FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Tatkala menyebut perkataan bahlul, ramai yang tidak selesa mendengar dan mengggunakan perkataan ini kerana ia agak kasar yang bererti secara santai dan mudah difahami suatu kebodohan tahap melampau.

Begitu juga dengan perkataan bingai yang menurut rujukan PRPM (Pusat Rujukan Persuratan Melayu), bingai dalam dialek Johor membawa erti bodoh sombong.

Jika bahasa moden masyarakat masa kini disatukan kedua-duanya makna bahlul dan bingai lebih kurang arrogant, tapi arrogant itu hanya sombong, unsur bodohnya dilupakan.

Jadi penterjemahan mereka tetap kurang tepat. Bukan salah, tapi kurang tepat. Senang kata, bingai itu adalah bodoh, bahlul, bengap dan bebal.

Usah dipeningkan kepala, penulis hanya mahu pembaca mengenal erti bahlul dan bingai. Bukan sahaja dalam kancah dunia masa kini, dua perkataan ini sering kita gunakan setiap hari sama ada untuk perbualan atau penulisan di media sosial.

Jadi jika kita gunakan, kita kena tahu asal-usul perkataan ini untuk sekadar mengambil tahu sahaja.

Perkataan bahlul sering kita dengar diucapkan oleh masyarakat setempat terutama untuk menyatakan seseorang itu bodoh atau lurus bendul.

Tapi tahukah anda asal-usul perkataan bahlul itu? Tahukah anda yang sebenarnya asal usul orang terdahulu melemparkan perkataan bahlul kepada seseorang itu adalah sebagai satu doa yang baik?

Bahlul adalah satu perkataan yang berasal dari Arab dan ia berasal daripada satu nama jolokan yang diberikan kepada seseorang yang bernama Wahab ibn Amr. Wahab ibn Amr atau Bahlol hidup pada zaman Khalifah Harun Al-Rasyid. Sebenarnya Wahab ibn Amr terkenal sebagai seorang hakim dan ilmuan Islam pada zamannya serta hidup pada zaman kisah 1,001 malam.

Dia dikenali sebagai Bahlol kerana dia telah meninggalkan kekayaannya dan hidup dengan gaya yang selekeh.

Terdapat banyak kisah-kisah yang memaparkan kebijaksanaan Bahalol sendiri. Di sini penulis paparkan cerita berkenaan Bahlol.

Pada suatu hari, Khalifah Harun Al-Rasyid. bersama isterinya lalu di hadapan Bahlol yang sedang membuat rumah daripada tanah liat. Maka berlakulah dialog antara Al-Rasyid, isterinya dan Bahalol.

Harun: Hei Bahlol, kau buat apa?

Bahlol: Aku sedang buat rumah syurga.

Isteri Harun: Boleh aku beli?

Bahlol: Boleh.

Isteri Harun: Berapa harganya?

Bahlol: 10 Dirham

Isteri Harun membayar jumlah itu kepada Bahlol.

Harun: Kau dah kena tipu hidup-hidup dengan Bahlol.

Pada malamnya Harun Al-Rasyid bermimpi satu rumah besar tersangat cantik yang tertulis nama isterinya, Siti Zubaidah di dalam syurga. Harun cuba untuk masuk ke dalam rumah itu tetapi dihalang oleh pengawal di rumah itu.

Harun: Ini rumah isteri aku.

Pengawal: Memanglah, tapi ini bukan rumah kau.

Bangun pada pagi berikutnya, Harun Al-Rasyid bangun dan kelam kabut pergi mencari Bahlol.

Harun: Bahlol, aku nak beli rumah kau.

Bahlol: Boleh.

Harun: Berapa?

Bahlol: 10,000 Dirham.

Harun: Eh, kenapa semalam 10 Dirham? Kenapa harganya naik sehingga 10,000?

Bahlol: Kerana semalam isteri kau 'membeli tanpa melihat.'

Apakah maksud tersirat Bahlol bila dia kata Zubaidah 'membeli tanpa melihat' sampaikan Zubaidah dapat harga murah?

Maksudnya Zubaidah membelinya tanpa dia melihat istana itu dalam mimpinya manakala Harun ingin membelinya setelah dia melihatnya dalam mimpinya.

Pengajaran yang kita boleh hayati di sini hendaklah sentiasa bersangka baik dengan semua orang walaupun daripada zahir seseorang itu nampak seperti orang tak betul, namun mungkin saja dia seorang wali Allah SWT.

Daripada penceritaan penulis itu, mungkin pembaca menjadi keliru adakah perkataan 'bahlul' itu bermaksud kebodohan tahap melampau atau mungkin tidak. Ini terpulang pada ayat yang hendak disampaikan kepada orang yang hendak kita ucapkan itu ataupun bagaimana intonasi atau gaya pengucapan kita dan tahap penerimaan pada si penerimanya.

Jika kita bermaksud hendak menyampaikan kepada suatu kebodohan, maka akan sampailah kebodohan penerimaan pada si penerimanya akan tetapi jika kita mengucapkan atau menuturkan kepada suatu yang positif, maka positiflah pada pemahaman si penerimanya.

Jadi adakah salah perkataan ini digunakan, terpulang pada niat kita.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 6:30 AM