TERUJA menikmati keindahan alam semula jadi di Sukau.
TERUJA menikmati keindahan alam semula jadi di Sukau.
Tanti Suria
rencana@hmetro.com.my


INGIN menikmati pengalaman melihat haiwan liar seperti berada di sebuah safari di Afrika? Sukau, Sabah antara lokasi paling sesuai.

Di sini, pengunjung berpeluang melihat hidupan liar bebas berkeliaran di habitat semula jadinya pada jarak yang sangat dekat.

Sukau terletak di Kinabatangan, Sabah dan jaraknya kira-kira 130 kilometer dari Sandakan.

Penulis berpeluang ke destinasi pelancongan yang terkenal di dalam dan luar negara ini pada September tahun lalu (ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

Ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang niat penulis untuk melawat Sukau dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Antara aktiviti terkenal dalam kalangan pelancong di sini ialah Sungai Kinabatangan River Cruise.

MELIHAT buaya muara pada jarak dekat.
MELIHAT buaya muara pada jarak dekat.

Penulis menginap selama tiga hari dua malam di Sukau Rainforest Lodge (SRL) yang sebelum ini pernah mendapat penghargaan sebagai salah satu 'National Geographic's Unique Lodges of the World'.

Program pemuliharaan hidupan liar di sini agak membanggakan penulis sebagai salah seorang penduduk yang sudah lama menetap di Sabah.

Tidak dinafikan segala kemudahan dan layanan kakitangan SRL amat memuaskan selain berpeluang menikmati keindahan alam semula jadinya.

JETI di Sukau Rainforest Lodge.
JETI di Sukau Rainforest Lodge.

Sepanjang menginap di sini, penulis sangat beruntung kerana dapat melihat lima hidupan liar utama yang dikenali 'Big Five' seperti gajah pigmi, orang utan, monyet Proboscis, buaya muara dan burung enggang.

Pada hari pertama kami dijemput di jeti Kampung Sukau dan menaiki bot kira-kira 10 minit ke tempat penginapan iaitu Sukau Rainforest Lodge.

GAJAH pigmi menyeberangi sungai.
GAJAH pigmi menyeberangi sungai.

Sebaik tiba di penginapan, penulis teruja apabila disambut dengan 'kedatangan' gajah pigmi yang berada di tepi resort.

Terdahulu, pengunjung diberi taklimat ringkas berkaitan aktiviti, tempat penginapan dan keselamatan di kawasan sekitarnya.

Pada hari pertama, kami mengisi masa dengan meninjau kawasan sekitar penginapan yang dikelilingi hutan dan pemandangan bintang amat mengagumkan pada sebelah malam.

Pada hari kedua, penulis bersama rakan-rakan meneruskan aktiviti menelusuri sungai dengan bot sambil ditemani pemandu pelancong kami yang sangat berpengetahuan.

KEMUDAHAN kafe di Sukau Rainforest Lodge.
KEMUDAHAN kafe di Sukau Rainforest Lodge.

Kami teruja apabila berpeluang menyaksikan 53 gajah pigmi yang ingin menyeberangi sungai dan ia antara pengalaman yang sukar penulis lupakan.

Menurut pemandu pelancong, pada ketika ini, agak jarang dapat menemui gajah dalam kumpulan yang besar memandangkan sebahagian hidupan liar ini selalu bersembunyi di ladang kelapa sawit.

Ini adalah kali pertama penulis melihat gajah pigmi dalam kumpulan yang besar.

Selepas itu, kami melihat orang utan dan buaya muara yang memiliki saiz agak besar.

Siapa sangka kami juga dapat melihat dua orang utan di Sukau ini kerana kebiasaannya dapat dilihat di Pusat Pemuliharaan Sepilok, Sandakan atau Taman Hidupan Liar Zoo Lok Kawi.

Pemandu pelancong menggerakkan bot secara perlahan-lahan untuk melihat buaya muara yang bersantai di tepi sungai secara lebih dekat. Kali pertama melihat reptilia ini di depan mata perasaan gembira bercampur 'takut-takut.'

Cuaca yang baik pada hari kedua ini memudahkan perjalanan aktiviti kami. Penulis juga melihat beberapa burung enggang yang berterbangan dan berehat di sebalik pokok.

Selepas itu, kami dibawa ke satu kawasan lintasan monyet Proboscis. Di sini kami berpeluang melihat lebih 10 monyet memiliki hidung besar ini melintas dan ada yang bermain di pokok.

Penulis tidak menjangkakan percutian kali ini umpama seperti mengembara di kawasan safari sebenar. Ia adalah aktiviti yang sangat menarik dan berlainan apabila berpeluang melihat haiwan liar di habitat sebenarnya dengan lebih dekat.

Kawasan penginapan yang dikelilingi pokok besar amat menyamankan dan menenangkan fikiran. Semoga penulis berpeluang untuk melawat Sukau lagi di lain kelapangan!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 7:00 AM