MOHD Nurkhuzaini (dua kanan) menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Mayat PERKESO kepada Harun, bapa arwah Mohd Hafiz Rahimi di Kampung Gelam Mas, Jertih. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
MOHD Nurkhuzaini (dua kanan) menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Mayat PERKESO kepada Harun, bapa arwah Mohd Hafiz Rahimi di Kampung Gelam Mas, Jertih. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini

“ARWAH anak yang baik kerana tak pernah beritahu (kesakitannya) walaupun sudah lama sakit disebabkan takut kami risau,” kata Harun Ghani, 61.

Harun adalah bapa Mohd Hafiz Rahimi, 38, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.

Menurutnya, arwah yang bekerja sebagai penyambut tetamu sebuah hotel di ibu negara ada pulang bercuti di kampung baru-baru ini, namun tidak menyangka ia kepulangannya buat selama-lamanya.

“Arwah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan dan sempat menghantar gambar ketika menerima rawatan dalam kumpulan WhatApps keluarga.

“Dia (arwah) meminta kami supaya tidak bimbang, tetapi saya rasa tidak sedap hati lalu pergi ke Kuala Lumpur bersama ibu dan adik-adiknya untuk melihat keadaannya pada 2 Mac lalu,” katanya.

Harun berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan Faedah Pengurusan Mayat PERKESO berjumlah RM2,000 di rumahnya di Kampung Gelam Mas, Jertih, hari ini.

Penyerahan berkenaan dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera.

Hadir sama, Pegawai Skuad PERKESO Prihatin Terengganu, Mohd Sabri Ramli.

Harun berkata, arwah yang juga anak sulung daripada enam beradik menghembuskan nafas terakhir pada 7.59 pagi Selasa lalu dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja.

Menurutnya, dia juga tidak mengetahui sama ada arwah mencarum dengan PERKESO atau sebaliknya.

“Secara kebetulan ketika ADUN (Nurkhuzaini) buat kunjungan ke rumah, beliau meminta butiran maklumat arwah untuk disemak Skuad PERKESO Prihatin.

“Dalam tempoh empat hari semuanya selesai dan PERKESO turun padang menyerahkan cek faedah pengurusan mayat dan dimaklumkan saya serta isteri akan menerima faedah pencen penakat bulanan bermula bulan depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:43 PM