CALON PAS yang juga OKU kudung tangan sebelah kanan sejak lahir, Harun atau mesra dengan nama panggilan Pok Muda. FOTO ihsan pembaca
CALON PAS yang juga OKU kudung tangan sebelah kanan sejak lahir, Harun atau mesra dengan nama panggilan Pok Muda. FOTO ihsan pembaca
Nor Amalina Alias


Bachok: Kekurangan fizikal tidak menghalang Harun Ismail menjadi calon Pas untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang pada penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan di sini, hari ini.

Harun, 52, yang kudung tangan kanan sejak lahir adalah bekas Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Beliau yang juga adalah Pengarah Pilihan Raya Pas Bachok kudung hingga paras siku berkata, kecacatan itu tidak menghalangnya untuk berbakti kepada masyarakat kerana pergaulan dengan orang ramai khususnya golongan muda sudah sebati dalam kehidupan sehariannya.

Menurutnya, masyarakat di DUN Tawang dan sekitar sudah mengenalinya dengan panggilan 'Pok Muda' yang aktif ke masjid dan surau.

"Saya anggap pemilihan sebagai calon adalah penghargaan kerana menjadi calon baru selepas enam penggal DUN Tawang dipegang Datuk Hassan Mahmood.

"Ketika penamaan calon tadi (hari ini), ramai yang ajak 'selfie', walaupun pelik tengok OKU jadi calon tetapi saya percaya mampu kekalkan kejayaan Pas di kerusi ini," katanya yang menyerahkan borang pencalonan di Pejabat Tanah Dan Jajahan Bachok di sini.

Harun menyerahkan borang pencalonannya bersama dua lagi calon Pas bagi DUN Pantai Irama yang mengekalkan penyandangnya, Huzaimy Che Hussin dan muka baru di DUN Jelawat, Zameri Mat Nawang.

Harun menerima tentangan daripada calon PH-BN, Che Mat Isa Che Dir.

Bagi DUN Jelawat, Zameri berhadapan dengan dua calon lain iaitu Ketua Umno Bahagian Bachok Datuk Yusri Che Noh bagi PH-BN dan Bebas, Zulkarnain Haron.

Huzaimy pula berhadapan sainan satu lawan satu dengan calon PH-BN, Zakiah Md Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 3:02 PM