AIR laut yang jernih di Pulau Sepanggar.
AIR laut yang jernih di Pulau Sepanggar.
MENGINAP di bilik Beach Chalet menawarkan pemandangan indah di Pulau Sepanggar.
MENGINAP di bilik Beach Chalet menawarkan pemandangan indah di Pulau Sepanggar.
Hafiz Ithnin


PENGEMBARAAN pencipta kandungan, Muhd Zarnizar Mohamad ke Sabah ternyata tidak sia-sia apabila diperkenalkan dengan destinasi yang mempunyai pesona cukup lumayan ini.

Dari dalam bilik chalet yang dihuninya bukan sahaja pemandangan laut terbentang di hadapan mata, malah pesona Gunung Kinabalu yang cukup gah di Negeri Di Bawah Bayu itu menjadikan pengembaraannya begitu sempurna.

Lelaki itu yang lebih mesra disapa Zarnizar berkata, Pulau Sepanggar yang dilawatinya selama tiga hari dua malam terasa tidak begitu puas kerana begitu sekejap dapat menikmati pesona alam semula jadi berkenaan.

Katanya, pulau itu yang terletak tidak begitu jauh dengan Kota Kinabalu iaitu kira-kira 10 hingga 15 minit menaiki bot laju dari Jeti Jesselton Point di pusat bandar Kota Kinabalu.

Jelasnya kepada penulis, dia yang menginap di Mari Mari Sepanggar Staycation yang menawarkan harga berpatutan terasa begitu berbaloi sekali.

"Sebaik sahaja saya tiba di Pulau Sepanggar, air laut kebiruan jernih menjadi santapan pemandangan. Malah, ikan kecil dapat dilihat begitu jelas berenang di bawah bot kami.

"Saya sendiri sebelum ini tidak pernah tahu mengenai Pulau Sepanggar sehingga dicadangkan rakan yang berasal dari Sabah mengatakan ia sebuah destinasi amat memukau bagi mereka inginkan ketenangan," katanya.

Katanya, saranan rakan dari Sabah itu ternyata benar kerana setiap pelosok pemandangan di pulau itu mempunyai keindahan tersendiri.

MAKANAN lazat sentuhan masyarakat setempat dengan harga yang berbaloi.
MAKANAN lazat sentuhan masyarakat setempat dengan harga yang berbaloi.

"Apatah lagi bilik yang saya inap menghadap laut, Gunung Kinabalu dan pada sebelah malam kelihatan lampu menerangi Kota Kinabalu.

"Pada sebelah pagi pula, bagi mereka yang gemarkan aktiviti menangkap gambar jangan lepaskan peluang ketika matahari terbit kerana ia menawarkan pemandangan cukup memukau. Begitu juga ketika matahari terbenam," katanya.

Bercerita mengenai aktiviti, Zarnizar berkata, di Pulau Sepanggar mempunyai pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan antaranya menyelam skuba, berenang di pantai, bermain kayak, 'sea walking' dan layar-layang.

"Memandangkan saya tidak mempunyai lesen menyelam skuba, tetapi saya mencuba melakukan selam skuba atau dikenali sebagai DSD.

"Ternyata pemandangan marin di sekitar Pulau Sepanggar indah walaupun saya menyelam tidak begitu dalam, tetapi terumbu karang dan ikan yang begitu banyak membuatkan saya leka menikmatinya," katanya.

Ceritanya, mengenai makanan pula tidak perlu risau kerana di sini masyarakat setempat banyak menawarkan makanan kampung yang dijual kepada pelancong.

"Saya boleh berikan lima bintang kerana makanannya begitu sedap seakan-akan makan masakan di rumah.

"Harganya pula berpatutan dan jangan lupa mencuba pelbagai menu makanan laut yang dimasak dengan cita rasa setempat jika ke sini," katanya.

MAKANAN lazat sentuhan masyarakat setempat dengan harga yang berbaloi.
MAKANAN lazat sentuhan masyarakat setempat dengan harga yang berbaloi.

Zarnizar berkata, jika datang bersama keluarga atau rakan-rakan yang ramai, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti berkumpulan seperti bermain bola tampar pantai.

"Jika berseorangan pula, Pulau Sepanggar dari kaca mata saya ialah lokasi yang begitu mendamaikan kerana ia tidak sibuk dengan pelancong.

"Sepanjang berada di Pulau Sepanggar, saya hanya berbelanja tidak lebih RM500 untuk penginapan dan aktiviti pantai yang ditawarkan. Bagi saya, harga itu cukup berbaloi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 6:18 AM