DALAM kehidupan ini, pastilah kita selalu berusaha untuk menjadi lebih baik, baik untuk kehidupan dunia mahupun akhirat. FOTO Arkib NSTP
DALAM kehidupan ini, pastilah kita selalu berusaha untuk menjadi lebih baik, baik untuk kehidupan dunia mahupun akhirat. FOTO Arkib NSTP
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Hidup ini keras beb'. Saya terpanggil untuk menulis tajuk ini kerana banyak sangat rintangan yang kita lalui dalam kehidupan, ada ketikanya tidak tercapai akal dan pemikiran untuk menyelesaikan masalah yang timbul dalam pelbagai bentuk.

Walaupun belajar setinggi mana pun atau ilmu sangat dalam, rintangan dan masalah yang datang dalam pelbagai bentuk, kadang habis ikhtiar mencari jalan penyelesaian, tetapi akhirnya buntu dan jalan penyelesaian tidur di masjid sampai ke pagi mencari ketenangan, tidak banyak membantu.

Ini kerana keesokannya pula mengalami masalah sama hingga ke satu tahap buntu dan mungkin akan mencari jalan singkat yang boleh membawa kepada kebinasaan diri.

Kadang kita lihat jika bekerja dalam organisasi, kerja sudah berpuluh tahun, pangkat tak naik-naik juga. Hendak menyalahkan diri malas dan tiada usaha, pelbagai usaha sudah dilakukan, namun tidak berjaya.

Bila berniaga, kedai orang lain penuh orang datang, kedai kita pelanggan boleh dibilang dengan jari pada hal semua barang dijual dan rasa hampir sama sahaja.

Pun begitu, bila belajar, orang lain tidak belajar sangat dan bebas ke hulu ke hilir serta bersenang lenang, tapi lulus dengan cemerlang sedangkan kita yang membaca buku dan membuat kerja sekolah sampai pagi tetap kandas.

Entahlah bila difikirkan segala usaha telah dibuat dan berdoa sudah, namun kejayaan tidak juga muncul dan masih dibebani masalah demi masalah sehingga ke penghujung usia. Kadangkala, mood untuk terus berjuang ke laut juga, tapi apakan daya kehidupan perlu diteruskan.

Dalam suasana kebingungan mencari jalan penyelesaian, masalah tetap kena hadap walau perit sambil berdoa serta mengharap sinar akan menjelma di penghujungnya nanti.

Mengapakah terjadinya sedemikian? Adakah kita tidak berusaha atau tidak ada rezeki lagi untuk kita, semua itu adalah ujian dari Yang Maha Esa yang kita tidak tahu, cuma kita tahu kadang-kadang hampir putus asa dalam mencari ketenangan dalam kehidupan atau putus asa dalam menyelesaikan masalah yang bertimpa-timpa.

Dalam kehidupan ini, pastilah kita selalu berusaha untuk menjadi lebih baik, baik untuk kehidupan dunia mahupun akhirat. Kita pasti mempunyai cita-cita tinggi, mempunyai tujuan mulia dan sebagainya. Bagaimana kalau di tengah jalan ada ujian yang sangat berat?

Ternyata tidak semuanya bersikap sama. Ada di antara kita tetap tabah menghadapi ujian itu, ada yang tetap sabar. Namun, sayang sekali, tidak sedikit di antara kita berputus asa dan berbalik arah.

Pada hal sesungguhnya semua urusan untuk orang Mukmin itu baik sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sungguh sangat menakjubkan urusan orang Mukmin, apabila ia mendapat nikmat, ia bersyukur, apabila ia tertimpa musibah, ia bersabar."

Selayaknya orang beriman menghadapi musibah dengan sabar, malah tidak berputus asa. Allah SWT sangat membenci orang yang berputus asa dari rahmat-Nya.

Sikap hampir putus asa dalam diri seseorang sering kali terjadi, apatah lagi segala kebaikan semua telah dibuat dan berusaha lebih daripada orang lain, namun kegagalan demi kegagalan tetap muncul.

Adakah ia kerana diri belum dikurniakan rezeki atau balasan dari keburukan lalu yang diterima. Apakah yang boleh kita lakukan jika sudah berputus asa dalam kehidupan ini dan mencari satu jalan untuk menyelesaikannya dengan cara sendiri.

Berikut sedikit panduan boleh dikongsi bersama apabila kita hampir putus asa dalam kehidupan yang penuh pancaroba ini. Semua orang impikan kehidupan lebih baik dari yang ada sekarang. Kita berusaha untuk mencapai apa yang diimpikan. Pelbagai cara kita buat agar hidup kita menjadi lebih baik.

• Berusaha dan terus berusaha sehingga impian kita tercapai. Berusahalah tanpa mengenal jemu dan jangan berputus asa. Hanya orang yang gagal saja akan berputus asa. Gagal sekali bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya. Cari silap dan punca kegagalan itu sambil memperbaiki kesilapan yang berlaku dan jangan diulangi kesilapan itu.

• Kuatkan semangat demi semangat. Saya pasti anda akan berjaya jika ini yang dilakukan. Perbaiki kelemahan diri dan perbetulkan apa yang tersilap. Jangan salahkan orang lain atas kesalahan atau kesilapan yang kita lakukan sehingga gagal mencapai impian. Berusaha dan terus berusaha. Yakinlah kejayaan pasti ada jika berusaha tanpa mengenal jemu.

• Buang rasa malu yang ada dalam diri kita. Jangan takut dan jangan malu jika gagal. Biarkan orang lain ketawa melihat kita gagal. Ketahuilah sebenarnya mereka bukan ketawa kerana kita gagal, tapi mereka takut jika kita berjaya.

• Di samping itu jangan lupa berdoa pada Allah agar setiap apa yang kita lakukan dan setiap apa yang usahakan mendapat keberkatan dari Tuhan Yang Maha Esa. Allah tidak akan mengubah nasib seseorang itu jika dia tidak mahu berubah.

Restu ibu bapa penting kerana tanpa restu mereka, segala usaha kita akan menjadi sia-sia.

• Motivasi diri dengan pengalaman dan cerita sebegini. Pernahkah kita perhatikan seorang bayi yang sedang belajar berjalan, dia jatuh, bangun lagi, jatuh lagi, bangun lagi. Dia tak pernah berhenti belajar berjalan, dia tidak pernah bosan untuk mencuba hal sama terus-menerus, dia seolah-olah tahu inilah jalan keberhasilan yang harus ditempuh.

Tanpa kenal lelah dia terus berusaha dan terus berlatih hingga akhirnya mampu berjalan sebagai hasil daripada usaha yang dilakukan selama ini. Secara naluri dia akan berlatih dan terus berlatih hingga boleh berjalan.

Justeru, jangan pernah berputus asa. Ingatlah rahmat Allah SWT sangat luas dan Allah SWT tidak akan membebani hamba-Nya melainkan sesuai kemampuannya.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 7:00 AM