MINAT mendalam terhadap haiwan mendorongnya terbabit dalam bidang penternakan.
MINAT mendalam terhadap haiwan mendorongnya terbabit dalam bidang penternakan.
Muhamaad Razis Ismail


Bidang penternakan sering dikaitkan dengan pekerjaan sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Apa tidaknya, selain bergelumang dengan najis haiwan dan bau busuk pada setiap hari, seseorang itu perlu bekerja di persekitaran kandang yang tidak selesa serta panas.

Jadi tidak hairanlah, pekerjaan dalam bidang ini lebih didominasi lelaki kerana menuntut kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.

Berbeza dengan Nur Zahiyah Asmawi, 26, yang menceburi bidang penternakan sebagai Ketua Pegawai Pembantu Veterinar merangkap Pegawai Penyelidik di sebuah pusat penternakan biri-biri di Temerloh, Pahang, sejak setahun lalu.

Baginya, bidang veterinar dan penyelidikan memainkan peranan penting dalam penternakan termasuk menjaga ternakan dari segi kesihatan, produktiviti dan kebajikan ternakan.

Dari segi penyelidikan pula, segala tingkah laku ternakan, sumber makanan, penyakit dan rawatan perlu dikaji untuk meningkatkan efisiensi ternakan.

Biarpun pernah ditanduk biri-biri, bagi lepasan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioteknologi itu, penternakan adalah bidang yang menyeronokkan.

Anak sulung daripada sembilan beradik ini mengakui masih ramai yang beranggapan pekerjaan dalam bidang penternakan ini sebagai 'kotor' kerana tidak boleh lari dari najis dan bau ternakan yang kurang menyenangkan.

Katanya, malah ada yang beranggapan pekerjaan harian dalam bidang ini cuma memberi makanan dan mencuci najis ternakan.

NUR Zahiyah seronok dapat mengkaji dan meningkatkan ilmu berkenaan pengurusan ternakan.
NUR Zahiyah seronok dapat mengkaji dan meningkatkan ilmu berkenaan pengurusan ternakan.

TIDAK kekok mengendalikan ternakan.
TIDAK kekok mengendalikan ternakan.

"Hakikatnya, skop pekerjaan dalam bidang ini sangat luas termasuk membabitkan kesihatan badan dan mental ternakan, pembiakan, mengawal penyakit berjangkit di ladang dan kualiti daging ternakan.

"Saya juga bertanggungjawab membantu pegawai veterinar dalam memastikan kesihatan ternakan dalam keadaan yang baik dan produktif. Selain itu, saya perlu membuat penyelidikan berkaitan apa saja yang memberi kebaikan kepada ternakan sebagai contoh makanan dan rawatan," katanya.

Menurutnya, minat mendalam terhadap haiwan mendorongnya menceburi bidang penternakan biarpun dilihat mencabar.

"Saya seronok boleh kaji sendiri tingkah laku ternakan, dapat tingkatkan ilmu berkenaan pengurusan ternakan dan stres masa bekerja kurang apabila dapat tengok gelagat comel mereka.

"Dalam bidang veterinar ini, saya puas apabila melihat ternakan dalam keadaan sihat, bebas penyakit dan produktivitinya meningkat," katanya.

Jelasnya, antara rutin hariannya sebagai Ketua Pegawai Pembantu Veterinar adalah memastikan makanan ternakan mencukupi.

"Selain itu, saya perlu pastikan kebersihan kandang dan ternakan dalam keadaan yang baik, membantu doktor veterinar membuat rawatan, memastikan anak ternakan dapat susu yang mencukupi dan menjalankan kajian yang memberi kebaikan kepada ternakan," katanya.

Tambahnya, sepanjang terbabit dalam bidang ini antara kenangan yang paling tidak dapat dilupakan apabila dia ditanduk biri-biri baka Whitehead Dorper ketika memindahkan ternakan itu ke kandang lain.

"Entah bagaimana secara tiba-tiba biri-biri seberat kira-kira 80 kilogram itu menjadi agresif bertindak menanduk kepala saya sehingga menyebabkan cermin mata retak. Mujurlah saya tidak mengalami sebarang kecederaan.

BERSAMA rakan setugas yang berkongsi minat sama.
BERSAMA rakan setugas yang berkongsi minat sama.

"Sejak daripada kejadian itu, saya ambil pengajaran untuk tidak mengambil mudah dan sentiasa berjaga-jaga ketika mengendalikan haiwan ternakan terutama baka Dorper," katanya.

Dia mengakui sebagai wanita, cabaran terbesar yang dihadapi adalah kebanyakan kerja yang dilakukan di kandang memerlukan kekuatan fizikal termasuk mengendali ternakan yang bersaiz besar.

"Bagi mengatasinya, saya bekerjasama dengan rakan sekerja untuk kerja-kerja yang di luar kemampuan saya dan menambah baik kemahiran pengendalian ternakan," katanya.

Justeru itu, wanita yang ingin terbabit dalam bidang ini, perlu mempunyai minat mendalam untuk bekerja dengan haiwan.

"Seseorang itu perlu bersabar kerana tingkah laku haiwan ternakan boleh berubah sekelip mata. Perkara paling penting perlu memahami perangai ternakan untuk menjamin keselamatan ketika mengendalikan haiwan," katanya.

Katanya, perkongsian berkenaan pekerjaannya di media sosial meraih maklum balas positif dalam kalangan warganet.

"Pada mulanya, saya hanya berkongsi sekadar suka-suka sahaja, namun tidak sangka ramai yang suka melihat gelagat biri-biri yang 'nakal' dan 'comel' bergurau dengan kami.

"Perkongsian ini sedikit sebanyak dapat menarik minat ramai golongan muda untuk menceburi bidang ini," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Nur Zahiyah berhasrat ingin memiliki ladang ternakan sendiri suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 7:02 AM