurangkan risiko ketidakupayaan, keuzuran, jatuh dan kecederaan dalam kalangan penghidap demensia.

AKTIVITI fizikal membantu mengurangkan risiko menghidap demensia.
AKTIVITI fizikal membantu mengurangkan risiko menghidap demensia.

"Selain itu, senaman mempunyai pelbagai manfaat dan antaranya mengurangkan masalah psikologi seperti tekanan serta kemurungan.

"Pada masa sama, ia menguatkan otot, menambah baik keseimbangan badan dan membantu dalam melaksanakan aktiviti harian (contoh, berjalan)," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fisioterapi H-Care UKM, Dr Normala Mesbah berkata, kajian mendapati demensia berkait rapat dengan masalah keseimbangan badan yang boleh menyebabkan kemalangan jatuh.

Menurut Dr Normala, ketidakseimbangan tubuh berlaku ketika melakukan aktiviti yang membabitkan dua aktiviti serentak, fizikal dan kognitif.

MEMBACA membantu meningkatkan fungsi otak.
MEMBACA membantu meningkatkan fungsi otak.

Contohnya, mengira sambil melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan.

"Kajian lain juga mendapati, penghidap demensia hanya menumpukan perhatian pada satu aktiviti, ketidakseimbangan tubuh berlaku sekiranya mereka menumpukan perhatian pada aktiviti kognitif iaitu pengiraan.

"Hasil temu ramah kajian ini turut mendedahkan ketidakseimbangan tubuh adalah masalah yang sering dihadapi penghidap demensia terutama apabila melakukan aktiviti lebih kompleks," katanya.

Dr Normala berkata, kajian seterusnya pula menunjukkan penghidap demensia sering mengalami gejala gangguan tidur malam menyebabkan mereka sering letih pada waktu siang.

"Oleh itu, penghidap demensia disaran melakukan aktiviti kegemaran mereka dengan mengambil kira masa berjaga dan tidur.

"Ini untuk memastikan mereka boleh memaksimumkan tenaga bagi melakukan aktiviti harian dan bersenam," katanya.

Dr Normala berkata, garis panduan daripada Persatuan Geriatrik Eropah menetapkan, seorang warga emas perlu melakukan senaman selama 150 minit seminggu bersama komponen kelenturan, keseimbangan dan kekuatan sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

"Senaman yang dicadangkan seperti senamrobik, berbasikal, berjalan cepat dan berenang.

"Bagaimanapun, cadangan senaman untuk warga emas dengan demensia perlu dilihat daripada segi perspektif mereka dalam memilih senaman mengikut kehendak yang bersesuaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 6:20 AM