Fairul Asmaini Mohd Pilus


Nostalgia indah zaman-berzaman,

Merewang berderau bergotong-royong,

Pasar Sera menjadi tumpuan,

Berjual beli bersama rodong.

NOSTALGIA indah tradisi rewang masyarakat Melayu dahulu menjelang Ramadan dihidupkan kembali dengan penganjuran Pasar Sera di perkarangan Rumah Pahang, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Ia mengimbau tradisi masyarakat Melayu membeli-belah barangan keperluan sebagai persiapan menyambut bulan penuh keberkatan.

Diadakan selama dua hari, acara menarik itu dianjurkan bersama Yayasan Pahang dan Sera Group Enterprise.

Bertemakan Nostalgia Rewang Melayu, persekitaran pasar berkenaan turut dihias dengan dekorasi menarik suasana zaman 1950-an.

Ia turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti jualan daripada 62 usahawan tempatan yang menjual makanan, minuman, koleksi kelengkapan raya, kraf tangan serta hiasan rumah untuk persediaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Lebih menarik, peniaga dan pengunjung juga sporting berpakaian tradisional, lengkap berbaju Melayu, bertanjak dan bersongket manakala wanita manis bergaya dengan kebaya serta baju kurung, sekali gus mengimbau suasana zaman silam.

Ketua Unit Komunikasi Korporat Yayasan Pahang, Zarinah Hamid berkata, penganjuran Pasar Sera itu mengimbau suasana saudagar zaman dahulu berniaga.

Selain itu, kata Zarinah, ia juga mendedahkan golongan muda terhadap suasana perniagaan pada zaman Melayu lama.

"Acara ini juga menjadi platform kepada usahawan muda bertukar-tukar pandangan dan kerjasama.

PASAR Sera menggamit nostalgia indah tradisi rewang masyarakat Melayu dahulu menjelang Ramadan.
PASAR Sera menggamit nostalgia indah tradisi rewang masyarakat Melayu dahulu menjelang Ramadan.

"Pada masa sama ia juga mempromosikan lagi warisan budaya masyarakat Melayu kepada komuniti setempat serta pelancong," katanya.

Dalam pada itu, selain aktiviti jualan turut disediakan permainan tradisional kanak-kanak seperti main getah, tingting, dam, batu seremban, congkak dan pertunjukan bunga api.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan tradisional, pertandingan kereta lama, koleksi raya, persembahan 'buskers' dan cabutan bertuah.

Bagi Diana Mustafah, 35, berkata, penganjuran acara seperti itu dapat mempromosikan lagi ekonomi lokal dan warisan budaya masyarakat Melayu.

Katanya, ia juga mempromosi serta memperkenalkan lagi keunikan seni bina Rumah Pahang kepada komuniti setempat dan pelancong luar.

"Acara ini unik kerana peniaga dan pengunjung sporting bergaya dengan busana tradisional, sekali gus menghidupkan lagi suasana di zaman lampau.

"Mungkin acara seperti ini boleh dianjurkan secara tahunan selepas ini, di lokasi sama atau daerah lain di Pahang," katanya.

ANTARA peniaga yang mengambil bahagian pada acara Pasar Sera.
ANTARA peniaga yang mengambil bahagian pada acara Pasar Sera.

Turut sama turun padang, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan yang meluangkan masa mengunjungi acara berkenaan.

Beliau bukan sahaja beramah mesra dengan pengunjung, malah menyantuni vendor dan peniaga yang mengambil bahagian.

Sementara itu, pengunjung kanak-kanak juga berpeluang mendapat perkhidmatan gunting rambut secara percuma.

Ia disediakan dengan kerjasama Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (YPAS) sempena pembukaan sesi baharu persekolahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 7:00 AM