NASI kerabu  ialah hidangan nasi masakan Malaysia, sejenis nasi ulam apabila nasi berwarna biru dimakan bersama ikan kering atau ayam goreng, keropok, jeruk dan salad lain.
NASI kerabu ialah hidangan nasi masakan Malaysia, sejenis nasi ulam apabila nasi berwarna biru dimakan bersama ikan kering atau ayam goreng, keropok, jeruk dan salad lain.
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Nasi kerabu ialah hidangan nasi masakan Malaysia, sejenis nasi ulam apabila nasi berwarna biru dimakan bersama ikan kering atau ayam goreng, keropok, jeruk dan salad lain.

Warna biru beras berasal daripada kelopak bunga Clitoria ternatea (bunga telang) yang digunakan sebagai pewarna makanan semula jadi dalam memasaknya.

Nasinya juga boleh dimasak dengan nasi putih biasa atau nasi dimasak menggunakan kunyit. Ia sering dimakan bersama solok lada (sumbat lada) dan dimakan bersama keropok goreng. Nasi kerabu sangat popular di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Kelantan dan Terengganu dan kini boleh didapati di seluruh Malaysia serta di selatan Thailand.

Nasi kerabu ialah hidangan tradisional pantai timur terutama di Kelantan dan Terengganu sebelum ia merebak ke kawasan lain di negara ini pada awal abad ke-21 serta ke negara jiran Singapura.

Hidangan ini sangat popular di kawasan bersebelahan di selatan Thailand yang dihuni kebanyakannya orang Melayu, antaranya terdapat sentimen pemisah.

Oleh kerana keadaan yang terakhir, nasi kerabu sering dianggap di kawasan ini bukan sahaja sebagai keistimewaan masakan paling penting, tetapi sebagai salah satu simbol tidak rasmi identiti etnik dan hubungan dengan Malaysia.

Mungkin ramai tertanya-tanya kenapa penulis menceritakan perihal nasi kerabu, kali ini. Mukadimahnya mungkin akan dapat memberikan sedikit informasi yang berguna buat pembaca, namun dari segi ilmiah ada maksud tersendiri dengan perumpamaan kepada bahan makanan ini.

Hidup kita ini sebetulnya direncah, diadun enak, dipopular dan dijenamakan sebagaimana nasi kerabu. Setiap liku-liku kehidupan dihimpunkan dalam satu kitaran kehidupan bercorak penuh warna dan makna untuk meneruskan kelangsungan hidup penuh bererti di dunia ciptaan Tuhan ini.

Dalam meniti sebuah kehidupan, banyak perkara asam garam, pahit manis yang kita akan lalui dengan cara kita dan berbeza dengan orang lain. Setiap masalah sama ada suka atau duka terbentuk dengan cara berbeza dan cara mengatasinya pula adalah dengan cara kita sendiri.

Masalah kita tidak sama dengan orang lain, ujiannya tidak sama dan penyelesaiannya amat berbeza. Tidak mustahil kita berupaya menyelesaikan masalah orang lain jika ia diceritakan kepada kita secara teori atau ungkapan kata-kata nasihat boleh kita jelmakan untuknya, namun penyelesaiannya bergantung kepada individu itu sendiri yang mengalami atau melaluinya.

Bentuk kegembiraan turut berlainan dalam kelompok pemikiran kita dan setiap orang mempunyai detik kegembiraan berbeza. Ada orang suka menonton wayang untuk membuatkan dia gembira, ada orang suka memancing dan buat dia gembira. Kegembiraan adalah objektifnya namun cara melaluinya berbeza bagi setiap individu.

Penulis cuba ketengahkan mengenai setiap apa yang dilalui sama ada berbentuk kekecewaan, permasalahan atau kegembiraan adalah berpunca dari dalam diri kita sendiri.

Istilah tular seperti 'Awak down ke tak down tu. Kawan tak down', menjadi sinonim dalam perbualan kita seharian. Memang ada kalanya kita berada di tahap yang paling bawah sekali dengan perasaan seakan-akan berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan ada kalanya kita berada di puncak kejayaan. Semua itu perlu kita nikmati dan paling mustahak, kita tidak down walaupun sesusah mana atau sekuat mana cabaran atau masalah yang terpaksa dilalui.

Paling mustahak, nikmati kehidupan dengan berlari atau berjalan di lorong yang betul, tidak kira bagaimana kehidupan yang kita alami. Sama ada susah atau senang, nikmatilah ia kerana susah atau senang dalam menempuh kehidupan adalah rezeki daripada-Nya.

Andai kita sudah berusaha dengan gigihnya, tetapi berada di tahap sama, itulah rezeki yang diberikan oleh-Nya. Andai kita ditakdirkan murah rezeki, nikmatilah ia dan jika ada belas ehsan, mendermalah dengan seikhlas hati kepada yang susah dan memerlukan.

Kegembiraan dan kebahagiaan adalah sesuatu yang terpenting dalam kehidupan. Andai senang dan mampu dengan kereta BMW ke hulu ke hilir, tetapi hutang keliling pinggang dan keluarga porak peranda, tiada gunanya berbanding mereka yang menaiki kereta Kancil, tetapi saling menyanyi bersama keluarga dalam kereta menuju destinasi.

Selami ayat atau kata-kata berikut untuk hidup kita yang kita sendiri susun dan menghadapinya:

• Jangan menghabiskan seluruh hidup tanpa menikmatinya kerana kamu akan menyesal saat menoleh ke belakang yang telah berlalu.

• Kamu tidak tahu apa yang ada di depan, jadi nikmati saat ketika ini dan hargai setiap saat indah itu.

• Dalam hidup, setiap peristiwa dipenuhi dengan kebahagiaan yang hanya perlu kamu lihat dan nikmati.

• Jangan merasa sedih, bersyukurlah kerana kamu memiliki hidup yang indah ini, nikmati hidupmu.

• Kamu tidak tahu apa yang akan terjadi selanjutnya, jadi jangan terlalu khuatir dan nikmatilah hidupmu.

• Jangan takut dengan rintangan kerana hidup tanpa rintangan itu tidak mendewasakan.

• Ubahlah cara berfikir kerana ia akan membantu kita menikmati setiap peristiwa dalam kehidupan.

• Lakukan hal yang kita suka kerana jika tidak melakukan apa yang kita suka, maka kita tidak dapat meniti perjalanan hidup dan menikmatinya.

• Jika kita merasai saat bahagia ketika ini, nikmati sahaja ia kerana kita tidak akan tahu apa bakal berlaku di kemudian hari.

Jadi, selamat menempuh hidup dengan aman, penuh kegembiraan, kasih sayang dan berbahagia selalu.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 7:00 AM