PELBAGAI hidangan pencuci mulut yang mesti dicuba.
PELBAGAI hidangan pencuci mulut yang mesti dicuba.
Hajahfarhana Tarmudi


Jangan lepaskan peluang untuk meraikan ketibaan Ramadan dengan penuh semangat dan menggunakan masa berharga ini untuk berbuka bersama seisi keluarga tercinta di Maya Brasserie, Hotel Maya Kuala Lumpur.

Bermula 7 Jun hingga 5 Julai ini, pelbagai sajian bufet buka puasa bak berada di kampung halaman mengembalikan nostalgia yang indah boleh dirasai dengan harga RM128 untuk dewasa dan RM80 bagi kanak-kanak berumur antara lima hingga 12 tahun.

Hidangan antarabangsa ataupun tempatan pastinya memenuhi selera anda. Ketua jurumasak, Cef Hasbullah Sabani mengetuai tugasan menyediakan hidangan tradisional yang asli dari Kedah untuk promosi kali ini.

Antara hidangan menarik yang akan disediakan ialah ulam, nasi daging, kerabu taugeh bersama perut air lawa, kerabu peria sambal kelapa, gulai kari ikan masin talang, kari daging umbut pisang dan rendang ayam.

Bukan itu saja, kehadiran menu yang dihidang panas seperti nasi beriani ayam, kari kepala ikan istimewa, daging tetel asam pedas Melaka, sambal udang galah, mi sup utara, asam laksa dan laksam Kedah, pastinya menggamit selera pengunjung.

Bagi pencuci mulut pula seperti serawa durian, kuih Qasidah, kuih penderam, cucur Jawa, ais kacang dan cendol, antara menu yang harus dicuba.

Jika mahu berbuka puasa bersama pelanggan atau tetamu istimewa dalam suasana privasi, terdapat ruang khas yang disediakan dengan harga bermula RM120 ke atas setiap orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 5:17 AM