LEBIH 2,300 kaki pancing penuhi sisiran sepanjang Presint 2 hingga 4 dalam acara memancing.
LEBIH 2,300 kaki pancing penuhi sisiran sepanjang Presint 2 hingga 4 dalam acara memancing.
Nurul Husna Mahmud


TASIK buatan dengan keluasan 650 hektar mempunyai kepentingan cukup besar dalam menyokong ekosistem perbandaran baharu, antara tarikan utama pusat tarikan pelancongan di Putrajaya.

Dianggarkan kualiti air Tasik Putrajaya mencapai kualiti tahap satu menunjukkan keberkesanan pihak perbadanan dalam melaksanakan inisiatif hijau.

Sekali gus menjadikan ia penempatan ikan bermutu tinggi termasuk 56 spesies ikan yang menghuni dalam tasik terbabit.

Pastinya ia menjadi tarikan bagi peminat aktiviti rekreasi berasaskan tasik air tawar. Terbaharu turut menikmati limpahan daripada sistem ekologi adalah peminat aktiviti memancing.

Julung kali selepas pandemik Covid-19, lebih 2,300 kaki pancing memenuhi Sisiran Tasik Putrajaya sepanjang Presint 2 hingga 4 sekitar Jambatan Seri Saujana bagi Pertandingan Memancing Putrajaya 2023.

Bukan lubuk biasa-biasa, tasik yang turut mendapat pengiktirafan Tapak Demonstrasi Ekohidrologi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sejak 2010 menempatkan pelbagai spesies ikan yang bermutu tinggi seperti kelah, temoleh dan tengas.

Menurut pemancing yang juga peserta pertandingan terbabit, Hairul Akmal Asmayadi, 39, menundukkan ikan di kawasan yang jarang aktiviti memancing bukan mudah.

"Satu 'lubuk' yang penuh mencabar kerana rata-rata pemancing berdepan kesukaran menundukkan spesies yang menghuni tasik terbabit.

"Mungkin ikan di sini tidak pernah dijinakkan ia suatu yang mencabar buat kaki pancing yang mengambil bahagian. Keseluruhan dalam tempoh lima jam, kurang 200 ikan berjaya dibawa naik.

ANTARA pemancing yang berjaya membawa naik ikan.
ANTARA pemancing yang berjaya membawa naik ikan.

NORIZAN sekeluarga hadir memeriahkan aktiviti sepanjang pertandingan memancing.
NORIZAN sekeluarga hadir memeriahkan aktiviti sepanjang pertandingan memancing.

AKTIVITI memancing udang khusus untuk kanak-kanak.
AKTIVITI memancing udang khusus untuk kanak-kanak.

"Tetapi, tidak bermaksud tasik ini tidak menarik. Cumanya perlu lebih banyak aktiviti memancing atau pertandingan sebegini dianjurkan pihak perbadanan supaya spesies ikan lebih 'jinak' dengan pemancing," katanya.

Tidak hanya pemancing, acara yang dianjurkan sempena Hari Terbuka Putrajaya itu turut mengujakan kehadiran ahli keluarga yang tampil memberi sokongan.

Ia termasuk Norizan Shaharudin yang datang bersama dua anak, Nurul Izzah Mohd Amir, 11, dan Muhammad Muhsim Mohd Amir, 8, teruja apabila penganjur turut mengambil inisiatif menganjurkan acara memancing udang untuk kanak-kanak.

"Kebetulan saya dan suami bercuti, ambil kesempatan untuk menyertai suami dalam acara memancing kali ini. Acara kanak-kanak memancing udang satu pendedahan baharu buat mereka. Walaupun suami minat memancing, anak tidak pernah ikut aktiviti terbabit.

"Bagi saya pengisian disediakan penganjur memang mesra keluarga dan wajar diteruskan untuk tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Alam Sekitar Tasik dan Wetland Perbadanan Putrajaya, Normaliza Noordin berkata, penganjuran pertandingan memancing itu diharap boleh mewujudkan rasa tanggungjawab memelihara ekologi Tasik Putrajaya.

"Kesempatan ini sewajarnya perlu direbut kaki pancing kerana kawasan Tasik Putrajaya hanya memperuntukkan kawasan tertentu bagi aktiviti memancing.

"Setakat ini hanya Wetland membenarkan dengan permit khas bagi melakukan aktiviti terbabit. Diharap usaha ini dapat mempopularkan lagi aktiviti rekreasi membabitkan aktiviti tasik," katanya.

Selain aktiviti memancing, kawasan Sisiran Tasik Putrajaya turut meriah dengan aktiviti perkelahan dan jualan hasil produk air tawar seperti udang harimau. Turut diadakan pertandingan memasak ikan air tawar membabitkan lebih 40 pasukan dalam acara sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 6:45 AM