PELANGI petang ibarat kehidupan penuh berliku dalam lirik lagu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
PELANGI petang ibarat kehidupan penuh berliku dalam lirik lagu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
minda

Teringat lagu Pelangi Petang dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dengan bait indah bermain di lubuk fikiran.

'Ku meniti awan yang kelabu, kutempuhi lorong yang berliku, mencari sinar yang menerangi kegelapanku.'

Mungkin ada yang tertanya kenapa saya selitkan unsur lagu dalam penulisan kali ini. Bukan apa, bait lagu mengimbau kenangan lalu yang bermaksud meniti kehidupan penuh berliku pada saat ini sambil mencari sedikit sinar yang akan menerangi kehidupan kita, sekali gus membuang rasa kecewa dalam diri. Al-Fatihah buat arwah Sudirman.

Apabila menyebut mengenai kekecewaan, semua orang normal akan merasainya dalam kehidupan. Apabila sebut perjalanan sebuah kehidupan, sudah semestinya ada jatuh dan bangun dan jika tidak jatuh-jatuh, itu sudah bukan kehidupan namanya.

Life must go on adalah ayat yang selalu kita dengar kerana kehidupan mesti diteruskan dengan pegangan dan prinsip sendiri tanpa meniru mana-mana kehidupan orang lain disebabkan apa yang kita rasa serta alami berbeza dengan kisah atau perjalanan hidup orang lain.

Semua orang akan ada rasa kecewa dalam dirinya sama ada berkisar mengenai permasalahan peribadi, kerjaya, keluarga, masyarakat setempat, persekitaran atau sebagainya dalam perhubungan.

Rasa kecewa itu akan membuatkan seseorang menjadikan dirinya sebagai hamba kepada perasaan yang sentiasa terganggu dengan segala apa terjadi terhadap dirinya.

Lebih memenatkan lagi, bebanan akan membuatkannya dalam keadaan bingung atau stres mendalam yang boleh mengundang kepada ketidak tentuan hidup atau kesengsaraan jiwa.

Tapi sayangnya, tidak ada siapa peduli dengan apa yang terjadi kepada diri kita dan hakikatnya, kita akan berasakan tidak selesa seperti apa dibayangkan. Sehingga muncul pertanyaan bagaimana cara mengatasi rasa kecewa dalam hidup?

Beberapa tip ini mungkin boleh menjadi panduan untuk mengurus dan menerajang rasa kecewa jauh-jauh dalam diri kita.

• Terimalah hakikat semua orang pasti mengalami kecewa dan ia seperti takdir yang tidak mungkin dihindari. Semua orang pasti akan atau pernah berasa kekecewaan dan semua ini memang layak kita alami sebagai manusia.

Jika bercakap tentang kebahagiaan, semua orang ingin bahagia. Serumit mana pun masalah hidup kita, sesukar mana masalah dihadapi, pasti ada saat-saat yang kita akan berasa bahagia meskipun di kedudukan sebenarnya adalah begitu menyedihkan.

Jadi tak perlu lagi menambah kekecewaan dengan rasa sakit hati dengan apa yang kita alami. Usah terlalu pening untuk memikirkannya kerana kehidupan mesti diteruskan seadanya.

• Jangan terlalu bergantung harap dengan orang lain. Kita setuju tidak ada manusia sempurna kisah hidupnya. Saat kita menganggap seseorang baik, lalu menaruh harapan untuk bergantung harapan padanya, namun kita akan rasa kecewa nanti apabila apa diharapkan tidak sebagaimana yang dibayangkan.

Akhirnya kita kecewa dan mulai menganggap sebaliknya. Sampai bila rasa kecewa dialami hanya untuk menyalahkan orang lain? Kecewa yang paling menyakitkan dimulai dengan harapan terlalu tinggi terhadap orang lain.

• Jangan terlalu memikirkan semuanya. Kita tidak mampu berseorangan mengubah dunia. Ambil yang perlu diberi keutamaan sahaja untuk bekal kita bagi meneruskan perjuangan hidup.

Jika kita terlalu memikirkan semua masalah termasuk masalah orang lain, ia pasti akan memberatkan kepala kita. Dalam bahasa mudah, kita sudah ada 10 masalah, jadi jangan ditambah beban dengan 20 masalah orang lain untuk kita fikirkan.

Akhirnya kita akan berasa kecewa terhadap diri sendiri kerana tidak mampu mengubah orang lain untuk menurut kehendak kita. Mungkin kita mulai stres, terlebih berfikir dan moral pun menurun.

• Ubah cara berkomunikasi. Kita mungkin tidak mampu mengubah pemikiran orang lain, tapi sedikit demi sedikit kita mampu untuk mengawal dan memintanya mengikut pemikiran kita jika kena cara komunikasinya.

Dalam erti kata lain, di dalam setiap hati orang, mungkin ada persamaaan jiwa dan perilaku atau kehendak dengan kita, jadi terpulanglah pada kita menghubungkan komunikasi berkesan yang baik antara pasangan atau masyarakat.

• Kadang-kadang, kecewa itu sebenarnya membawa kebaikan. Saya berpendapat demikian kerana jika hidup kita hanya mendatar, maksudnya biasa-biasa sahaja dan kita tak tahu atau tidak berusaha memperbaikinya.

Rasa kecewa itu maksudnya jatuh dan bangun serta kita berupaya terus bersemangat bangkit semula, sekali gus berusaha ke arah kebaikan dan kemajuan diri sendiri.

Ini kerana jika kita tidak kecewa atau gagal, kita tidak tahu di mana Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi diri sendiri dan akan berusaha untuk mencapai standard tinggi bagi kepuasan diri seadanya.

• Cara untuk kembali normal dan bertenaga selepas mengalami kegagalan. Tetap bersemangat meneruskan kehidupan, menjaga hubungan baik dengan pasangan, keluarga dan masyarakat sekeliling termasuk kawan yang mengembirakan hidup kita.

Paling mustahak, jangan menaruh harapan terlalu tinggi dalam kehidupan atau orang tertentu, sebaliknya kita perlu lebih bijak menentukan harapan yang masuk akal.

Hidup akan terus menguji kita dan berlaku bijaklah untuk mempelajari keterampilan dalam mengelola harapan dan mengatasi rasa kecewa.

Kesimpulannya setiap kegagalan dan rasa kecewa pasti ada hikmahnya diberi ujian oleh Allah SWT serta sejauh mana kita dapat menerima dan mengatasi ujian itu adalah kekuatan diri kita.

Terpulanglah kepada kita untuk mencari cara untuk mengatasi dan meneruskan kehidupan. Semoga hidup kita akan terus bersinar di bawah lindungan-Nya.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:00 AM