PELBAGAI jenis kuih-muih boleh didapati di Pasar Siti Khadijah.
PELBAGAI jenis kuih-muih boleh didapati di Pasar Siti Khadijah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TIDAK lengkap rasanya kunjungan ke negeri Cik Siti Wan Kembang jika tidak mencuba keenakan pelbagai jenis makanan yang ada.

Selain terkenal dengan budaya tradisi, pantai yang indah dan lokasi membeli-belah, Tanah Serendah Sekebun Bunga itu juga sebenarnya 'syurga makanan.'

Mungkin disebabkan faktor geografi yang terletak bersempadan dengan Thailand, Kelantan memiliki banyak juadah menarik untuk dicuba.

Jika anda berkunjung ke negeri berkenaan, banyak tempat makan menarik untuk dicuba, antaranya Restoran Cikgu Nasi Ulam di Kampung Kraftangan, Kota Bharu.

Restoran itu menyajikan hidangan tradisi masyarakat Kelantan iaitu nasi, ulam-ulaman, singgang ikan, budu dan pelbagai sajian sampingan lain.

Jika anda penggemar teh tarik, jangan lupa mencuba teh tarik madu lazat di Warung Pak Mat Pulau Pisang, Medan Ikan Bakar Kedai Buloh, Kota Bharu.

RESTORAN Nasi Ulam Cikgu yang menyajikan hidangan tradisi masyarakat Kelantan.
RESTORAN Nasi Ulam Cikgu yang menyajikan hidangan tradisi masyarakat Kelantan.

Selain teh tarik madu, ia juga popular dengan keenakan hidangan sup ikan.

Alemy Maggi Ketam di Pasir Puteh juga berbaloi untuk dicuba jika berkunjung ke negeri itu.

Apa yang istimewa mengenai restoran yang mula dibuka pada 2011 itu ialah ia menggunakan ketam nipah segar dan dihidang dalam mangkuk besar.

MEGI ketam antara juadah yang wajib dicuba.
MEGI ketam antara juadah yang wajib dicuba.

Kopitiam Kita yang terletak di Taman Desa Jaya, Jalan Pengkalan Chepa juga antara destinasi menjamu selera yang perlu dikunjungi.

Keunikan kafe berkenaan adalah menghimpunkan pelbagai jenis makanan popular dari seluruh negeri seperti kuih-muih tradisional, nasi berlauk pagi terutama nasi kak wok, nasi air dingin (Tumpat) nasi tumpang dan menu kegemaran ramai, roti titab.

Jika teringin menikmati hidangan ala Thai khususnya daging harimau menangis, Suwarin Jinda Cafe yang terletak di Jalan Kuala Besar, Kota Bharu paling disarankan untuk dikunjungi.

TEH tarik madu di Warung Pak Mat Pulau Pisang.
TEH tarik madu di Warung Pak Mat Pulau Pisang.

Selain menu istimewa itu, pengunjung juga boleh mencuba keenakan miang pla, perut bakar, perut air asam, somtam, mi celup, aneka kerabu dan sebagainya.

Sementara itu, jika mahu mencuba kepelbagaian dan keenakan kuih-muih Kelantan, Pasar Siti Khadijah ada segalanya.

Anda boleh dapatkan kuih seperti akok, bunga tanjong, jala emas, tahi itik, belebat ubi, pulut dakap, pulut sekaya, kuih cucur, tepung gomak, jering rebus, sira pisang dan banyak lagi.

Usah risau mengenai harga kerana makanan di negeri itu sememangnya murah dan berpatutan.

Jadi, jika ada peluang dan kelapangan, jangan lupa kunjungi Kelantan dan nikmati keenakan makanan yang ada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 6:31 AM