BUAIAN gergasi di Cameron Adventure ATV and Safari.
BUAIAN gergasi di Cameron Adventure ATV and Safari.
Nurul Husna Mahmud

GOLONGAN yang sudah berkeluarga dan memiliki anak kecil selalunya mencari tempat percutian selamat.

Tidak terkecuali Nuruljannah Zulkepli, 31, dan suami, Ahmad Sahir Abdullah, 34, yang merancang penuh teliti percutian bersama keluarganya dengan memilih Cameron Highlands, Pahang sebagai destinasi pilihan baru-baru ini.

Kata Nuruljannah yang juga jururawat dari Pasir Puteh, Kelantan, Cameron Highlands antara destinasi tanah tinggi yang menawarkan persekitaran sejuk sesuai serta selesa buat kanak-kanak.

"Saya suka bercuti bersama keluarga dan mempunyai tiga anak perempuan sedang membesar.

"Dari segi pemilihan lokasi percutian, saya dan suami perlu memastikan destinasi itu mesra serta sesuai dikunjungi kanak-kanak.

"Cameron Highlands antara destinasi mengujakan bagi kanak-kanak. Bukan sahaja suhu sekitarnya sejuk dan pemandangan ladang tehnya, malah pelbagai tarikan unik di tanah tinggi itu sesuai buat pengunjung yang datang bersama anak kecil," katanya.

PEMANDANGAN ladang teh menghijau memberi ketenangan.
PEMANDANGAN ladang teh menghijau memberi ketenangan.

Nuruljannah turut kongsi beberapa tarikan wajib dikunjungi di tanah tinggi terbabit.

Dia dan keluarga tidak melepaskan peluang ke The Sheep Sanctuary iaitu taman peliharaan biri-biri.

"Menarik mengenai The Sheep Sanctuary ialah pengunjung dapat melihat pelbagai biri-biri yang comel dan gebu.

"Ia sangat berbeza dengan biri-biri dibela di ladang ternakan biasa kerana di sini bulunya putih bersih dan terjaga. Anak saya sangat teruja dapat bermain dan mengusap biri-biri di taman itu apatah lagi ia jinak.

"Paling lucu apabila anak bongsu saya berusia dua tahun menyangkakan biri-biri itu anjing. Bagaimanapun, berada di ladang terbabit satu pendedahan baik kepada mereka," katanya.

Harga dikenakan kepada pengunjung untuk bermain dengan biri-biri ialah RM5 hingga RM8. Pengunjung turut dibekalkan sekotak makanan untuk diberikan kepada haiwan comel itu.

KANAK-kanak teruja dapat melihat biri-biri secara dekat.
KANAK-kanak teruja dapat melihat biri-biri secara dekat.

BIRI-biri comel di The Sheep Sanctuary.
BIRI-biri comel di The Sheep Sanctuary.

Selain lokasi taman haiwan berkenaan, Nuruljannah turut mengunjungi tarikan baharu iaitu Cameron Adventure ATV and Safari di tanah tinggi terbabit.

Kata Nuruljannah, lokasi tarikan terbabit diakui agak ekstrem untuk kanak-kanak, tetapi masih selamat berdasarkan pengalaman pengendali pacuan empat roda yang cekap.

"Tarikan Cameron Adventure ATV and Safari antara lokasi terbaharu dan boleh dikatakan mereka yang tidak dapat terbang ke Bali untuk naik buaian gergasi boleh penuhi impian itu di sini.

"Untuk sampai ke puncak bukit iaitu paling atas dalam kawasan ladang teh terbabit, kami dibawa menaiki pacuan empat roda.

"Pengalaman ini sesuatu berbaloi bagi saya dan keluarga kerana boleh mencabar keberanian diri ketika berdepan trek jalan ladang teh sempit sebelum dapat menikmati pemandangan ladang teh yang menghijau.

"Sebaik turun, kami melawat taman haiwan yang dipanggil Safari. Ia menempatkan haiwan seperti arnab, burung, kambing, itik, angsa dan boleh diberi makanan," katanya.

MEMETIK strawberi antara aktiviti mengujakan.
MEMETIK strawberi antara aktiviti mengujakan.

MENU berasaskan strawberi yang enak.
MENU berasaskan strawberi yang enak.

Di Cameron Highlands juga aktiviti seperti memetik strawberi juga antara yang dilakukan Nuruljannah bersama suami dan anak-anak.

"Tarikan untuk peminat strawberi saya sarankan pergi ke Big Red Strawbery. Saya juga tertarik dengan sajian menu berasaskan strawberi disediakan di sini.

"Selain itu, anak-anak juga teruja apabila boleh memetik strawberi sendiri selain berpeluang bergambar di kawasan itu yang cantik," katanya.

Dalam keseronokan bercuti, Nuruljannah tidak lupa melakukan persiapan penting terutama mempersiapkan keperluan anak-anak dengan pakaian sesuai.

"Jika ke Cameron Highlands pada musim kemuncak seperti hari minggu atau musim cuti sekolah, rancang perjalanan dan senaraikan tempat yang mahu dikunjungi.

"Susun atur jadual bagi mengelakkan buang masa atas jalan raya disebabkan kesesakan terutama jika bercuti dengan anak kecil atau bayi.

"Pakaian dikenakan pada anak-anak perlu sesuai, di sana cuaca sejuk terutama pada sebelah malam. Sediakan baju lengan panjang dan baju sejuk selain stoking untuk tidur sebelah malam," katanya.

MENAIKI pacuan empat roda pengalaman lasak buat Nuruljannah sekeluarga.
MENAIKI pacuan empat roda pengalaman lasak buat Nuruljannah sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 6:00 AM